12 kata bijak, inspirasi Kongres Ekaristi Kebangsaan
Lebih 50,000 umat Katolik baru-baru ini berkumpul di Stadium Lucas Oil dan Pusat Konvensyen Indiana di Indianapolis untuk Kongres Ekaristi Kebangsaan dari Julai 17–21.
Aug 02, 2024
INDIANAPOLIS, Amerika Syarikat: Lebih 50,000 umat Katolik baru-baru ini berkumpul di Stadium Lucas Oil dan Pusat Konvensyen Indiana di Indianapolis untuk Kongres Ekaristi Kebangsaan dari Julai 17–21.
Kongres itu, acara pertama seumpamanya yang diadakan di Amerika Syarikat dalam tempoh 80 tahun, merupakan kemuncak inisiatif “Kebangkitan Ekaristi”oleh uskup Katolik A.S.
Acara raksasa ini bertujuan untuk memupuk kepercayaaan yang lebih mendalam dalam kalangan umat beriman, demi mengabdi, menghormati serta menyanjungi Ekaristi kudus iaitu Tubuh dan Darah Yesus.
Kongres ini diisi dengan Misa, pengakuan, pujian dan penyembahan, adorasi dan katekesis yang disampaikan oleh sejumlah besar orator, penceramah, podcaster dan pempengaruh terkenal Katolik, termasuk Uskup Robert Barron, Jonathan Roumie, Fr Mike Schmitz, Mother Olga dari kongregasi Daughters of Mary of Nazareth, Sr Bethany Madonna dan ramai lagi.
Program bersejarah itu dimulakan dengan prosesi besar-besaran di pusat kota Indianapolis dan telah berakhir pada Julai 21, dengan perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Kardinal Antonio Tagle, utusan khas Sri Paus Fransiskus ke kongres tersebut. Misa Kudus penutup itu dihadiri lebih 60,000 umat.
Berikut ialah 12 petikan kata-kata bijak dan inspirasi yang bergema sepanjang Kongres Kebangsaan Ekaristi:
1. “Pengetahuan boleh membuatkan seseorang hebat; tetapi hanya kasih yang menjadikan anda seorang santo — Fr Mike Schmitz
2. “Agama Kristian bukan untuk kita sahaja. Agama Kristian bukan program yang membantu peribadi atau sesuatu yang direka agar anda berasa selesa. Agama Kristian ialah untuk dunia. — Uskup Robert Barron
3. Ekaristi bagi saya ialah penyembuhan. Ekaristi bagi saya ialah kedamaian. Ekaristi bagi saya ialah asas saya. Ekaristi bagi saya ialah hati-Nya ... di dalam saya.” — Jonathan Roumie
4. Tuhan tidak akan letih kerana anda. Dia mengasihi anda dan tidak ada yang dapat menghalang-Nya. — Sr Miriam James Heidland
5.Selepas kongres ini, berikut ialah yang perlu kita nyatakan: Tidak ada kegelapan yang besar kerana kita mempunyai cahaya Ekaristi. Tidak ada dosa yang besar yang tidak dapat dikalahkan oleh Ekaristi yang penuh belas kasihan.” — Mother Adela Galindo
6. Kita mempunyai Dia dan tiada siapa boleh merampas-Nya daripada kita.” — Mother Olga of the Sacred Heart.
7. Kasih Tuhan telah dicurahkan ke dalam hati kita dan kebaikan Tuhanlah yang membawa kita kepada pertobatan yang memberi kehidupan.” — Sr Bethany Madonna
8. Anda tidak akan dapat mengalami kebangkitan tanpa pertobatan.” — Fr Mike Schmitz
9. Dia telah membuat janji itu benar, agar kita dapat menjadi orang yang bertaubat dengan berani dan gembira. Ini sungguh bercanggah dengan orang yang berkata ‘Saya rosak dan saya berdosa” berbanding dengan orang yang berkata “saya gembira dan saya berharap.’ — Sr Josephine Garrett
10. Sudah tiba masanya untuk umat Katolik berhenti berusaha untuk hidup untuk Tuhan. Sebaliknya kita harus mula hidup bersumber daripada Dia. Tubuh dan darah Tuhan ialah sumber kehidupan kita, tenaga kita dan kegembiraan kita. Jadi marilah kita makan dan minum Tubuh dan Darah-Nya setiap hari, kemudian mari kita bergegas keluar ke dunia yang kelaparan dan memberitahu semua orang: Wahai orang-orang yang kelaparan, dengar! Kami telah menemui tempat makanan untuk memuaskan rohani itu!’” — Monsignor James Shea
11. Mereka yang memilih untuk tinggal bersama Yesus akan diutus oleh Yesus … Marilah kita pergi untuk memberitakan Yesus dengan penuh semangat dan sukacita untuk kehidupan dunia.” — Kardinal Luis Antonio Tagle
12. “Saudara dan saudari, kami percaya bahawa Tuhan ingin memperbaharui Gereja-Nya dan bahawa pembaharuan ini akan berlaku melalui anda. Dan dalam memperbaharui Gereja-Nya, Dia akan memperbaharui dunia.” — Uskup Andrew Cozzens
Pada akhir Misa, pengumuman daripada Uskup Andrew Cozzens mendapat tepukan gemuruh bahawa para uskup A.S. merancang untuk mengadakan satu lagi Kongres Ekaristi Kebangsaan pada 2033, yang meraikan 2,000 tahun sejak penyaliban Yesus. — CNA/media Vatikan
Total Comments:0