Sri Paus nyalakan Lilin untuk kanak-kanak Syria

Sri Paus nyalakan Lilin untuk kanak-kanak Syria

Dec 07, 2018

VATIKAN: Semasa memimpin doa Angelus pada hari Ahad di Dataran Sto Petrus, Sri Paus Fransikus juga menyeru doa dan bantuan konkrit untuk orang Kristian di Syria.

Semoga Tuhan “mengampuni mereka yang menjadikan peperangan, mereka yang membuat senjata untuk memusnahkan satu sama lain" dan semoga Tuhan “boleh mempertobatkan hati mereka,” doa Bapa Suci.

“Adven adalah masa untuk berharap," jelas Sri Paus Fransiskus. “Pada masa ini, saya ingin menjadikan harapan saya untuk kedamaian anak-anak Syria.”

Bapa Suci menyuarakan hal ini sebagai sokongan terhadap usaha sebuah yayasan kepausan amal kasih antarabangsa, “Aid to the Church In Need” (ACN) dengan menyalakan lilin yang menandakan permulaan secara rasmi kempen “Lilin untuk Damai di Syria” ACN.

“Semoga api harapan ini menghilangkan kegelapan peperangan. Marilah kita berdoa dan membantu orang Kristian kekal di Syria dan Timur Tengah sebagai saksi belas kasihan, pengampunan, dan perdamaian.”

Ini bukan kali pertama ACN bersuara untuk anak-anak Syria. Pada tahun 2016 yayasan amal kepausan itu merayu kepada Parlimen Eropah, dengan menyampaikan gambar-gambar yang dilukis oleh kanak-kanak, yang mengungkapkan kerinduan mereka untuk keamanan.

Dalam satu kenyataan akhbar, ACN menyeru , "orang-orang yang memiliki rasa muhibah di seluruh dunia untuk menjawab seruan damai ini demi kanak-kanak Syria yang sedang dalam tangisan merindui perdamaian.”

Kempen ini juga adalah untuk mengumpul dana antarabangsa melalui Adven dan Krismas dan berharap dapat mengumpulkan 15 juta Euro untuk menyalurkan bantuan kecemasan, rekonstruksi dan sokongan pastoral. Program ini melibatkan pembahagian bungkusan makanan, ubat-ubatan, susu tepung untuk bayi, membantu bayaran sewa dan kos pemanasan untuk pelarian, pembinaan semula rumah keluarga pelarian Kristian serta gereja-gereja dan rumah-rumah keagamaan serta membantu para paderi dan religius yang melayani mereka.

ACN mengatakan bahawa lilin yang dinyalakan oleh Sri Paus dihiasi oleh seorang tukang dari Kota Lama Damsyik, dan “juga mempunyai foto-foto 40 orang kanak-kanak, kebanyakannya dari Aleppo, bersama dengan logo kempen.” — La Croix

Total Comments:0

Name
Email
Comments