Sudahkah kita menyerupai Tuhan?

Sudahkah kita menyerupai Tuhan?

Feb 15, 2019

RENUNGAN HARI MINGGU BIASA
KE ENAM (C)
YEREMIA 17: 5-8
1 KORINTUS 15: 12, 16-20
LUKAS 6: 17, 20-26

Apa yang menjadi kebahagiaan anda? Mungkin ada orang yang secara spontan mengatakan: saya bahagia kalau ada wang banyak, dapat makan yang enak setiap hari atau berkahwin dengan orang yang kaya dan baik hati.

Atau mungkin ada yang berpendapat bahawa kebahagiaan dicapai dengan kedudukan dan pendidikan yang tinggi, kesihatan dan kecantikan yang menyerlah. Inilah gambaran-gambaran umum yang dipropagandakan melalui iklan dan drama atau filem di televisyen. Benarkah kita akan bahagia dengan hal-hal tersebut di atas?

Semua orang ingin bahagia. Jika kita perhatikan, akibat cuba memenuhi kebahagiaan itu, manusia cenderung menginginkan sesuatu yang ‘lebih’: ingin lebih pandai, lebih berjaya, lebih baik. Semua itu disebabkan kerana di dalam diri kita ada keinginan untuk mencapai kesempurnaan akhir seperti halnya seorang atlet yang terus berjuang hingga ke garisan akhir.

Walaupun semua orang ingin bahagia, umumnya orang tidak tahu apakah kehidupan seperti apa yang dapat menghantar kita ke sana. Akibatnya tiap-tiap orang mengejar hal yang berbeza-beza untuk mencapai kebahagiaan itu.

Apakah kebahagiaan ada di dalam wang? Ramai orang ingin mencari wang sebanyak-banyaknya agar bahagia. Namun jika kita renungkan, wang dan kekayaan merupakan sesuatu yang lebih rendah daripada manusia itu sendiri. wang dan kekayaan bersifat sementara: mudah diperoleh, tetapi mudah hilang.

Wang bukan tujuan, ia hanya alat untuk mendapatkan sesuatu yang lain. wang memang diperlukan untuk membeli keperluan sehari-hari yang kita perlukan, namun semua keperluan kita itu ada umurnya. Tidak ada yang tetap selamanya.

Apakah kebahagiaan ada di dalam kehormatan? Kardinal Henry Newman pernah berkata bahawa kehormatan/kemasyhuran merupakan hal kedua yang dikejar orang setelah kekayaan. Namun jika kita renungkan, kehormatan atau tepatnya penghormatan dari orang lain merupakan sesuatu yang berubah-ubah/ tidak tetap, dan dapat pula salah. Lagipula, kata St. Thomas Aquinas, kehormatan itu diperoleh sebagai akibat dari sesuatu yang baik yang ada pada kita, tetapi bukan yang menjadi intisari dari diri kita. Misalnya, Mother Teresa dihormati kerana menerima hadiah Nobel, namun hadiah itu hanya merupakan akibat dari segala kebaikan dan perbuatan kasih yang menjadi jati dirinya. Jadi penghormatan tidak pernah menjadi lebih penting daripada kebaikan yang terkandung dalam diri kita.

Apakah kebahagiaan ada di dalam kebajikan? Filsuf kuno (Stoa) menganggap bahawa kebahagiaan manusia ada dalam pencapaian kebajikan moral dan intelektual. Kelihatannya hal ini lebih mulia namun jika kita teliti, kebajikan juga bersifat sementara — misalnya hari ini kita boleh bersabar, esok tidak demikian. — maka ia tidak sempurna.

Padahal, manusia selalu mencari sesuatu yang tetap dan sempurna. Kebajikan hanya merupakan alat bagi manusia untuk mencapai tujuan yang lebih mulia, iaitu: dikasihi secara sempurna dan mengasihi dengan sempurna.Namun, siapa yang dapat mengasihi kita dengan sempurna dan dapat kita kasihi dengan sempurna?

Kebahagiaan kita adalah persatuan dengan Tuhan! Saya pernah mendengar bahawa pasangan yang telah lama berkahwin, lama-kelamaan wajah dan sifatnya menjadi semakin mirip satu dengan yang lain.Hal demikianlah yang juga diinginkan Kristus bagi kita anggota Gereja yang adalah mempelai-Nya, iaitu agar kita bertumbuh semakin menyerupai Dia.

Sehingga, jika saatnya nanti kita kembali bertemu dengan-Nya, Dia dapat melihat cerminan Diri-Nya dalam diri kita. Kini pertanyaannya, sudahkah kita menyerupai Dia? Pertanyaan demikian menghantar kita pada suatu kebenaran yang lain, iaitu bahawa manusia diciptakan menurut gambar dan rupa Tuhan (Kej 1:26). Ini membawa suatu akibat yang sangat luar biasa, manusia sebagai gambaran Tuhan (imago Dei) ini menjadi mampu untuk menerima rahmat Tuhan yang terbesar, iaitu Tuhan sendiri (capax Dei).

Maka, walaupun ‘gambaran Tuhan’ dalam diri kita dirosak oleh dosa, tidak bererti bahawa kita sama sekali tidak berharga. Malah sebaliknya, Tuhan mengangkat kita dengan mengutus Kristus Putera-Nya ke dunia. Rasul Yohanes mengatakan, “Kerana besarnya kasih Tuhan akan dunia ini, sehingga Dia mengaruniakan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada- Nya tidak binasa, melainkan beroleh hidup yang kekal” (Yoh 3:16). Tuhan mengutus Kristus, agar kita dapat kembali bersahabat dengan Tuhan, dan kemuliaan ‘gambaran-Nya’ di dalam kita dapat dipulihkan seperti keadaan aslinya.

Yesus yang menjadi manusia menunjukkan kepada kita bagaimana caranya hidup agar kita bahagia.Yesus mengajarkan kita Lapan Sabda Bahagia (Luk 4: 21-30) dan hidupNya sendiri adalah pemenuhan Sabda Bahagia tersebut. Dan semasa hidup- Nya di dunia, Dia adalah manusia yang paling berbahagia, kerana Dia memberikan Diri-Nya seutuhnya kepada Bapa dan kepada manusia. Salib Kristus adalah puncak dan bukti yang sungguh nyata akan hal ini. Pandanglah salib Kristus, dan kita akan menemui jawaban akan pertanyaan, “apa yang harus kulakukan agar hidup bahagia?” Sebab di sana, di dalam keheningan Kristus akan menjawab kita, “Mari, ikutlah Aku… berikanlah dirimu kepada Tuhan dan sesama….” — katolisitas

Total Comments:0

Name
Email
Comments