UTK-26 ajakan untuk pererat kesatuan

Paroki asal Uskup Cornelius Piong bersyukur dan berbangga kerana dapat merayakan tiga peristiwa tahunan kali ke-26 barubaru ini.

Aug 09, 2019

PURUN, Kuala Penyu: Paroki asal Uskup Cornelius Piong bersyukur dan berbangga kerana dapat merayakan tiga peristiwa tahunan kali ke-26 barubaru ini.

Bertempat di Gereja St Simon, Purun, umat merayakan Perayaan Ulang Tahun Penubuhan Keuskupan Keningau Ke-26, Ulang Tahun Pentahbisan Episkopal Uskup Cornelius Piong sekali gus Pesta Kaamatan peringkat Paroki St. Peter pada 21 Jun lalu.

Uskup Cornelius yang memimpin Perayaan Ekaristi menyatakan perayaan UTK adalah perayaan kesyukuran umat Tuhan yang menjangkau usia 26 tahun. UTK dirayakan sebagai kesempatan bagi umat untuk merefleksi semula misi dan visi perjalanan iman mereka sebagai umat Tuhan di Keuskupan Keningau.

Prelatus itu mengingatkan umat agar sentiasa membangun hubungan akrab dengan Tuhan dan berusaha menjadi anggota komuniti Tuhan yang komited dan efektif dalam pelayanan.

Turut membantu Bapa Uskup di altar ialah Paderi Paroki St Peter, Father Clement Abel dan pembantunya, Father Claudius Andrew.

Bapa Uskup turut memuji usaha paroki Kuala Penyu yang giat membangun kesatuan melalui Komuniti Kristian Dasar (KKD) dan berharap agar tema Tahun Misi 2019 iaitu “Dibaptis dan Diutus” sungguh-sungguh dipraktikkan.

Pada akhir majlis, Fr Clement mengumumkan tuan rumah UTK-27 pada tahun hadapan ialah Gereja St. Stephen Kiaru, Kuala Penyu. — Komsos St Peter Bundu, KP 

Total Comments:0

Name
Email
Comments