Wirawan, wirawati Katolik setia membantu sepanjang PKP dan PKPB

Ketika negara kita diselubungi dengan pandemik Covid -19, pihak Kerajaan berusaha untuk memerangi virus yang dikatakan sebagai 'musuh yang tidak kelihatan' melalui peringatan yang berulang-ulang kepada rakyat Malaysia untuk terus mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan.

May 30, 2020

SANDAKAN: Ketika negara kita diselubungi dengan pandemik Covid -19, pihak Kerajaan berusaha untuk memerangi virus yang dikatakan sebagai 'musuh yang tidak kelihatan' melalui peringatan yang berulang-ulang kepada rakyat Malaysia untuk terus mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan. Dengan pematuhan arahan-arahan ini maka, negara kita pada tarikh 21 Mei 2020 ini berada  di tangga yang ke-41 dunia dengan kadar kesembuhan sebanyak 81.41% (Maklumat diambil dari CPRC KKM - 21 Mei 2020).

Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan pada 18 Mac 2020 sebagai salah satu langkah mengurangkan penyebaran virus Covid-19 dan arahan ini telah dilanjutkan sehingga 9 Jun 2020.

Ini merupakan satu pengorbanan yang harus dilakukan meskipun ada golongangolongan tertentu yang akan terjejas ekoran dari PKP ini. Namun Tuhan itu baik. Dia tidak akan meninggalkan anak - anak kesayangan-Nya terbiar begitu sahaja. Tidak kira siapa, apa bangsa atau darjat, asal mereka seorang manusia, mereka adalah anak- anak yang dikasihi Tuhan. Dalam keadaan  ini, Tuhan menghantar orang-orang untuk membantu dan Dia telah menghantar ramai orang untuk 'turun padang' membantu dan berjuang bagi keselamatan kita semua. Meskipun ini akan membahayakan diri mereka sendiri.

Ikutilah perkongsian beberapa anak muda kita ketika berada dalam situasi pandemik Covid - 19 ini:

Chelsea Anselmus Bungkak, Jururawat: Sejak PKP diumumkan pada 18 Mac 2020 yang lalu, semua orang diminta duduk di rumah. Sebagai jururawat, saya diwajibkan bertugas oleh pihak Kementerian Kesihatan dan saya juga berkobar-kobar mahu membantu pesakit yang  memerlukan rawatan dalam situasi pandemik ini. Perasaan takut itu memang ada. Tetapi, itu merupakan salah satu cabaran yang perlu dihadapi oleh saya sebagai jururawat.

Lebih-lebih lagi, meskipun saya sudah memakai alat perlindungan diri yang lengkap semasa merawat pesakit, risiko untuk mendapat jangkitan Covid-19 itu tetap ada.

Perkara yang paling menyentuh saya sepanjang PKP adalah mengenai seorang  pesakit yang tinggal jauh, telah berjalan kaki dari rumah ke pusat rawatan sebab tiada kenderaan untuk dinaiki bagi mendapatkan rawatan di pusat rawatan. Selain itu ada juga pesakit yang kehilangan punca pendapatan dan terpaksa meminjam wang dari orang lain semata - mata untuk mendapatkan rawatan.

Mereka sanggup datang mendapatkan rawatan walau pun dalam keadaan serba kekurangan disebabkan PKP.

Sehingga ke hari ini, perkara yang saya amat bersyukur adalah diberikan kesihatan yang baik untuk memberi rawatan kepada pesakit dan balik ke rumah untuk bertemu dengan keluarga selepas pulang dari kerja. Saya sungguh-sungguh berharap agar rantaian penyakit Covid-19 ini dapat diputuskan dan ubat/vaksin Covid-19 dapat ditemui dengan segera.

Biarpun, ada kalanya bekerja sebagai jururawat sungguh memenatkan khususnya pada masa krisis kesihatan tetapi inilah panggilan Tuhan. Tuhan memanggil saya melayani Dia untuk merawat pesakit, di samping saling mendoakan yang terbaik khususnya bagi mereka yang sedang melawan penyakit ini.

Clement Simeon Linus, berasal dari Sandakan, Sabah, kini bertugas di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru: Sebagai seorang jururawat, sudah semestinya tugas saya adalah untuk membantu mereka yang memerlukan.

Pertama sekali, perasaan takut memang ada terutama berhadapan dengan pesakit positif Covid-19, tetapi saya percaya dengan mengikuti SOP yang betul, semua akan berjalan lancar.

Perkara yang paling mencabar bagi saya adalah apabila saya diarahkan untuk menjaga pesakit Covid-19 selama satu bulan. Di sini saya perlukan kekuatan mental dan fizikal. Saya perlu memakai Personal Protection Equipment (PPE) lengkap selama tiga hingga empat jam yang membuatkan saya rasa kepanasan. Selain itu ada juga segelintir pesakit yang degil tidak ‘self quarantine’ sehingga menyebabkan pertambahan bilangan pesakit masuk ke wad.

Meskipun banyak perkara yang mencabar namun saya tidak lupa akan perkara yang paling menyentuh hati saya iaitu apabila ada pesakit memberi ucapan terima kasih sebagai tanda memahami dan meng hargai kerja yang dilakukan.

Saya sangat gembira melihat pesakit yang berjaya sembuh dan kembali ke rumah masing-masing. Saya juga terharu melihat rakan sekerja saya yang bertungkus lumus dalam meneruskan tugas dan ada yang tidak dapat bersama dengan keluarga demi tanggungjawab di Hospital. Saya sungguh bersyukur atas berkat doa-doa dan sokongan dari ibu-bapa, keluarga, dan kawan-kawan saya. Saya bersykur kepada Tuhan  yang sentiasa memberi perlindungan setiap masa dan memberikan saya tenaga untuk meneruskan tugas.

Harapan saya agar semua orang mendapat kesihatan yang baik dan memberi kerjasama agar wabak Covid-19 ini dapat dipulih sepenuhnya.

Tidak perlu keluar rumah, runner kan ada ... Tidak ada orang yang boleh menafikan betapa besar jasa seorang runner pada musim pandemik ini.

Valentine yang sebelum ini aktif dalam perkhidmatan pengacaraan majlis sekitar Sabah namun terpaksa menangguhkan aktivitinya sepanjang PKP dan PKPB. Namun pemuda ini tidak berdiam diri meskipun 'terputus' mata pencarian. Dengan nasihat rakan-rakan dan pihak berkuasa, dia memulakan perkhidmatan runner yang sangat membantu orang ramai yang duduk di rumah manakala dia menjalankan bagi pihak mereka seperti grocery  shopping, mengambil dan menghantar barang.

"Perasaan takut, memang ada. Apa lagi bila nampak masih ramai orang tidak peka dan buat endah tak endah pasal isu coronavirus. Namun saya melawan perasaan takut ini demi kelangsungan hidup.

Pada masa yang sama, saya mahu membantu dan menggalakkan orang ramai agar "stay safe, stay at home". Tidak payah keluar rumah, sebab runner kan ada!

Semasa PKP, Valentine juga berkesempatan membantu badanbadan NGO dan individu-individu yang bermurah hati menyalurkan bantuan untuk keluarga-keluarga   yang memerlukan . 

Valentine amat tersentuh melihat beberapa keluarga yang sangat girang  apabila mendapat bantuan.

Pada masa era pandemik ini, saya merasa Tuhan memanggil saya untuk membantu orang lain. Cabaran ini berat tetapi ini adalah peringatan dan supaya ada kerinduan untuk terus melayani!

Susan Petrus, staff farmasi: Sejak PKP diumumkan pada 18 Mac 2020, semua orang diminta untuk duduk di rumah. Namun saya tetap menjalankan tugas sebagai staf.

Sebenarnya saya sangat takut untuk turun kerja sepanjang PKP ini. Saya tidak menyangka apa yang saya lihat di kaca televisyen, terutama keadaan di negara China kini terjadi di negara Malaysia.

Namun apa yang membuatkan saya untuk terus bertugas adalah yang pertama sudah semestinya untuk menjalankan kewajipan saya sebagai staf, yang kedua adalah untuk membantu rakan sekerja saya.  Sebab sejujurnya kami kekurangan staf. Tipulah sekiranya saya cakap tidak takut dengan keadaan ini.

Apa yang paling mencabar bagi saya masa itu adalah masa untuk pergi dan balik kerja. Menggunakan khidmat ini menyebabkan saya terdedah dengan risiko jangkitan.

Cabaran kedua semasa mengambil suh badan pelanggan, apabila mesin pemeriksaan suhu bermasalah, menyebabkan keadaan lambat sehingga ada pelanggan yang marah. 

Saya tidak akan lupa peristiwa di mana ada seorang pelanggan berusia 70-an, datang ke farmasi  untuk membeli mask kerana ianya syarat memasuki hospital.

Kebetulan, pihak farmasi kehabisan stok pada masa itu. Seorang kakitangan senior, berbelas kasihan dan memberikan topeng muka yang seharusnya untuk staf, kepada orang tua itu.

Walaupun dalam keadaan yang mencemaskan, saya tetap bersyukur sebab dapat bertugas semasa PKP ini dan membantu mereka yang memerlukan untuk mendapatkan alat perlindungan diri daripada virus misalnya topeng muka dan pencuci tangan serta berkongsi cara menjaga kebersihan diri yang betul.

Total Comments:0

Name
Email
Comments