ABMA hidupkan semangat mengasihi Tuhan dan sesama
Archdiocesan Bahasa Malaysia Apostolate (ABMA) telah melebarkan sayap dengan menganjurkan formasi “Mengasihi Tuhan dan Sesama” untuk lebih 50 orang umat di Chapel St. Christoper, Gemas, Negeri Sembilan, pada Februari 18-19 lalu.
Mar 17, 2023

GEMAS, N.Sembilan: Archdiocesan Bahasa Malaysia Apostolate (ABMA) telah melebarkan sayap dengan menganjurkan formasi “Mengasihi Tuhan dan Sesama” untuk lebih 50 orang umat di Chapel St. Christoper, Gemas, Negeri Sembilan, pada Februari 18-19 lalu.
Terlebih dahulu, Sdra Egbert Adolf Nointin, selaku Pengerusi ABMA telah memperkenalkan kepada para peserta akan peranan, visi dan misi ABMA di Keuskupan Agung Kuala Lumpur.
Formasi “Mengasihi Tuhan dan Sesama” merangkumi empat sesi perbincangan. Sesi pertama, “Siapakah Saya” oleh Sdra Walter Victo mengajak para peserta untuk melukis satu simbol yang menggambarkan diri sendiri, dan seterusnya mengajak para peserta untuk merenung mengapa simbol tersebut timbul di dalam fikiran mereka.
Sesi kedua, mempunyai dua sub topik iaitu “Siapakah Yesus Kristus” dan “Mengetahui bahawa Tuhan telah memilih saya, bagaimana saya merasakan kehadirannya hari ini.”
Sub topik pertama telah disampaikan oleh Sr. Irene Chengann manakala Sdri Nozie dalam sub topik kedua menekankan tentang pelayanan di tengah-tengah pelbagai cabaran kehidupan.
Formasi ini bukan sahaja dipimpin oleh para fasilitator tetapi turut melibatkan penglibatan daripada para peserta. Perbincangan kumpulan kecil dijalankan sejurus selepas selesainya perkongsian dari setiap fasilitator.
Selepas itu, para peserta turut berkongsi di perbincangan kumpulan besar. Formasi yang berbentuk dua hala ini antara lain- nya bertujuan untuk membentuk semangat pelayanan dan terbuka di kalangan peserta.
Paderi Paroki St Christopher, Fr Albet Arockiasamy memimpin Misa Kudus pada pukul 6.00 petang. Di dalam homilinya, Fr Albet menyeru umat untuk terus berakar di dalam pelayanan khususnya dalam membangunkan iman komuniti di St Christopher, Gemas.
Formasi diteruskan pada hari kedua dengan sesi yang ketiga yang turut mencakupi dua sub topik. Sub topik pertama, “Kerohanian komuniti terserlah di dalam kerjasama ministri/komuniti” telah di- sampaikan oleh Sdra Egbert dan sub topik kedua, disampaikan oleh Sdri Elena Woo, “Cabaran perjalanan kita (Kelemahan dan Kekuatan).
Sesi keempat yang dikendalikan oleh Sdra Walter, merupakan sesi peneguhan, untuk para peserta meluahkan apa yang mereka rasakan di dalam memberi dan menerima.
Formasi “Mengasihi Tuhan dan sesama” ini ternyata telah memberi impak pem- bangunan iman kerohanian yang luarbiasa kepada para peserta formasi.
Pembentukan tersebut juga akan membuka lebih banyak peluang untuk umat KUBM di chapel itu untuk lebih bersolidariti dan berjalan bersama sesuai dengan semangat gereja sinodal.
Berikut merupakan beberapa kesaksian daripada para peserta:
Menurut Helen Zater, “Sebelum menyertai formasi ini, saya berasa kurang yakin menjadi pembimbing kelas IKD.
“Formasi ini telah menyediakan saya dari segi mental dan emosi serta mengetahui bahawa saya dihargai dan sedia memikul salib,” kata Helen.
Salah seorang peserta, Welbont menyatakan, “Beberapa hari sebelum formasi, saya dimasukkan ke hospital. Puji Tuhan, meskipun agak mustahil, tetapi Tuhan mengurapi saya dengan kesembuhan untuk menyertai formasi.
“Kemudian semasa formasi, saya dikejutkan dengan berita dukacita dari kampung kematian abang ipar saya. Saya merasakan kuasa Tuhan begitu kuat dalam formasi ini kerana fikiran dan aktivit-aktiviti yang saya lalu, sangat menarik, berkesan dan menyentuh hati saya.” kata Welbont
Bagi Hendrick anak Mihon pula, beliau mengakui bahawa formasi itu menyedarkannya kepentingan merendahkan hati serta menyedarkan beliau agar melakukan sesuatu bukan kerana kehendak sendiri tetapi demi kemuliaan Tuhan untuk selama-lamanya.
“Saya percaya dan yakin, semua peserta juga merasakan apa yang saya rasakan melalui formasi ini, ” ujar Hendrick.
Melitin bin Timoi pula mengatakan, “Formasi ini telah memberi kesedaran kepada saya untuk lebih terbuka untuk me-layani Tuhan di dalam gereja dan menjadikan gereja sebagai ‘rumah untuk semua’, serta membuka pintu bagi mereka yang berbeban berat.” — Velarie Nozie Muslie
Total Comments:0