Ada kuasa hebat dalam liturgi

Ramai yang lupa, perayaan liturgi sebenarnya mempunyai kuasanya yang tersendiri. Kanak-kanak yang dibawa ke Gereja untuk merayakan Ekaristi sejak usia bayi, ternyata lebih tekun untuk mengenal Yesus dan berdoa.

May 19, 2023


“Bapa kami yang ada di sayur..... Bapa kami yang satu, dua, tiga, empat....” inilah kalimat anak perempuan saya yang berusia lapan tahun ketika diminta berdoa Bapa Kami.

Adakalanya geli hati menyaksikannya menghafal doa. Tetapi selalunya, hati saya gelisah dan risau jika dia terus bermain serta tidak memahami makna perayaan Ekaristi.

Meskipun sudah berkali-kali berbicara dengannya tentang Misa Kudus dan sudah dua tahun dia mengikuti Sunday School, dia lebih suka melukis sepanjang Misa Kudus.

Saya yakin, kerana anak yang masih kecil dan dengan alasan kenakalan anak-anak akan menganggu ketenteraman umat berdoa, maka ramai ibu bapa yang tidak akan ke Gereja.

Ramai yang lupa, perayaan liturgi sebenarnya mempunyai kuasanya yang tersendiri. Kanak-kanak yang dibawa ke Gereja untuk merayakan Ekaristi sejak usia bayi, ternyata lebih tekun untuk mengenal Yesus dan berdoa.

Saya teringat beberapa tahun lalu, semasa mengajar di kelas Penguatan yang mempunyai 16 orang pelajar.

Kebanyakan pelajar saya adalah mereka hanya datang ke kelas dan balik selepas kelas. Tetapi ada dua orang pelajar saya memang selalu menghadiri Misa dan rajin mengikuti akviti dalam KKD mereka.

Dua orang pelajar yang dibawa ke Gereja sejak bayi oleh ibu bapa mereka, ternyata sangat aktif dalam perkongsian. Saya sering kagum dengan perkongsian kedua-dua pelajar ini yang sebenar-nya sederhana tetapi mereka melihat kuasa campur tangan Tuhan dalam hidup mereka.

Dan, selepas pandemik, selepas upacara komuni pertama, seorang kanak-kanak menyatakan, “Semasa pertama kali menyambut Tubuh dan Darah Yesus, saya berasa sangat seronok berada dalam Misa. Saya berasa perjalanan liturgi sangat kudus dan indah.”

Ucapan kanak-kanak ini meskipun singkat tetapi ia memberi dua pengajaran untuk saya:

1. Misa Kudus ada kuasanya tersendiri. Jangan halang kanak-kanak dari menghadirinya.

2. Semasa Misa Kudus, Yesus benar-benar hadir dan hidup. Maka agak rugi jika kerana anak yang masih kecil, kita tidak menghadiri Misa.

Orang-orang tua di komuniti saya mempunyai nasihat sendiri mengenai hal membawa anak menghadiri Misa Kudus.

Kata mereka, anak menangis dengan kuat semasa Misa itu biasa, anak bersikap nakal itu biasa, anak tidak berhenti mengajak kita pulang sebelum Misa berakhir atau anak-anak menjelir lidah pada kanak-kanak lain semasa Misa ... itu juga biasa.

Fasa ini akan berakhir. Teruskan sahaja datang menghadiri Misa Kudus, teruskan berada di Gereja dan bertahanlah hingga akhir. Lagipun, Yesus berharap kepada kita untuk kita memperkenalkan Dia kepada anak-anak kita ...

Ya, Misa Kudus adalah pelajaran rohani yang lengkap untuk anak-anak kita. Jadi janganlah kita mengurung mereka di rumah, sebaliknya bawalah mereka ke altar Tuhan yang kudus.

Total Comments:0

Name
Email
Comments