KENINGAU: Atas inisiatif dan usaha bersama Diakon Ronnie Luni dan Sdr Micheal Wong (mantan Pengerusi Liturgi KSFX 2006-2008), satu rekoleksi gabungan pelayan altar tiga paroki di Keuskupan Keningau telah diadakan pada Mac 19-21, bertempat di Katedral St Francis Xavier.
Tiga paroki yang bergabung ini ialah Katedral St Francis Xavier, Keningau, St Peter Bundu Kuala Penyu dan St Patrick Membakut. Menurut Diakon Ronnie Luni, rekoleksi tersebut sepatutnya dilaksanakan pada tahun lalu namun terpaksa ditunda atas sebab sebab yang tidak dapat dielakkan.
Seramai 86 pelayan altar daripada tiga paroki ini telah menghadiri rekoleksi tersebut. Rekoleksi selama dua hari ini dikendalikan oleh Seminarian Roney Peter Mailap, Puan Agatha Chung (Pembimbing rohani pelayan altar KSFX), Sdri Rose Sintum (Komuniti Betania), Sdr Mathew Tok, Diakon Ronnie Luni dan Seminarian Clement Abel. Hari pertama rekoleksi dimulakan dengan taklimat oleh Seminarian Roney. Kemudian, para peserta saling mengenali antara satu sama lain di dalam bentuk permainan.
Pada petangnya pula, para peserta merenung dan bermeditasi di dalam Saat Teduh bersama umat. Selepas Saat Teduh, Seminarian Clement Abel menyampaikan sesi pertama yang bertajuk 'Disiplin dan Komitmen Pelayan Altar'. Antara yang disentuh oleh Sem. Clement ialah disiplin semasa melayani di altar dan kepentingan menghayati simbol- simbol dalam perayaan Misa Kudus.
Hari kedua rekoleksi dimulakan dengan perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Uskup Cornelius Piong. Di dalam khutbahnya, Uskup menyeru kepada para pelayan altar agar, “Tidak mudah terpengaruh dengan budaya negatif terutama yang disebarkan melalui media cetak dan elektronik.”
Selepas Misa Kudus, para peserta melakukan acara senamrobik yang diketuai oleh Sem Roney agar sentiasa segar semasa rekoleksi.
Kemudian, beliau mengendalikan sesi II mengenai “Kerohanian Pelayan Altar”. Beliau menegaskan bahawa pelayan altar bukan setakat melayani di meja altar tetapi harus menterjemahkan komitmen mereka sebagai saksi Kristus di dalam hidup seharian. Diakon Ronnie Luni menyampaikan sesi III dengan memberikan soalan-soalan kuiz mengenai tanda-tanda dan simbol dalam liturgi serta menerangkan beberapa santo terkenal yang banyak menulis tentang teologi dalam liturgi. Pada sebelah petangnya pula, diadakan pameran untuk peserta menganalisa fungsi dan kegunaan beberapa peralatan kudus yang dipakai semasa Misa Kudus.
Acara pentas yang dinamakan ‘Malam Muhibbah’ pada sebelah malamnya pula diadakan untuk memupuk ikatan persahabatan para peserta dengan persembahan secara berkumbulan. Setiap kumpulan diberikan masa 10 minit untuk mempersembahkan bakat baka mereka.
Acara pentas ini merupakan penutup kepada rekoleksi gabungan tersebut.-Sem. Roney Mailap & STP