Yesus bukan untuk ditemui pada hari Minggu sahaja

Yesus bukan untuk ditemui pada hari Minggu sahaja

Sep 14, 2018

HARI MINGGU BIASA
KE-24 TAHUN B
YESAYA 50:5-9
YAKOBUS 2:14-18
INJIL MARKUS 8:27-35

Paus Yohanes ke 23 pernah mempopularkan ekspresi, “membaca tanda-tanda zaman” sebagai salah satu cara untuk melihat campur tangan di alam maya ini. Berdasarkan konsep ini, sebelum bercakap tentang Tuhan, seseorang harus terlebih dahulu mendengar dan melihat keadaan di persekitaran kita kemudian merenunginya lebih mendalam lagi untuk mengetahui apa mesej yang Tuhan mahu sampaikan kepada manusia.

Konsep “membaca tanda-tanda zaman” ini beranggapan bahawa Tuhan itu aktif berkarya di dunia dan di dalam manusia itu sendiri. Melalui renungan terhadap apa yang terjadi di dunia masa kini, kita diharapkan untuk dapat belajar banyak tentang Tuhan.

Fahaman ini sangat bertentangan dengan “takdir” di mana segala sesuatu di dunia ini dilihat sebagai sesuatu yang sudah ditentukan oleh Tuhan dan terpulanglah kepada orang-orang yang beriman untuk menerima apa adanya.

Konsep membaca “tanda zaman” ini digunakan juga oleh Yesus seperti yang kita dengar dalam Injil tadi. Yesus tertarik dengan apa yang terjadi dan apa yang difikirkan oleh orang-orang di sekeliling-Nya. Hal ini merupakan sumber pengetahuan tentang realiti yang pertama. Dia bertanya kepada murid-murid- Nya, “Kata orang, siapakah Aku ini?” Lalu dijawab oleh muridmurid- Nya secara rambang. Kemudian Yesus pergi ke tahap ke dua di mana pengetahuan tentang realiti itu, iaitu Tuhan sendiri ditemukan.

Yesus bertanya, “Tetapi apa katamu, siapakah Aku ini?” Apa kata suara hatimu sendiri? Soalan Yesus ini bagaikan suatu ujian para katekumen yang hampir dibaptis. Petrus menjawab dengan singkat, padat dan berisi lalu mendapat markah A+ daripada Yesus, “Engkau adalah Mesias!”

Menurut Injil Matius 9:17-19 sesudah Petrus memberi jawapan yang jitu itu, Yesus berkata kepadanya, “Berbahagialah engkau Simon bin Yunus sebab bukan manusia yang mengatakan itu kepadamu, melainkan Bapa-Ku yang dari syurga.”

Dengan kata-kata ini Yesus menyatakan sumber pengetahuan Ilahi yang ketiga, iaitu Bapa di syurga.Oleh kerana jawapannya yang bijaksana itu, maka Petrus diberi kenaikan pangkat dengan serta merta, “Dan Aku pun berkata kepadamu: Engkau adalah Petrus dan di atas batu karang ini Aku akan mendirikan jemaat-Ku dan alam maut tidak akan menguasainya.”

Melalui petikan Injil tadi, kita mendapat tiga sumber pengetahuan tentang Tuhan. Pertama, melalui kejadian-kejadian alam di sekitar kita. Kedua, dunia yang ada di dalam diri kita sendiri, ketiga, terdapat wahyu Tuhan, bahawa Tuhan telah menanamkan kebenaran-kebenaran- Nya di dalam setiap individu yang bersifat misteri dan yang tidak akan pernah ditemui hanya melalui pengamalan atau mengkaji diri manusia itu sendiri.

Tempat-tempat di mana kita dapat menemui Tuhan, juga menyatakan tempat-tempat di mana kita harus memberi respons terhadap- Nya. Kita seharusnya memberi respons terhadap-Nya melalui penyembahan. Memberi respons dengan mendengar sabda-Nya, melalui usaha sama dengan komuniti dan masyarakat setempat untuk mewujudkan suasana hidup yang saling prihatin antara satu dengan yang lain, maka ini pun merupakan respons kita terhadap-Nya yang hidup di antara kita.

Namun kita semua mengalami, mengikut Yesus itu bukan susah tetapi bukan juga mudah. Kita boleh merenungi diri kita dengan membaca “tanda-tanda zaman”nya Petrus.

Belum beberapa jam sesudah Petrus dinaikan pangkat Yesus mulai berkata tentang pergi ke Yerusalem dan menghadapi penderitaan. Seketika itu juga Petrus yang baru diberi kuasa itu melarang Yesus dengan keras supaya menarik balik niat-Nya yang menurut Petrus, merugikan itu.

Tetapi Yesus dengan nada yang sangat marah lalu berkata, “Enyahlah Iblis, sebab engkau bukan memikirkan apa yang difikirkan Tuhan melainkan apa yang difikirkan manusia.”

‘Iblis’ bukanlah nama yang baik untuk Petrus, saya dan anda, Iblis bererti makhluk jahat yang kerjanya menghasut manusia supaya berbuat jahat, berkelahi dan mengingkari perintah Tuhan. Mengapa perkara ini terjadi pada Petrus, dan kita juga? Sebabnya dia dan kita, gagal membaca “tanda-tanda zaman” tersebut.

Persoalannya, apakah fokus kehidupan kita sama seperti Petrus? Apakah fikiran kita sama seperti Petrus. Seorang aktivitis kemanusiaan, Bro. Anthony Rogers, berpendapat bahawa kesilapan yang terbesar di dunia kita masa kini adalah dikotomi (pembahagian) antara iman dan kehidupan. Seseorang itu boleh menjalani hidup beriman tetapi pada masa yang sama tidak mempedulikan sesamanya yang sungguh memerlukan bantuan. Beliau menjelaskan pendapatnya ini dengan sebuah illustrasi yang sangat menarik:“Seorang yang bernama Eddy Murphy sangat rajin menghadiri Misa setiap minggu. Tetapi apabila dia meninggal, dan bertemu Petrus di pintu syurga, Eddy tidak layak untuk memasukinya. Kenapa? Sebab hidupnya bukan ditentukan hanya hari Minggu sahaja, tetapi dia diadili atas apa yang telah dia buat dari hari Isnin hingga hari Sabtu.”

Mungkin kita kenal Yesus hanya hari Minggu. Bagaimana dengan hari Isnin hingga hari Sabtu? Kenalkah kita dengan-Nya melalui tanda-tanda zaman. Kenalkah kita siapa Ibils dalam hidup kita? Atau saya memang Iblis? — JL

Total Comments:0

Name
Email
Comments