50,000 belia berdoa untuk keamanan di Andes
“Bersama Teresa, Penziarah Harapan” adalah tema yang telah menarik lebih 50,000 kaum muda Chile ke shrine Sta Teresa, Andes pada Oktober 13 di bandar Auco, Chile.
Oct 27, 2024

AUCO, Chile: “Bersama Teresa, Penziarah Harapan” adalah tema yang telah menarik lebih 50,000 kaum muda Chile ke shrine Sta Teresa, Andes pada Oktober 13 di bandar Auco, Chile.
Penziarah dari pelbagai negara, berjalan sejauh 17 batu dari bukit Chacabuco hingga ke shrine, di mana Uskup Auksilier Santiago, Fernando Chomali, merayakan Misa Kudus.
Ziarah pada Oktober 13 di shrine Sta Teresa di Andes ialah tradisi di Chile. Ia berlangsung pada hari Minggu kedua bulan Oktober dan dianjurkan oleh Vikariat Belia yang bertujuan mengungkapkan kesyukuran atas berkat melalui perantaraan Sta Teresa.
Uskup Auksilier Fernando memulakan homilinya dengan permohonan pengampunan kaum muda, “Ampunilah kami kerana melupakan-Mu.”
“Ampunilah kami kerana kami tidak dapat menghentikan peperangan yang membunuh dan memusnahkan.
“Kami memohon ampun kerana kami tidak dapat menghentikan rasuah yang merugikan kami.
“Kami juga memohon pengampunan untuk semua jenis penderaan, juga yang telah dilakukan oleh Gereja, yang sangat menyakitkan kami...” ucap Uskup Agung Auksiler Fernando.
Prelatus itu menyeru orang muda untuk terus melakukan perjalanan atau ziarah doa kerana “mereka yang tidak berdoa, tidak layak berkata apa-apa kepada dunia.
“Kita sebagai sebuah Gereja tidak boleh membiarkan diri kita menjadi cetek. Janganlah kita bertolak ansur dengan segala jenis penderaan dan penyelewengan.
“Marilah kita menjalani pengembaraan iman yang didedikasikan untuk mereka yang memerlukan.
Saya mengajak anda untuk meluangkan waktu bagi merenung, agar lebih serius tentang kehidupan kita, orang lain dan alam ciptaan-Nya,” katanya.
Turut membantu dalam Misa Kudus, Fr Jonathan Muñoz, vikaris bagi pelayanan belia, mengucapkan terima kasih kepada para penziarah atas penyertaan hebat mereka.
“Saya amat bersyukur kerana pada hari ini, kerana anda meninggalkan tempat ini dengan harapan yang diperbaharui, untuk menjadi harapan bagi dunia dan seluruh Gereja.
“Dan semoga harapan itu tidak berakhir di sini sebaliknya terus berharap, menjadi penziarah harapan bersama Sta Teresa.” --CNA
Total Comments:0