Sukacita Injil mewarnai cara baru menjadi Gereja

Fr Fabian Dicom mengendalikan refleksi tentang Sukacita Injil (Evangelii Gaudium/EG) kepada 97 orang umat di Gereja Divine Mercy (CDM) pada 14 Julai.

Aug 16, 2018

PULAU PINANG: Fr Fabian Dicom mengendalikan refleksi tentang Sukacita Injil (Evangelii Gaudium/EG) kepada 97 orang umat di Gereja Divine Mercy (CDM) pada 14 Julai. Beliau memulakan sesi dengan menerangkan EG bukanlah tentang bagaimana membaca Kitab Suci, sebaliknya bagaimana mengalami sukacita Injil. Sesi tentang EG itu dibahagikan kepada empat bahagian.

Bahagian pertama mengenai makna Sukacita, diikuti penerangan tentang Kerohanian EG dan asas alkitabiah EG Kemudian beliau menerangkan tentang Teologi EG dan pada akhir sesi, Fr Fabian merumuskan empat bab EG berhubung Penginjilan Gereja.

Dalam menerangkan makna Sukacita, Fr Fabian secara peribadi mempunyai pandangan bahawa Tuhan seperti seorang pengasuh, yang sentiasa mengawasi dan memperhatikan kita. Namun dalam pertumbuhan menjadi dewasa dan pelbagai situasi, manusia mudah menjadi lemah, mudah diselubungi rasa takut Tuhan serta gentar akan hukuman-Nya.

Oleh itu, Fr Fabian menekankan bahawa agama harus berubah dari ketakutan kepada sukacita kerana Tuhan amat mengasihi para umat-Nya tanpa syarat. Ini seharusnya menjadi keutamaan dan pegangan iman kita bukannya membanding- bandingkan devosi kita dengan agama lain. Perubahan ini bersumber dari perjumpaan kita dengan Yesus dan ketika mengalami sukacita pertemuan dengan- Nya.

Tentang kerohanian EG, Fr Fabian merujuk kepada pelbagai perkara yang ditekankan oleh Sri Paus Fransiskus sebagai cabaran seperti sekularisasi, sistem ekonomi yang haloba, budaya pakai buang — menunjukkan fokus manusia bukan lagi pada Kristus.

Oleh itu, Fr Fabian menggalakkan para peserta agar memperbaharui dan menyegarkan semula pertemuan dengan Yesus setiap hari agar dapat membawa sukacita Yesus kepada orang lain. Penyegaran dan pembaharuan ini boleh dilakukan dengan memohon bantuan Roh Kudus dengan rendah hati dan menjadikan Yesus sebagai sumber serta pusat tenaga kita seharihari.

Pada akhir sesi, EG menjadikan penginjilan, kegerejaan dan Injil menjadi lebih praktik. Ia memberikan visi bagaimana Gereja dapat membukakan dirinya kepada dunia. EG juga memberikan kesedaran bahawa Gereja bukan untuk sesetengah kumpulan sahaja. Semua orang layak dan berhak menerima belas kasihan dan cinta kasih-Nya. Melalui kisah Yesus mencuci kaki para rasul-Nya, Gereja berusaha melangkah dengan kerendahan hati dan menjangkau semua orang dengan mewartakan Sukacita Injil.

Dalam sesi soal jawab, Fr Fabian menerangkan isu-isu tentang bagaimana menjangkau serta membimbing kaum muda, rasional peranan pemimpin dan peraturan untuk umat dan bagaimana menepis sikap mementingkan diri atau mementingkan kumpulan sendiri sahaja dalam Gereja.

Total Comments:0

Name
Email
Comments