Warga kampus jauhi sikap tidak peduli, acuh tak acuh

Warga kampus jauhi sikap tidak peduli, acuh tak acuh

Dec 07, 2018

KOTA KINABALU: Seramai 399 mahasiswa telah menyertai Hari Warga Kampus (HWK) ke- 20 yang berlangsung di Katedral Hati Kudus, Karamunsing, baru-baru ini.

HWK merupakan sebuah program yang melibatkan perkumpulan mahasiswa Katolik (Catholic Student Group/CSG) dari lapan buah kampus di bawah naungan Keuskupan Agung Kota Kinabalu. Antara kampus yang terlibat terdiri daripada Univeristi Malaysia Sabah, Politeknik Kota KInabalu, Universiti Tun Abdul Razak, Universiti Tekologi MARA, Kolej Matrikulasi Labuan, Kolej Teknikal Yayasan Sabah, Institut Pendidikan Guru Kampus Kent dan Kolej Antarabangsa Labuan.

Program ini turut disertai oleh pelajar-pelajar dari Keuskupan Keningau dan Sandakan. Ini merupakan penganjuran kali ke-20 sejak HWK diperkenalkan pada tahun 1997.

Tema HWK-20 pada tahun ini adalah berdasarkan Tema Hari Belia Sedunia, “Jangan Takut Hai Maria, Sebab engkau Beroleh Kasih Karunia di hadapan Tuhan.”

Tema ini dipilih untuk mengajak pelajar institut tinggi agar menjadi lebih berani sebagai seorang saksi Kristus, sebagaimana Maria yang masih remaja, menerima misi daripada Tuhan lalu menerima kasih karunia tidak terhingga daripada Tuhan. Program yang diajurkan bersama Catholic Student Council (CSC) dan Pelayanan Kampus Keuskupan Agung KK bermatlamat membantu mahawiswa Katolik menyedari dan menghadapi pelbagai isu yang dihadapi di kampus agar mereka berani dalam menyahut panggilan bersaksi walau di mana pun mereka berada.

Fokus uama program HWK-20 ialah pengislaman dan sikap tidak peduli di kalangan pelajar. Isu pengislaman adalah isu hangat bagi pelajar kampus Katolik di mana secara sedar tidak sedar, ramai yang meninggalkan iman Katolik kerana percintaan. Selain itu, pengaruh subjek-subjek wajib agama Islam juga antara faktor para pelajar Katolik memeluk agama Islam.

Di samping itu, HWK 20 juga memberi ruang kepada warga kampus untuk mengetahui perkembangan hidup rohani mereka melalui perbincangan dan interaksi antara peserta. Para peserta diberi pendedahan tentang kesan-kesan yang bakal dihadapi oleh seseorang yang memilih untuk meninggalkan Yesus dan menerangkan kisah benar pengislaman yang berlaku di Malaysia.

HWK-20 juga memberi kesedaran kepada para peserta agar lebih prihatin terhadap perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Kebanyakan pelajar beranggapan bahawa sekirannya masalah yang timbul tidak ada kaitan dengan mereka, maka mereka memilih untuk berdiam diri atau tidak ambil peduli tentang hal itu. Sikap tidak peduli juga menyebabkan iman Katolik seseorang pelajar tidak berkembang seperti kata Yakobus, “Iman tanpa perbuatan hakikatnya adalah mati” (Yak 2:4).

Berbeza dengan penganjuran HWK pada tahun-tahun yang sebelumnya, HWK-20 pada kali ini mempunyai pembaharuan di mana para peserta dilibatkan dalam aktiviti Mission Walk. Mission Walk melatih para peserta untuk bersatu padu, berkomitmen, berlandaskan Firman Tuhan serta bimbingan Roh Kudus untuk mencapai Visi dan Misi CSG. Dalam program Mission Walk ini, anda misi mereka ialah membersihkan kawasan-kawasan terpilih di sekitar bandar Kota Kinabalu.

Acara kemuncak bagi HWK 20 ialah Konsert Belia. Berbeza dengan konsert duniawi, Konsert Rohani Belia ini amat menumpukan pembentukan spiritual para pelajar, memuji, menyembah dan mengagungkan nama Tuhan, di samping memperkasa kesatuan antara sesama.

Para pelajar bersukacita memuliakan Tuhan sambil menonton persembahan sketsa, tarian dan banyak lagi.

Total Comments:0

Name
Email
Comments