YOUTH JOM cabar belia jadi alat belas kasihan Tuhan

1,274 belia dari seluruh Paroki di Keuskupan Agung Kota Kinabalu telah menyertai Youth Jubilee of Mercy (Youth JOM) pada 15-17 September di St Simon Educational Complex.

Oct 07, 2016

LIKAS: 1,274 belia dari seluruh Paroki di Keuskupan Agung Kota Kinabalu telah menyertai Youth Jubilee of Mercy (Youth JOM) pada 15-17 September di St Simon Educational Complex.

Dengan tema, “Do Not Be Afraid! Be Merciful”, program ini dianjurkan oleh Komisi Belia dengan tiga matlamat iaitu: untuk merayakan belas kasihan Tuhan yang tidak bersyarat; untuk bersatu dengan belas kasihan Yesus dan menjadi agen belas kasihan sejajar dengan objektif Tahun Jubli Belas Kasihan.

Pada hari pertama aktiviti berlangsung, dilaporkan bahawa tiada Uskup dan Paderi namun seramai 21 rohaniwan dari kongregasi FSIC bersama-sama dengan para belia tersebut.

Hari kedua Youth JoM 2016 adalah bertemakan "The Celebration". Sesi pertama bertema “Kepimpinan Bapa yang Maha Berbelas Kasih”. Dalam sesi ini, para peserta dibahagikan kepada empat kumpulan yang ditempatkan pada empat lokasi berbeza. Kumpulan pertama merupakan kumpulan lelaki di bawah 20 tahun yang berjumlah lebih daripada 300 peserta. Mereka dikumpulkan di Gelanggang Bola Keranjang. Sesi ini dikendalikan oleh Sdra Michael Phoon. Beliau menyampaikan mesej mengenai belas kasih Tuhan melalui perkongsian berkaitan dengan Sakramen Pengakuan.

Michael juga mengingatkan para peserta bahawa jika diberi peluang untuk berubah, hargailah peluang tersebut. Sesi tersebut diakhiri dengan Sorakan 'Shalom' di antara Michael dan para peserta. Seterusnya, kumpulan kedua merupakan kumpulan lelaki yang berumur 21 tahun dan ke atas yang diketuai oleh Sdra Joannes Jomital.

Joannes menyampaikan mesej mengenai kehidupan manusia; iaitu mengenal dan mencintai Tuhan dengan memetik perenggan pertama Katekismus Gereja Katolik. Tiga perkara penting yang disentuh oleh Joannes untuk lebih mengenal Tuhan ialah mengenal diri sendiri terlebih dahulu, mengenal apa itu dosa, dan juga mengenal belas kasih Tuhan. Sesi diakhiri dengan penyerahan token penghargaan daripada wakil kontinjen Labuan.

Manakala, kumpulan ketiga pula adalah disertai kumpulan perempuan berumur 20 tahun dan ke bawah yang disertai hampir 550 peserta. Sesi ini dipimpin oleh Sdri Serena Wong.

Serena membawa para remaja wanita ini untuk lebih menyedari akan identiti diri sebagai puteri Tuhan dan Bapa selalu mambantu dalam mencapai keininginan diri sesuai dengan kehendak-Nya. Beliau juga membawa peserta untuk lebih menghargai diri dan menggunakan diri untuk menjadi inspirasi kepada remaja perempuan yang lain.

Lebih 200 orang peserta perempuan berusia 21 tahun dan ke atas menyertai kumpulan keempat. Mereka dipimpin oleh Sdri Melissa Nicholas. Saudari Melissa.

Para peserta dalam kumpulan ini mengenal tentang kemurahan kasih Tuhan melalui persembahan video mengenai pengampunan dan rekonsiliasi. Melissa juga menyentuh jenis-jenis dosa yang terdiri daripada dosa ringan dan dosa berat. Para peserta diminta memberikan perkongsian dalam kumpulan kecil mengenai pengalaman peribadi dan seterusnya merenungkan dosa-dosa atau kesilapan yang betul-betul memerlukan belas kasihan Tuhan. Di sini, saudari Melissa telah menjelaskan bahawa belas kasih Tuhan secara percuma diberikan kepada mereka yang benar-benar ingin berubah dan sudi menghadiri Sakramen Pengakuan.

Sesi kedua diteruskan dalam Dewan SRS dengan tajuk, “Jangan Takut! Berbelas Kasihlah!". Sesi forum ini dipengerusikan oleh Sdra Paulus dan rakannya Bibyvelin Jimes dan panel jemputan yang terdiri daripada Prof. Dr. Felix Tongkul , Sdra Dominic Lim, dan Sdra Waky Taim.

Forum yang berlangsung selama lebih dua jam ini membincangkan pelbagai isu utama yang dialami oleh belia pada masa kini iaitu sekuralisasi, apati, dan pengislaman. Dalam sesi ini juga, beberapa belia telah mengajukan beberapa soalan yang berkaitan isu pengislaman.

Sebagai penggulungan, Prof. Dr. Felix menekankan bahawa hubungan anatara manusia dan Tuhan perlu dijaga agar para belia tidak dibawa arus dunia ini terutama dalam hal yang melibatkan ketigatiga isu tersebut. Hubungan kekeluargaan juga sangat penting dalam membina identiti belia Katolik yang berani melawan keinginan yang berdasarkan keduniawian.

Selepas sesi tersebut dan makan tengah hari, kontinjen daripada Paroki St. Catherine, Inanam mengadakan sesi pujian dan penyembahan.

Sesi ketiga yang bertemakan “Tematik: Blessed are the Merciful” merupakan sebuah pementasan sketsa yang menunjukkan satu fenomena perubahan iman belia pada masa kini dan masa hadapan dalam arus duniawi.

Pada sebelah malam pula, sesi adorasi dipimpin oleh Fr. Paul Lo. Selepas itu, peserta diberi kebebasan untuk melibatkan diri dalam pengakuan dan juga sesi kaunseling. Sesi hari kedua tamat pada jam 10.30 malam.

“Chosen, Love, Sent” merupakan tema Youth JOM pada hari terakhir. Sesi keempat merupakan sesi kemuncak program yang bertema "Agen Belas Kasih: Tuhan, Jadikan Aku alat Belas Kasihan-Mu" (AGENT OF MERCY: Lord, Make Me an Instrument of Your Mercy). Objektif sesi ini adalah untuk berkongsi keberadaan dalam sukacita dan menerapkan semangat menjadi saksi belas kasih dalam diri para peserta.

Selain itu, aktiviti derma darah telah dijalankan dan mendapat sambutan baik di kalangan peserta. Seramai 60 orang belia telah berjaya menderma darah dan telah menghasilkan 37 pain bekalan darah kepada Hospital Likas. Program Youth JoM 2016 diakhiri dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Uskup Agung John Wong.

Dalam khutbahnya, Uskup Agung mengingatkan para peserta untuk berbelas kasih kepada Gereja agung iaitu berani menyahut panggilan Tuhan untuk menjadi rohaniwan. Sebelum para peserta bersurai, sesi bergambar beramairamai telah dijalankan bersama dengan Uskup Agung, para Paderi, rohaniawan, dan para penganjur.--Walton Wider & Michael Phoon

Total Comments:0

Name
Email
Comments