Dipanggil untuk menjadi pengurus bumi yang bertanggungjawab
Paroki Holy Family Telipok membuka tirai Hari Minggu Kateketikal dengan perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Fr Sylvester Wong.
Feb 11, 2024
TELIPOK: Paroki Holy Family Telipok membuka tirai Hari Minggu Kateketikal dengan perayaan Ekaristi yang dipimpin oleh Fr Sylvester Wong.
Dengan tema, “Kita adalah Pengurus Ciptaan Tuhan” (1 Petrus 4:10) hari Minggu Kateketikal memberi peluang bagi para ketekis, ibu bapa dan penjaga untuk memperbaharui semula komitmen mereka terhadap misi katekesis.
“Katekesis iman bukan terletak pada bahu katekis pembimbing sahaja tetapi didikan rohani harus bermula daripada ibu bapa dan juga umat setempat,” ujar Fr Sylvester seraya mengingatkan umat tentang tema Hari Minggu Kateketikal yang menyeru manusia menjaga ciptaan Tuhan dan bumi, planet kita bersama.
Sebelum Misa Kudus berakhir, Fr Sylvester memimpin upacara Pembaharuan komitmen para katekis pembimbing, kemudian para pelajar Pertemuan Minggu Gembira, Inisiasi Kristian Dewasa dan diakhiri oleh ibu bapa pelajar.
Sempena hari Minggu ini juga, kelihatan beberapa kanak-kanak PMG memperagakan busana para santo seperti Sto Fransiskus dari Assisi, Sta Faustina Kowalska, Sta Elizabeth, Sto Joseph, Sto Benedict dan Sto Thomas.
Empat orang tenaga pengajar yang terpilih, memberikan perkongsian iman mereka yang memberikan inspirasi iman untuk melayani. — Evelyn Justine
Total Comments:0