Sinode sanjung keajaiban cinta suami isteri

Dalam pesan kepada umat beriman, para bapa Uskup memuji kasih sayang antara suami dan isteri, yang meskipun menghadapi pelbagai cabaran, sanggup bertahan melalui berkat curahan Tuhan dalam sakramen perkahwinan.

Oct 24, 2014

VATIIKAN: Dalam pesan kepada umat beriman, para bapa Uskup memuji kasih sayang antara suami dan isteri, yang meskipun menghadapi pelbagai cabaran, sanggup bertahan melalui berkat curahan Tuhan dalam sakramen perkahwinan.

“Cinta kasih itu dan keaslian semula jadinya, berusaha untuk kekal selamanya sehingga ke akhir hayat. Dengan kasih sayang yang saling bertautan, di mana ia sungguh unik dan tidak terpisah, dapat bertahan meskipun banyak kesukaran,” ujar pesan yang dibacakan pada Oktober 18 lalu.

Sinode para Uskup bagi Perhimpunan Agung Luar Biasa Ketiga tentang Keluarga telah menerbitkan pesan mereka kepada umat beriman selepas dua minggu berbincang dengan tekun mengenai perkahwinan serta hidup keluarga.

Pertemuan yang bermula pada Oktober 5 lalu berakhir pada Oktober 19 dengan upacara beatifikasi Paulus VI, Sri Paus yang memulakan perhimpunan para Uskup.

Dalam pesan itu juga, para bapa Uskup menerangkan bahawa persiapan bagi sinode akan datang bukan sahaja set soalan-soalan dihantar ke Gereja tempatan seluruh dunia tetapi mendengar para keluarga serta pengalaman mereka.

Para Uskup memuji kesatuan suami isteri sebagai curahan berkat seperti yang dikatakan dalam kitab Kejadian, kedua-duanya adalah sama dan saling bantu membantu.

Kasih sayang lelaki dan wanita memperlihatkan kepada kita bahawa setiap kita memerlukan orang lain sambil menyedari bahawa meskipun kedua-dua peribadi adalah berbeza namun menjadi satu melalui wahyu yang dinyatakan dalam hadiah timbal balik.

Melalui kesuburan dan penerusan generasi, ia bukan sahaja melahirkan anak-anak tetapi kurnia akan hidup kudus dalam pembaptisan.

Dalam dokumen itu juga, para Uskup menyedari masalah yang kian meningkat di kalangan pasangan suami isteri, misalnya beban akibat menanggung anak yang istimewa, mempunyai anak yang sakit atau kematian orang tersayang.

Masalah lain pula adalah seperti tekanan kewangan, akibat sistem kewangan yang tidak telus serta ketiadaan pekerjaan yang menyebabkan tekanan dalam keluarga. Namun, meskipun menghadapi pelbagai kesusahan, para bapa Uskup berpesan bahawa Tuhan sentiasa menemani kita. Kehadiran-Nya dapat dirasai melalui kasih sayang dan dialog yang berlaku dalam dinamik keluarga.

Doa dan pendidikan anak-anak dalam iman merupakan tanggungjawab khusus ibu bapa Kristian. Peranan datuk nenek juga ditekankan sebagai penting dalam membina struktur keluarga bahagia.

Para bapa Uskup juga menyatakan elemen penting yang mengukuhkan lagi tali kekeluargaan ialah "Ekaristi hari Minggu di mana keluarga dan seluruh Gereja duduk di meja perjamuan dengan Tuhan."

Dokumen itu diakhiri dengan meminta umat beriman agar berjalan bersama para Uskup hingga ke sinode berikutnya melalui doa kepada Keluarga Kudus, juga dengan doa yang ditulis oleh para bapa Uskup untuk keluarga seluruh dunia. -- CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments