Aktivis muda tuntut penyelesaian konkrit perubahan iklim

Ketika pemimpin dunia berkumpul di persidangan iklim PBB untuk memikirkan cara menangani perubahan iklim, pemuda Kristian dari seluruh dunia keluar untuk menyuarakan pendapat mereka melalui protes tentang apa yang menyakiti alam sekitar dan memberi kesan buruk terhadap seluruh umat manusia.

Nov 25, 2022

Aktivis muda alam sekitar mahu penyelesaian konkrit perubahan iklim.


SHARM EL-SHEIKH, Mesir:
Ketika pemimpin dunia berkumpul di persidangan iklim PBB untuk memikirkan cara menangani perubahan iklim, pemuda Kristian dari seluruh dunia keluar untuk menyuarakan pendapat mereka melalui protes tentang apa yang menyakiti alam sekitar dan memberi kesan buruk terhadap seluruh umat manusia.

Joe Bongay dari Jaringan Belia Katolik untuk Kelestarian Alam Sekitar menyatakan protes itu bertujuan untuk menarik perhatian kepada keperluan untuk menjaga bumi, sejajar dengan ensiklik Sri Paus Fransiskus, “Laudato Si.”

Katanya, “perubahan iklim menjejaskan orang biasa di seluruh Afrika. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah meramalkan lebih 50 juta orang akan mengalami kelaparan kronik menjelang akhir tahun ini disebabkan kemarau.”

“Kami bergelut untuk bertahan dari segi makanan, dari segi kelaparan, dan begitu banyak masalah lain yang disebabkan oleh perubahan iklim. Afrika berada pada tahap di mana ia tidak boleh memberi makan kepada penduduknya sendiri,” katanya.

Aktivis Katolik Nigeria, Lucky Abeng menyatakan mengenai banjir dahsyat yang melanda di negaranya sehingga membunuh lebih 600 orang pada Oktober lalu, manakala satu juta orang yang lain terpaksa berpindah.

Rita Uwaka dari Friends of the Earth Africa meluahkan rasa tidak selesa dengan kehadiran pelobi bahan api fosil pada acara COP27.

“Banyak syarikat yang mengambil kesempatan atas perubahan iklim dan memanipulasi proses rundingan, dan kami merasakan bahawa penjenayah yang mencetuskan krisis iklim ini perlu ditendang keluar. Sudah tiba masanya terdapat kewarasan dalam COP. Dan satu-satunya cara kita boleh mendapatkan kewarasan dan keadilan adalah dengan memastikan bahawa pencemar ini membayar serta ditendang keluar dari rundingan iklim,” katanya.

Beliau membidas pemimpin kerana mencari apa yang disifatkannya sebagai “penyelesaian palsu” kepada kecemasan iklim, contohnya pasaran karbon.

“Terdapat banyak penyelesaian palsu. Contohnya pasaran karbon yang terus mencemarkan negara-negara maju, dan kemudian anda datang ke Afrika untuk menanam pokok untuk menyerap karbon, tetapi anda tidak menghentikan pencemaran pada sumbernya. Itu adalah penyelesaian palsu, dan kami menolaknya,” tegas Rita.

“Kami tidak mahu penyelesaian palsu,” ujarnya seraya menjelaskan bahawa masyarakat tempatan di Afrika dan negara membangun lain harus mengetuai pencarian penyelesaian di mana penyelesaian yang mampu serta tenaga yang boleh diperbaharui dan boleh diakses adalah patut digalakkan.” — CNS

Total Comments:0

Name
Email
Comments