232 terima Sakramen Krisma di KSFX, Keningau
Seramai 232 orang calon Krisma telah menerima Sakramen Penguatan pada Jun 10, 2023 di Katedral St. Francis Xavier, Keningau (KSFX) yang telah dipimpin oleh Bapa Uskup Cornelius Piong.
Jul 07, 2023
KENINGAU: Seramai 232 orang calon Krisma telah menerima Sakramen Penguatan pada Jun 10, 2023 di Katedral St. Francis Xavier, Keningau (KSFX) yang telah dipimpin oleh Bapa Uskup Cornelius Piong.
Turut membantu Bapa Uskup dalam Misa itu ialah Fr. David Gasikol dan Fr. Appolonius Yakis.
Bapa Uskup dalam homilinya menyatakan, Roh Kudus merupakan penolong bagi kita dalam perjalanan iman dan yang mengingatkan kita akan ajaran-ajaran Tuhan.
Namun demikian, Roh Kudus tidak memaksa, justeru kita perlu menyedari dan memohon pertolongan-Nya untuk berkarya dalam hidup kita.
Oleh itu, Gereja telah menyediakan peluang menerima sakramen Krisma agar umat dapat mengalami Roh Kudus dan lebih menghayati peranan-Nya dalam hidup sehari-hari.
Ketua Keuskupan Keningau itu menyeru kepada umat khasnya kepada krismawan dan krismawati agar sentiasa memohon bimbingan dari Roh Kudus, “Bangkitkan dan kobarkan kuasa Roh Kudus yang ada pada kamu, kerana Roh yang kamu terima memberikan kuasa, kasih dan kebolehan untuk mengawal diri.”
Roh Kudus juga mengajar dan memampukan kita menjadi peribadi yang lebih baik melalui keluarga dan sesama.“Jangan tunggu apabila sedang mengalami masalah barulah ingat untuk berdoa memohon bantuan, tetapi tetaplah setia dalam doa dan menerima Roh Kudus di hati kita setiap hari” pesan Bapa Uskup Cornelius.
Prelatus itu juga mengingatkan kepada para krismawan agar tidak mudah terpengaruh dengan godaan-godaan yang tidak baik dan selalu berandal kepada Roh Kudus khususnya setiap kali membuat keputusan.
Uskup juga berpesan kepada mereka agar selalu hadir menerima Sakramen Ekaristi dan benar-benar menghayati Sabda Tuhan, bagi memelihara kesatuan dengan Yesus Kristus dalam perjalanan iman dan mengingatkan kembali petikan (Matius 10:33) “Tetapi sesiapa menyangkal Aku di depan manusia, Aku juga akan menyangkalnya di depan Bapa-Ku yang di syurga.”
Uskup Cornelius turut menyeru agar para krismawan tetap setia mengikut ajaran-Nya dan tidak mudah meninggalkan-Nya. “Semoga dengan kepekaan kepada kehadiran Roh Kudus, kita mampu bertumbuh dalam iman, harapan dan kasih serta menyedari tanggungjawab kita sebagai seorang manusia,” tambahnya lagi.
Penerima Sakramen Krisma ini sebahagian besarnya merupakan golongan belia yang terdiri daripada umat sekitar naungan Paroki KSFX.
Uskup Cornelius mengucapkan syukur dan terima kasih kepada semua katekis pembimbing yang terlibat dan keluarga para Krismawan dan krismawati yang telah bersama-sama mereka hingga berjaya menghabiskan pembelajaran dalam Siri Kateketikal Malaysia 10 (SKM 10) yang melayakkan mereka menerima Sakramen Krisma. — Melissa Floly
Total Comments:0