Venice bermandi cahaya merah kenang umat Kristian teraniaya

Venice bermandi cahaya merah kenang umat Kristian teraniaya

Nov 30, 2018

VENICE, Itali: Sebagai ekspresi solidariti dengan orang Kristian yang dianiaya, termasuk Asia Bibi, seorang wanita Pakistan yang baru dibebaskan daripada hukuman menghina agama Islam, kota Venice diterangi cahaya merah pada 21 Nov lalu.

Dalam pesan yang menyokong usaha itu, Sri Paus Fransiskus mengatakan, “acara cahaya merah itu akan menarik perhatian semua orang terhadap masalah diskriminasi yang dihadapi oleh orang Kristian di kebanyakan tempat di dunia ini.”

Terdapat negara di mana sekatan agama dikenakan, manakala di tempat lain pula, pengikut Yesus dianiaya dengan kejam atau wujudnya budaya menghina pengikut Yesus!” kata Sri Paus.

Bermula selepas petang 20 November, lapan bangunan bersejarah Venice, serta Jambatan Rialto dan Basilika Santa Maria della Salute, diterangi dalam cahaya merah untuk membawa kesedaran tentang nasib orang Kristian yang dianiaya di seluruh dunia.

Pada petang yang sama, beberapa orang muda dari Keuskupan Agung Venice membuat ziarah berjalan kaki dari bandar ke bandar sambil berdoa untuk orang Kristian yang dianiaya.

Acara yang dibiaya oleh Aid to the Church in Need (ACN) mengikuti inisiatif yang sama pada bulan Februari, ketika Colosseum diterangi.

Dari 21-28 Nov pula, beberapa mercu utama di bandar Montreal, Toronto, Paris, Barcelona, London, Sydney, dan Washington, DC juga diterangi dengan warna merah pada waktu petang. Inisiatif tahun ini, yang dianjurkan bersempena dengan bandar Venice dan Patriark Venica, Francesco Moraglia, adalah ditujukan kepada wanita Kristian dari Pakistan, Asia Bibi. Ibu kepada lima orang anak itu dibebaskan dari hukuman penodaan agama oleh Mahkamah Agung Pakistan pada 31 Oktober.

Bagaimanapun, hidupnya masih dalam keadaan bahaya, kerana keputusan itu berada di bawah pemantauan kerajaan sebagai usaha menenangkan kumpulan yang membantah keputusan mahkamah dan merusuh di jalanan. — CNA/EWTN

Total Comments:0

Name
Email
Comments