Tuhan telah mengurapi dan mengutus aku kepada orang sengsara

“Bestnya jadi pelayan altar, tempat duduk terjamin, tak perlu bersesak-sesak dengan orang lain, orang berdiri atau duduk pun saya nampak...” begitulah kata seorang kanakkanak yang dahulunya suka menjadi pelayan altar atas kesenangan peribadi.

Mar 14, 2014

KOTA KINABALU (Herald Malaysia): “Bestnya jadi pelayan altar, tempat duduk terjamin, tak perlu bersesak-sesak dengan orang lain, orang berdiri atau duduk pun saya nampak...” begitulah kata seorang kanakkanak yang dahulunya suka menjadi pelayan altar atas kesenangan peribadi.

Namun, rencana Tuhan tidak ada siapa pun yang tahu. Siapa sangka, pelayan altar yang menyangka tugasnya cuma ‘kuli di altar’ dipanggil dan diurapi sebagai seorang Paderi!

Fr Mitchelly Kiun, 34, ditahbis pada Feb 26 lalu di Katedral Hati Kudus, Kota Kinabalu oleh Uskup Agung John Wong. Paderi muda itu merupakan anak kepada Kiun Solido dan Jenny Liew Yung Ngan.

Dua hari sebelum pentahbisan Frt Mitchelly, seorang lagi anak muda dari Penampang telah ditahbis di Gereja St Michael, Penampang iaitu Fr Rhobby. Ini merupakan sukacita berganda bagi Keuskupan Agung Kota Kinabalu kerana mendapat dua orang Paderi pada awal tahun 2014 ini.

Semasa upacara pentahbisan, Uskup John Wong berpesan kepada calon Paderi Mitchelly untuk menggunakan segenap kekuatannya bagi mengajar dan mewartakan Kristus.

“Kongsikanlah dengan semua manusia, firman Tuhan yang anda telah terima dengan sukacita. Renungkanlah perintah-perintah Tuhan, percaya dengan apa yang anda baca, ajarlah apa yang anda percaya dan amalkanlah apa yang anda wartakan,” kata Uskup Agung John Wong.

“Semoga doktrin yang anda ajar kepada orang lain, memupuk dan menjadikan umat Tuhan beriman matang. Semoga melalui cara kehidupan anda sebagai Paderi, ia dapat menarik minat lebih ramai umat untuk mengikut Kristus, semoga kata-kata dan perbuatan anda dapat membina rumah Tuhan iaitu Gereja.”

Mengimbas kembali panggilan Fr Mitchelly, beliau dilahirkan dalam keluarga bukan Katolik. Kesetiaan dan ketabahan ibu Fr Mitchelly membawa anak-anaknya ke Gereja pada setiap minggu sedikit sebanyak telah membantu Fr Mitchelly dan adik beradiknya mengetahui lebih lanjut tentang agama Katolik.

Mitchelly hanya dibaptis pada usia enam tahun di Katedral Hati Kudus.

Di dalam ucapannya, Uskup John Wong mengalu-alukan ‘penyertaan’ Fr Mitchelly dalam keluarga ‘Imamat’.

“Iringi setiap pelayanan anda dengan cinta kasih dan anda akan mendapat penghiburan daripada Tuhan. Semoga dengan bantuan ‘abang-abang’ Paderi yang lain dan komuniti Katolik, dapat menjadikan anda seorang Paderi yang kudus.”

Total Comments:0

Name
Email
Comments