Di manakah Tuhan ketika kebanyakan tragedi menimpa di dunia ini? Di manakah Tuhan ketika perkara buruk berlaku kepada orang yang baik? Di manakah Tuhan semasa penghapusan bangsa Yahudi oleh pihak Nazi?
Soalan-soalan ini merupakan persoalan yang ditanya sepanjang zaman dan apabila dihimpun bersama, ia membentuk sesuatu yang dipanggil persoalan Theodicy iaitu soalan-soalan yang dikaitkan dengan kekuasaan Tuhan dan penderitaan manusia.
Soalan-soalan ini selalunya kedengaran apabila sesuatu kejadian yang buruk berlaku seperti bencana gempa bumi di Haiti. Dianggarkan suku juta setengah orang telah mati manakala ribuan yang cedera dan kehilangan tempat tinggal. Akibat kekurangan air bersih, makanan, rumah dan kebersihan, dijangka lebih ramai lagi penduduk yang akan menghidap penyakit. Ibu kota Haiti hampir ranap dan hampir semua orang di negara itu kehilangan orang yang disayangi. Lebih malang lagi, kejadian ini berlaku di salah sebuah negara termiskin di dunia dan terjadi di kalangan umat yang beriman kuat di dalam Tuhan.
Di manakah Tuhan ketika kejadian ini? Bagaimana seseorang dapat memahami kejadian ini dari sudut iman? Memang ia sangat sukar.
Apabila kita mencari jawaban di dalam Kitab Suci, kita mendapati bahawa sama ada di dalam Kitab Suci Yahudi atau Yesus sendiri tidak cuba mengatasi persoalan ini dengan mendalam, tidak seperti cara penulis apologetik Kristian dan Yahudi yang mencuba untuk menjawabnya. Kitab Suci dan Yesus sebaliknya melakukan dua perkara: Pertama, mereka meletakkan penderitaan dan tragedi di dalam perspektif yang lebih luas di mana Tuhan difahami lebih sebagai penebus penderitaan daripada menyelamatkan kita dari segala bencana. Kedua, mereka menyakinkan kita bahawa Tuhan beserta kita, teman pada masa kesusahan dan bersama kita di dalam apa-apa tragedi pun
Sebagai contoh, sesiapa yang membaca Alkitab mengikut bacaan harian liturgi Gereja akan mendapati persamaan yang menggerunkan di antara kisah yang diharikan di dalam Kitab Samuel dengan apa yang berlaku di Haiti. Berikut merupakan petikan dari bacaan harian liturgi dari Kitab Samual, sehari selepas bencana alam dahsyat di Haiti:
“Oleh itu mereka mengutus orang ke Silo untuk mengambil Tabut Perjanjian Tuhan Yang Maha Kuasa yang bertakhta di atas kerub. Kedua-dua orang anak Eli, iaitu Hofni dan Pinehas pun datang bersama-sama Tabut Perjanjian itu.
Apabila Tabut Perjanjian itu sampai di perkhemahan, tentera Israel bersorak dengan sangat kuat kerana gembira sehingga bumi bergoncang. (Dan dengan iman dan keyakinan, Israel maju ke medan pertempuran tetapi) rebrera Filistin berperang dengan sekuat tenaga lalu mereka mengalahkan tentera Israel. Tentera Israel lari ke khemah masing-masing kerana mereka kalah teruk; sebanyak 30,000 askar Israel terbunuh. Tabut Perjanjian Tuhan dirampas oleh musuh dan kedua-dua orang anak Eli, Hofni dan Pinehas terbunuh.”
Dengan membaca petikan Alkitab di atas, seseorang tidak perlu memerah otak untuk mengaitkan petikan Alkitab di atas dengan kisah di bawah: “Oleh itu, penduduk di Haiti menganuti iman Kristian mereka dengan warak dan keyakinan. Mereka merayakan Misa Kudus, menerima Ekaristi dan menyalakan lilin vigil untuk Tuhan. Mereka mempercayai bahawa Tuhan akan melindungi mereka. Namun, akhirnya terjadi gempa bumi yang dahsyat.
Ribuan penduduk telah mati, bangunanbangunan tinggi runtuh, gerejagereja musnah, katedral yang disayangi rebah ke tanah dan Uskup Agung turut terbunuh!” Jadi, di manakah Tuhan ketika ini berlaku? Kitab Samuel tidak berusaha untuk menulis satu apologetik atau memujuk sebagai penjelasan tentang apa yang berlaku pada hari tersebut di mana umat yang baru sahaja merayakan iman dan kepercayaannya di dalam Tuhan telah mengalami kekalahan teruk di dalam peperangan.
Ia tidak cuba untuk menghuraikan di mana Tuhan ketika hal ini berlaku. Malah, ia terus menyambung kisah tersebut dan akhirnya, kita melihat bagaimana Tuhan menebus tragedi tersebut walaupun pada mula kisahnya, seakan-akan Tuhan tidak bertindak apa-apa untuk menyelamatkan para mangsa. Ia juga menjelaskan bahawa Tuhan bersama dengan umat-Nya meskipun mereka telah ditakluk oleh pihak musuh.
Yesus juga memberikan kita perspektif penting yang sama: Semasa rakan-Nya Lazarus sedang sakit tenat, Dia tidak segera menyelamatkan-Nya. Dia menanti sehingga Lazarus mati, barulah dia pergi ke rumah-Nya. Kakak-kakak Lazarus, Martha dan Maria yang melihat Dia, mendapatkan- Nya dan bertanya kepada- Nya satu soalan yang menyayat hati: “Di manakah Tuhan ketika saudara kami sedang sakit? Kenapa Tuhan tidak datang dan menyembuhkan dia?” Yesus tidak terus menjawab soalan mereka. Sebaliknya Dia bertanya, “Di manakah kamu mengubur dia?” Mereka menjawab, “Mari lihat, Tuhan.” Kemudian mereka membawa-Nya ke kubur dan apabila Yesus melihat kubur itu serta menyelami semua kedukaan mereka, Dia duduk di situ dan mulai menangis hiba. Dia benar-benar memasuki dan berkongsi kedukaan mereka yang bersedih. Kemudian, barulah Dia membangkitkan sahabat-Nya yang telah meninggal dunia.
Di manakah Tuhan ketika gempa bumi melanda Haiti? Dia sedang meratap sedih dengan umat-Nya, berduka di kuburkubur mereka yang terkorban, duduk menangis di tepi runtuhan bangunan. Dia ada di situ, meskipun Dia tidak menyediakan penyelamatan seperti Superman atau wira-wira Hollywood.
Lagipun, kita boleh yakin bahawa Dia akan menebus apa yang telah hilang. Di dalam masa Tuhan, akhirnya, tidak ada seorang atau tidak ada satu impianpun yang tidak ditebus di Haiti. Pada akhirnya, semua akan berakhir dengan aman dan semua akan pulih serta setiap tatacara manusia juga akan berkeadaan baik juga akhirnya.
— Fr Ron Rolheiser