Salam damai Editor,Saya terkilan dengan beberapa pendapat dari pembaca ruangan Bahasa Inggeris yang menggesa HERALD untuk menarik kembali penggunaan kata “Allah”. Alangkah tergurisnya hati saya apabila saudara seiman sendiri yang tidak menyokong di dalam mempertahankan hak kita menggunakan kata “Allah” di dalam hal ehwal agama kita.
Saya tahu, bahawa saudara saudari pasti ‘kecut’ dengan pelbagai ancaman dan tekanan daripada pelbagai pihak. Apatah lagi apabila berlaku kejadian membakar dan menyimbah cat terhadap Gereja. Namun, semua kita tahu bahawa ini dilakukan oleh orang-orang yang tidak memahami dan kurang matang.
Kita telah menggunakan saluran yang betul iaitu melalui perundangan untuk menyemak sama ada penggunaan kata “Allah” boleh diteruskan di dalam penerbitan Katolik atau tidak. Dan Mahkamah telah memberikan keputusannya bahawa kata “Allah” boleh digunakan.
Kita mempunyai pelbagai bukti KUKUH dan tidak bermaksud untuk memperolokkan nama kudus tersebut.
Mungkin, rakan-rakan yang berbahasa Inggeris berasa tidak apa untuk tidak menggunakan kata “Allah” tetapi ketahuilah bahawa kata “Allah” digunakan di dalam terjemahan Alkitab Bahasa Melayu sejak berabad lamanya oleh seorang tokoh Kristian bernama Albert Ruyl. Sebelum kedatangan Islam, umat Kristian di Arab telah pun menggunakan kata “Allah” dengan meluas. Tambahan pula, “Allah” ialah nama “Allah” dalam Alkitab bahasa Arab yang lama, bahkan dalam Alkitab bahasa Arab yang moden (Today’s Arabic Version).
Orang Kristian di Mesir, Lubnan, Iraq, Indonesia, Malaysia, Brunei dan beberapa tempat di Asia, Afrika di mana sahaja bahasa yang digunakan dipengaruhi oleh bahasa Arab, semuanya telah menggunakan nama “Allah” untuk “Allah” Pencipta dan Bapa Tuhan kita Yesus Kristus.
Kata “Allah” adalah warisan kita. Kekecohan yang berlaku ini hanyalah direka oleh orang-orang tertentu. Percayalah dan teruskanlah berdoa kerana “Allah” yang kita sembah, Maha Adil dan Pengasih akan melakukan karya-Nya.
Rupert Saviour
Sabah