Sudahkah kita memperkenalkan Yesus kepada sesama?

Kita mesti meneruskan semangat misionari di Malaysia; penginjilan besar iman dari masa lalu hingga kini, selaras dengan nilainilai Injil," demikian seruan Uskup Agung Joseph Marino, sempena perayaan Pengangkatan Maria ke Syurga pada 14 Ogos.

Sep 06, 2019

PULAU PINANG: Kita mesti meneruskan semangat misionari di Malaysia; penginjilan besar iman dari masa lalu hingga kini, selaras dengan nilainilai Injil," demikian seruan Uskup Agung Joseph Marino, sempena perayaan Pengangkatan Maria ke Syurga pada 14 Ogos.

Buat pertama kalinya, Wakil Sri Paus ke Malaysia, mengunjungi Gereja Assumption. Kedatangan prelatus itu dialualukan oleh persembahan tarian singa yang meriah.

Perayaan Ekaristi dipimpin oleh Uskup Agung Marino bersama Uskup Sebastian Francis, Uskup Emeritus Antony Selvanayagam, Msgr Stephen Liew dan Msgr Aloysius Tan (paderi paroki), bersama-10 orang paderi.

Nunsio memulakan homilinya dengan menyatakan bahawa Perayaan Kenaikan Santa Maria ke Syurga adalah perayaan harapan, yang meraikan proses keselamatan manusia, yang merangkumi seluruh manusia dan pengalaman. “Sepanjang sejarahnya, Gereja sentiasa bersungguhsungguh dengan cita-cita manusia, khususnya mereka yang memerlukan,” katanya.

Uskup Agung Marino juga menyatakan bahawa Konsili Vatikan II, melalui Gaudium et Spes, menuntut agar manusia diselamatkan dan masyarakat diperbaharui.

“Proses keselamatan adalah tidak langsung dan melibatkan seluruh jiwa kita. Sebab Yesus tidak hanya menyelamatkan jiwa, malah Dia menyelamatkan seluruh manusia, tubuh dan jiwa, daging dan roh.”

Menurut Nunsio, Gereja memberi makan kepada kita dengan Tubuh dan Darah Kristus. Pada masa yang sama Gereja menawarkan kelegaan bagi kesengsaraan semua manusia. Gereja menunjuk manusia untuk berusaha ke arah keadilan dan amal kasih.

Uskup Agung Marino berkata sebagai umat Katolik, keinginan kita adalah untuk mengikut Maria di mana pun dia pergi, bersama dengannya di mana dia berada dan menikmati keindahan syurga bersama dengannya.

“Dengan cara yang sama Bonda Maria memimpin kita ke syurga, memimpin kita di dalam doa bahawa kerajaan Tuhan dapat dilihat dalam kehidupan harian masyarakat di seluruh dunia.”

Uskup Sebastian, dalam ucapan singkatnya, menjelaskan sejarah Gereja Assumption, yang merupakan gereja Katolik tertua di Pulau Pinang yang didirikan pada tahun 1786.

“Kita bersukacita kerana sejarah penyelamatan bermula di sini. Sebagai sebuah gereja perintis, misi itu berterusan di bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Singapura dan seterusnya,” katanya.

Bapa Uskup mengucapkan terima kasih kepada Nunsio kerana meluangkan masa untuk melawat dan mengatakan kepada Duta Vatikan ke Malaysia itu bahawa komuniti di sini, dengan dasar yang kukuh pada masa lalu, akan bergerak dengan keyakinan menuju masa hadapan.

Sebagai tanda cinta dan doa kepada Bapa Suci, semua hadirin dengan dipimpin oleh koir pelbagai bahasa, menyanyikan lagu “God Bless Our Pope” dengan iringan organ pipa berusia 100 tahun.

Uskup Agung Marino turut mendapat kejutan di mana para klerus dan umat meraikan ulang tahun imamatnya yang ke-40 yang jatuh pada 25 Ogos.

“Tidak pernah terfikir bahawa saya berada di Malaysia untuk meraikan 40 tahun kepaderian saya,” ujar Nunsio seraya mengucapkan terima kasih seluruh paroki di atas sambutan hangat itu.

Total Comments:0

Name
Email
Comments