Youth Festival yang mesra kawan, meriah di Bunsit

Komisi Panggilan Paroki Katedral St Francis Xavier dengan kerjasama umat Zon Bingkor telah menganjurkan Youth Festival pada 24-15 Mei lalu bertema “Come and See” di Gereja St. Peter the Apostle, Bunsit.

Jul 12, 2019

KENINGAU: Komisi Panggilan Paroki Katedral St Francis Xavier dengan kerjasama umat Zon Bingkor telah menganjurkan Youth Festival pada 24-15 Mei lalu bertema “Come and See” di Gereja St. Peter the Apostle, Bunsit.

Seramai 262 belia telah mengikuti program ini.

Tujuan program ini diadakan adalah untuk mendedahkan kepada umat khususnya belia tentang panggilan daripada pelbagai kongregasi. Selain itu, program ini juga meneliti sebab dan alasan yang menghalang para belia menyahut panggilan.

“Mengenali Yesus adalah bermula daripada keluarga. Iman akan bertumbuh melalui asuhan agama dan melalui meraikan Sakramensakramen Gereja.

Dengan mengenal dan mencintai Yesus maka kita akan dapat mendengar panggilan sejati dalam diri kita, seterusnya berani untuk menyahut panggilan itu,” ujar Uskup Cornelius dalam Misa Kudus pembukaan.

Prelatus itu meluangkan masa untuk bersama para belia dan mendorong mereka untuk terus ‘enjoy’ mengenal Tuhan dan memohon rahmat panggilan daripada-Nya.

Dalam Youth Festival ini turut diadakan pameran dari beberapa kongregasi yang melayani di Sabah, antaranya kongregasi Franciscan Sisters of the Immaculate Conception (FSIC), Pertapaan Karmel, Brother La Salle dan Infant Jesus Sister (IJS).

Para peserta dalam program ini dijelaskan tentang panggilan untuk menjalani hidup Imamat dan Hidup Bakti merupakan anugerah ilahi yang bersifat khusus di dalam rencana kasih dan penyelamatan Tuhan bagi seluruh umat manusia.

Maka secara istimewa, panggilan setiap orang berasal dari karya Tuhan terhadap masing-masing peribadi. Namun, cinta Tuhan yang demikian besar itu menghendaki suatu jawaban cinta yang besar pula daripada pihak manusia. Tanpa jawaban bebas dari pihak manusia, maka panggilan Tuhan itu tidak akan terwujud.

Pameran mengenai missionari awam seperti Institusi Sekular Komiti Betania (ISKB), Komiti Tritunggal Mahakudus (KTM) dan Ordo Franciscan Sekular (OFS) turut diadakan.

Menurut Father David Richard Gasikol, seminar panggilan ini diberi nama “Youth Festival” yang bersifat “mesra kawan” bertujuan untuk menarik lebih ramai belia untuk hadir.

Total Comments:0

Name
Email
Comments