Superhero dunia tidak dapat membawa kita ke syurga kecuali YESUS

Ruangan Anak-anak bersama Father Nicholas Stephen (Fr Nik) merupakan salah satu program dalam talian yang agak terkenal di Sabah.

May 23, 2020

RANAU: Ruangan Anak-anak bersama Father Nicholas Stephen (Fr Nik) merupakan salah satu program dalam talian yang agak terkenal di Sabah. Ia pertama kali bersiaran pada 17 April dan telah pun bersiaran  hingga siri ke lima, ketika artikel ini ditulis.

Fr Nik mengatakan program itu akan berterusan sehinggalah tempoh PKPB berakhir. Program Anak-anak ini sentiasa mendapat sambutan menggalakkan kerana Fr Nik menggunakan pelbagai pendekatan kreatif dan menghiburkan bagi kanakkanak lebih mengenali serta mencintai Yesus.

Bersiaran dari Paroki St Peter Claver Ranau, Fr Nik bukan sahaja memberikan katekesis kerohanian kepada kanak-kanak malah beliau turut menasihati kanak-kanak agar berwaspada selalu terhadap wabak Covid-19, mengamalkan jarak sosial, membasuh tangan selalu dan memakai topeng muka.

Fr Nik juga menggunakan video-video mengenai mukjizat Yesus bagi menyampaikan kepada anak-anak betapa hebat dan berkuasanya Yesus. “Tidak ada superman duniawi yang boleh membawa kita ke syurga, kecuali Yesus” kata Fr Nik dalam salah satu sesinnya pada 8 Mei.

Sempena bulan Mei, Fr Nik turut menceritakan tentang penampakan Maria di Fatima, Portugal lebih 100 tahun lalu. Tiga  orang kanak-kanak telah melihat Bonda Maria yang memberi pesanan kepada mereka agar tekun berdoa Rosari bagi perdamaian. Pada masa itu juga, negara Portugal dan beberapa negara di Eropah dilanda wabak selsema dahsyat yang mematikan. Ramai umat berdoa Rosari bagi menumpaskan wabak itu.

Fr Nik yang amat berbakat bermain pelbagai alat muzik, misalnya gitar, ukulele, harmonica juga terkenal sebagai “Father yang pandai melukis kartun”.

Malah, Fr Nik juga menjemput beberapa remaja berbakat mengongsikan talenta mereka melukis kartun seperti Kakak Ana dan Abang Boniventure, untuk menghiburkan kanak-kanak melalui lukisan-lukisan mereka. Mereka melukis gambar-gambar rohani seperti Bonda Maria, gambar tangan Yesus yang terluka kerana paku di Kayu Salib, gambar kanak-kanak berdoa dan sebagainya.

Dalam sesi katekesis secara online pada 17 April, Fr Nik menayangkan video klip  animasi tentang lelaki yang berpenyakit kusta dan bagaimana Yesus berbelas kasihan kepada lelaki itu.

“Secara peribadi saya amat tersentuh dengan kisah ini. Seorang yang berpenyakit kusta dan dipinggirkan oleh masyarakat tetapi Yesus mendekati dan menyentuh Dia lalu menyembuhkan-Nya. Oleh itu, pada musim krisis kesihatan ini, percayalah dan berdoalah kepada Yesus yang dapat menyembuhkan semua penyakit yang mengerikan.”

Total Comments:0

Name
Email
Comments