Wahai kaum muda ... Beranikanlah diri untuk menjadi Santo!

Wahai kaum muda ... Beranikanlah diri untuk menjadi Santo!

Feb 01, 2019

KOTA PANAMA: “Gereja sangat menghargai kaum muda. Kami yakin dengan anda, kami mempunyai segunung harapan terhadap anda, kami meletakkan banyak harapan terhadap anda kerana kami percaya, perubahan dan transformasi manusia dan Gereja terletak di tangan anda,” ujar Uskup Agung Jose Domingo Ulloa Mendieta dari Panama kepada kaum muda dari seluruh dunia semasa Misa pembukaan Hari Belia Sedunia (WYD) 2019.

Untuk mempersiapkan diri sebagai pemimpin masa hadapan, Uskup Agung Jose mengatakan kaum muda harus belajar sejarah iman peribadi, keluarga dan budaya. Telusurilah peranan generasi nenek dan datuk anda bagaimana mereka menurunkan iman terhadap anak-anak.

Prelatus itu menggalakkan belia untuk berenang melawan arus budaya duniawi, berjuang untuk kekudusan serta tidak takut menghadapi cabaran dalam hidup.

“Dengan menjadi kudus, ia akan membasmi keinginan material duniawi yang merupakan punca iblis boleh menguasai kita.

“Seorang Santo, bukan sahaja memperjuangkan mereka yang lemah, tetapi mereka yang belum lahir, seorang santo berjuang melindungi para migran, berpihak kepada keadilan, berdoa, berjalan bersama dan mengasihi komuniti, menjadi wajah belas kasihan Tuhan dan menyebarkan Berita Baik kepada semua orang,” kata Uskup Agung Jose.

Ratusan ribu belia dari pelbagai negara di dunia menghadiri Misa Kudus pembukaan WYD yang diadakan di Padang Santa Maria La Antigua di Kota Panama.

Uskup Agung Jose mengingatkan para peserta WYD bahawa menjadi orang kudus bukanlah mitos sebaliknya harus dijadikan hakikat dalam kehidupan mereka.

Uskup Agung Panama itu juga menyatakan harapannya agar WYD dapat menjadi “minyak penyembuh” kepada ramai kaum muda yang terluka akibat migrasi, keganasan, peperangan, penyeludupan manusia dan akibat pelbagai kejahatan sosial lain

“Jangan takut untuk menjadi santo pada hari ini. Menjadi santo bukan bermakna anda meninggalkan masa muda dan kegembiraan anda... anda akan memperlihatkan dunia bahawa Yesus Kristus adalah sumber kegembiraan kita yang telah memenangi hidup abadi melalui kebangkitan-Nya! — CNS

Total Comments:0

Name
Email
Comments