“Tanah” jenis apakah kita ini?

Sejak kecil lagi kita selalu diberi peringatan oleh ibu bapa dan guru-guru melalui perkataan yang ditegaskan atau diulang-ulang

Jul 11, 2020

HARI MINGGU BIASA KE-15
TAHUN A
YESAYA 55:10-11;
ROM 8:18-23; INJIL MATIUS 13:1-23

Sejak kecil lagi kita selalu diberi peringatan oleh ibu bapa dan guru-guru melalui perkataan yang ditegaskan atau diulang-ulang. Memang benar menurut pengalaman saya sendiri sewaktu masih di bangku sekolah rendah, saya pernah disuruh oleh guru untuk menulis perkataan dan ayat-ayat yang saya tidak faham sampai sepuluh, lima puluh malah pernah sampai seratus kali.

Perkataan-perkataan dan ayatayat tersebut sampai sekarang saya masih ingat. Mungkin melalui pengalaman seperti inilah pemimpinpemimpin kita menggalakkan rakyat untuk selalu melaung-laungkan slogan seperti “Malaysia boleh” dan “1 Malaysia,” melalui iklan di akhbarakhbar, radio dan di televisyen pada setiap hari.

Nampaknya ada rasionalnya juga mengapa setiap minggu kita mendengar kisah-kisah Alkitab dan ajaranajaran Yesus yang sifatnya berbentuk perumpamaan yang diulang-ulang supaya ia menjadi “milik mu untuk selamanya.” Salah satu perumpamaan tersebut adalah tentang seorang penabur yang kita dengar kesekian kalinya di dalam Injil hari minggu ini.

Seorang peladang menaburkan benih-benih ke ladangnya. Sebahagian benih jatuh di pinggir jalan. Lalu datanglah burung dan memakannya sampai habis. Sebahagian benih jatuh ke atas tanah yang banyak batunya, walaupun tumbuh tapi cepat layu dan mati.

Sebahagian benih jatuh di tempat semak duri, walaupun tumbuh tapi akhirnya mati dihimpit oleh semak duri tersebut. Namun sebahagian benih yang jatuh di tanah yang subur berbuah banyak.

Kisah perumpamaan tersebut merupakan suatu simbol. Tuhan adalah si penabur benih-benih tersebut iaitu Sabda-Nya yang berisikan ajaran-ajaran-Nya kepada kita. Sedangkan pelbagai bentuk tanah ladang di mana benih itu ditaburkan adalah tanda pelbagai sikap manusia yang mendengar dan memberi respons terhadap Sabda-Nya itu.

Marilah kita bersama-sama merenungi perumpamaan tersebut sehubungan dengan apa yang harus kita lakukan agar ajaran-ajaran Tuhan tersebut menjadi subur, berbuah dan menjadi milik kita untuk selamanya.

Orang-orang yang menerima Sabda Tuhan "dipinggir jalan" itu menunjukkan orang-orang yang membiarkan kuasa kegelapan mengambil Sabda Tuhan keluar daripada hati mereka. Misalnya mereka membenarkan orang mempengaruhi mereka bahawa Gereja itu ketinggalan zaman, kuno dan tidak sesuai lagi dengan kehidupan zaman moden maka ia perlu dilupakan saja. Mereka yang menerima Sabda Tuhan “di tanah yang berbatuan” itu pula adalah orang-orang yang pada mulanya bergembira dan penuh semangat.

Namun kerana kurang mendalam dan tidak berakar jauh ke dalam hati, maka mereka lambat laun menjadi hambar dan hilang begitu sahaja misalnya mereka yang menyertai kelompok karismatik, kerahiman ilahi, legio Maria yang pada mulanya begitu bersemangat tapi kerana kurangnya motivasi, ketahanan dan kesetiaan, maka ia perlahan-lahan hilang begitu sahaja.

Orang yang menerima Sabda Tuhan “di tanah yang semak berduri” adalah orang-orang yang mendengar Sabda Tuhan namun segala tekanan dan kebimbangan hidup telah menghimpitnya.

Orang-orang jenis ini adalah mereka yang terlalu sibuk dan terlalu asyik mengejar kekayaan sehingga lupa terhadap perkaraperkara yang lebih penting seperti berdoa, berkomunikasi baik dengan pasangan, anak-anak dan sesamanya yang ada di sekelilingnya. Memang ini bukan bererti kita tidak dibenarkan untuk berusaha untuk mendapatkan harta kekayaan, na mun kita diperingatkan bahawa pembangunan insan itu perlu diimbangi dengan hal-hal yang rohani iaitu campur tangan Tuhan di dalam kehidupan harian kita.

Akhirnya orang-orang yang menerima Sabda Tuhan melalui “tanah subur”. Ia sebagai tanda bahawa mereka yang menerima Sabda Tuhan dan menghayati serta mengamalkannya di dalam hidup mereka setiap hari sehingga menghasilkan buah roh yang berlimpahlimpah bagi Tuhan, sesama dan dirinya sendiri.

Sabda Tuhan atau “benih” bukan hanya sebagai hiburan belaka seperti kita membaca buku cerita atau menonton televisyen. Tetapi melalui mendengar Sabda Tuhan semasa Misa atau mendengar khutbah, kita akan menghayati kata-kata Tuhan, lalu difahami, dihayati dan diamalkan setiap hari. Contohnya, apabila kita mendengar perumpamaan tentang “orang Samaria yang baik”,  seharusnya kita didorong untuk mengasihi dan mahu membantu sesama yang mengalami kesusahan. Jika kisah perumpamaan tentang “anak yang hilang” yang kita dengar, maka seharusnya membuat hati kita terdorong untuk mohon pengampunan daripada Tuhan atas segala kelemahan dan kesilapan kita serta mahu kembali kepadaNya. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Sabda Tuhan dengan segala ajaran-Nya sungguh berkuasa untuk mentransformasikan hidup kita agar berbuah banyak dengan syarat kita membuka pintu hati kita terhadap Roh Kudus agar Tuhan dapat berkarya untuk membangun kerajaan-Nya di dunia ini.

Namun persoalannya, tanah jenis yang bagaimanakah yang kita sediakan untuk menerima Sabda Tuhan itu? Apakah tanah di pinggir jalan? Berbatuan? Semak duri? Ataukah memang tanah yang subur? Fikirfikirkanlah! -- santapan rohani

Total Comments:0

Name
Email
Comments