Yesus dampingi perjalanan hidup kita setiap hari!

“Memang benar Tuhan sudah bangkit! Dia sudah menampakkan diri kepada Simon” (Luk. 24:34).

Apr 25, 2014

KENINGAU (Herald Malaysia): “Memang benar Tuhan sudah bangkit! Dia sudah menampakkan diri kepada Simon” (Luk. 24:34). Yesus tetap menyertai dan mendampingi perjalanan hidup dan iman kita setiap hari (Mat. 28:20),” demikian seruan Uskup Cornelius Piong dalam Surat Pastoral beliau sempena Hari Kebangkitan Tuhan baru-baru ini.

“Masa Pra-Paskah yang kita hayati adalah bertujuan membantu kita menyedari dan mensyukuri bahawa dalam mengejar dahaga hidup ini Yesus adalah Sumber hidup sejati, ‘mata air yang memancar sampai ke hidup yang kekal’,” (Yoh.4:13-14).

“Dalam menghadapi kegelapan- kegelapan hidup ini Yesus adalah “Cahaya” bagi kita (Yoh. 8:12; 9:5). Dalam mengalami kematian kerana kuasa dosa Yesus menghidupkan kita jika kita percaya kepada-Nya (Yoh. 11:25-26).”

“Namun,” kata Bapa Uskup, "agar kita dapat mengalami kuasa Yesus berkuasa dalam diri kita, kita perlu yakin dan mengikuti peribadi- Nya dengan sepenuhnya. Bukan setakat melihat Dia dari jauh tetapi sungguh terlibat dalam ajaran, kesengsaraan, salib dan kebangkitan- Nya. Maka itulah sebab mengapa kesatuan kita dengan peribadi Yesus perlu kita utamakan setiap hari.

“Semoga keturutsertaan kita dalam semangat Pra-Paskah — Doa, Puasa dan Sedekah — membawa kita dapat membaharui dan meneguhkan relasi kita dengan Tuhan dan sesama serta menjadikan Paskah satu perayaan yang bermakna bagi kita, secara peribadi, dalam keluarga dan komuniti.”

Uskup Cornelius juga menyatakan bahawa cabaran sekarang ialah menghayati semangat Paskah.

Prelatus itu mengajak umat agar sentiasa menyedari dan mensyukuri bahawa Yesus hidup di tengah-tengah kita, tidak kira dengan siapa, di mana dan dalam keadaan apa pun. “Semoga kita sentiasa terbuka untuk mengenal dan melayani Dia dalam hidup kita setiap hari,” ujar Uskup Cornelius pada akhir Pesan Paskah.

Total Comments:0

Name
Email
Comments