Mendiang Malcolm X dibesarkan sebagai seorang Kristian, namun pada satu tahap di dalam hidupnya, beliau menjadi seorang Islam. Namun, di dalam cara pemikiran dan pelayanannya, beliau tidak pernah meninggalkan identiti Kristiannya. Beliau selalu membawa Al-Quran dan Kitab Suci Perjanjian Baru bersamanya.
Beliau merasakan bahawa beliau memerlukan kedua-dua kitab ini. Berikut merupakan penjelasan beliau mengenai hal ini:
“Saya bekerja dengan kebanyakan orang yang memerlukan disiplin tegas di dalam hal Tuhan agar mereka mempunyai beberapa peraturan di dalam hidup mereka, terutama dalam hal agama dan moral kehidupan. Kemudian, setelah mereka mempunyai banyak perkara penting di tangan mereka, barulah tiba masanya untuk berasa lebih bebas.”
Apa yang Malcolm X huraikan dengan bijak di sini ialah ketegangan yang tidak putus-putus di antara arahan- arahan disiplin dan kematangan peribadi; di antara peraturan-peraturan dan perasaan; di antara konservatif dan liberal. Beliau juga mengakui bahawa sama ada arahan disiplin dan kematangan peribadi, peraturan dan perasaan serta konservatif dan liberal - kita memerlukan kedua-duanya.
Namun, sedihnya seruan seperti ini sangat jarang kedengaran di dalam kedua-dua lingkungan ideologi ini.Di dalam Gereja dan persatuan, liberal dan konservatif, mereka cenderung untuk saling mengutuk dan membenci antara satu sama lain. Malah masingmasing mempunyai sikap kurang menghormati, tidak ramah, tidak memahami dan tidak sopan antara satu sama lain. Kedua-dua golongan memperkatakan kebenaran di pihak masing- masing. Ini berbeza dengan Malcolm X yang tidak melihat keperluan dari mana-mana golongan ini. Benarkan saya untuk memberikan contoh di sini:
Di dalam situasi Gereja pada masa ini, konservatif dan liberal akan samasama bersetuju bahawa ada beberapa prinsip yang tidak sesuai dan terdapat keperluan untuk melakukan sesuatu perkara dengan cara yang berbeza. Namun mereka mempunyai visi yang sangat berlainan dan pandangan mereka terhadap punca masalah serta bagaimana ia harus diselesaikan adalah jauh berbeza.
Konservatif cenderung untuk menumpukan perhatian dari segi kelemahan dasar. Mereka melihat seluruh generasi Kristian terbentuk dari bimbingan agama yang kurang memahami mengenai apa yang membentuk identiti Kristian dan tidak mengetahui ciri-ciri agama dan nilainilai moral yang sebenar.
Oleh itu, golongan ini berpegang kuat di dalam peraturan dan undangundang, sehingga adakalanya mencapai tahap tidak mahu bertolak ansur di dalam hal identiti, terlalu menekankan batas moral yang sesuai dan bersungguh- sungguh untuk membezakan identiti daripada orang lain. Selalunya, golongan ini penuh dengan rasa tidak sabar dengan menentang sesiapa yang mencabar akan pandangan ini.
Liberal pula bersifat sebaliknya, tumpuan golongan ini juga adalah berbeza. Apabila mereka melihat Gereja pada hari ini, mereka berpendapat bahawa golongan penganut agama Kristian yang telah wujud selama 2000 tahun merupakan golongan yang berpelajaran dan secara teologinya, arif dalam menilai sesuatu.
Oleh itu, seperti golongan konservatif, mereka juga suka dan kuat mendesak dengan bersungguh-sungguh. Desakan mereka ialah pernyataan kekesalan dan menentang semua peraturan batas-batas yang kukuh dan identiti oleh golongan konservatif.
Liberal berpendapat jutaan orang yang berasa terasing dari Gereja, (sebagai contoh, kumpulan agama kedua terbanyak di Amerika Syarikat pada hari ini berasal dari Gereja Roman Katolik) dan mereka membantah tindakan konservatif serta menyatakan bahawa apa yang perlu untuk melembutkan hati dan tindakan kumpulan-kumpulan agama ini bukanlah menekankan katekesis atau menggariskan sempadan yang tegas, sebaliknya memperbaharui penekanan di dalam Injil cintakasih, penyertaan yang lebih luas dan lebih menumpukan kematangan peribadi daripada peraturan.
Dan kedua-dua golongan ini adalah betul. Apa yang penting di dalam melihat ketegangan di antara konservatif - liberal di dalam Gereja dan masyarakat pada hari ini ialah penekanan yang Malcolm X cuba selesaikan untuk dirinya sendiri iaitu dengan membawa Al Quran dan Injil bersamanya. Kita juga harus membawa kedua-dua prinsip konservatif dan liberal.
Pada hari ini, terdapat keperluan yang kuat untuk mentakrifkan identiti dan membentangkan garis panduan yang jelas. Pengalaman menunjukkan kita bahawa kita selalunya kurang matang secara peribadi dan tanpa disiplin kita kurang kekuatan dalaman untuk menyebarkan Injil.
Untuk mengatasi kebanyakan kelemahan dan kekeliruan, kita memerlukan disiplin undang-undang, ajaran-ajaran agama yang lebih jelas yang ekslusif dan dijaga seperti apa yang difahami di dalam makna asal ‘seminarium’.
Tetapi, bukan setakat ini sahaja yang kita perlukan. Pada akhirnya, untuk menghidupkan iman, kita harus menghormati cintakasih sejagat Tuhan untuk semua orang dan menghormati diri kita sendiri. Kita juga memerlukan hati yang bukan ‘ghetto’ (kawasan Yahudi) dan perlu satu agama yang bebas dengan kematangan peribadi. Kita memerlukan prinsip kedua-dua konservatif dan liberal.
Namun, situasi pola kedua-dua prinsip di dalam gereja dan masyarakat pada masa ini, bersifat tidak dapat bergerak dengan mudah untuk menjadi masyarakat yang saling mengasihi, memahami, menghormati dan bersopan santun di antara satu dengan lain.
Setiap pihak sangat yakin bahawa Tuhan berada di pihaknya, mementingkan visi sendiri dan mementingkan kedudukan di dalam sejarah. Bagi seseorang yang berjuang di dalam nama Tuhan, tindakan-tindakan sedemikian hanya dilihat oleh orang lain sebagai tidak ikhlas, jahil, mementingkan diri sendiri dan satu ancaman.
Tetapi, pada hakikatnya kita saling memerlukan. Liberal memerlukan konservatif, konservatif juga memerlukan liberal, masyarakat dan gereja memerlukan kedua-duanya.
Di dalam meneliti bagaimana menguatkan dasar yang lemah oleh golongan konservatif adalah sesuatu perkara yang benar. Seperti yang kita lihat pada hari ini, kita berdiri di atas pelbagai jenis asas tetapi tidak ada yang asas yang kuat dan membuahkan hasil.
Begitu juga di dalam hal kematangan peribadi yang ditekankan oleh liberal, kita mempunyai segalanya tetapi tidak mempunyai kematangan peribadi serta kemurahan hati. Mungkin, dengan mengikuti jejak Malcolm X, kita semua akan dapat berjalan bersama dengan membawa kedua-dua - ajaran-ajaran Gereja dan Injil Yohanes, di dalam saku pakaian dan hati kita.
— Paderi Ron Rolheiser