A. Mahkamah telah membuat perintah sebagai berikut:
Mahkamah telah memberi satu Perintah Certiorari untuk membatalkan keputusan Responden-Responden bertarikh 7.1.2009 yang menyatakan bahawa kelulusan permohonan Permit Penerbitan Pemohon untuk tempoh 1.1.2009 sehingga 31.12.2009 tertakluk kepada syarat bahwa Pemohon dilarang menggunakan istilah/perkataan “Allah” dalam “Herald - The Catholic Weekly” sehingga Mahkamah memutuskan perkara tersebut.
B. Mahkamah juga telah membuat Deklarasi-Deklarasi sebagai berikut:
(i) bahawa keputusan Responden-Responden bertarikh 7.1.2009 untuk kelulusan Permit Penerbitan Pemohon untuk tempoh 1.1.2009 sehingga 31.12.2009 adalah tertakluk kepada syarat bahawa Pemohon dilarang menggunakan istilah/perkataan “Allah” dalam “Herald - The Catholic Weekly” sehingga Mahkamah memutuskannya adalah salah di sisi undang-undang, batal dan tidak sah;
(ii) bahawa berdasarkan Fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan Pemohon mempunyai hak di bawah perlembagaan untuk menggunakan istilah/perkataan “Allah” dalam “Herald - The Catholic Weekly” dalam perlaksanaan hak Pemohon bahawa agama selain daripada Islam boleh diamalkan secara aman dan harmoni di mana-mana tempat Persekutuan;
(iii) bahawa Fasal 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Islam adalah agama Persekutuan tidak memberi kuasa dan/atau memberi autoriti kepada Responden-Responden untuk melarang penggunaan istilah/perkataan “Allah” dalam “Herald - The Catholic Weekly”;
(iv) bahawa berdasarkan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan Pemohon mempunyai hak di bawah perlembagaan untuk menggunakan istilah/perkataan “Allah” dalam “Herald - The Catholic Weekly” dalam perlaksanaan hak Pemohon untuk kebebasan bersuara dan menyatakan pendapat;
(v) bahawa berdasarkan Fasal 11 Perlembagaan Persekutuan Pemohon mempunyai hak di bawah perlembagaan untuk menggunakan istilah/perkataan “Allah” dalam “Herald - The Catholic Weekly” dalam perlaksanaan hak Pemohon untuk kebebasan beragama yang termasuk hak untuk menguruskan hal ehwal agama sendiri;
(vi) bahawa berdasarkan Fasal 11 dan Fasal 12 Perlembagaan Persekutuan Pemohon mempunyai hak di bawah perlembagaan untuk menggunakan istilah/perkataan “Allah” dalam “Herald - The Catholic Weekly” dalam perlaksanaan hak Pemohon berkenaan dengan pengajaran dan pendidikan umat Katolik dalam agama Kristian.