Ancaman kemarau ekstrem di kala gelombang haba melanda
Ancaman kemarau melanda Asia Tenggara ketika negara-negara di rantau ini terus mengalami suhu tinggi susulan laporan gelombang haba bertambah buruk akibat pencemaran udara.
May 26, 2023

JAKARTA: Ancaman kemarau melanda Asia Tenggara ketika negara-negara di rantau ini terus mengalami suhu tinggi susulan laporan gelombang haba bertambah buruk akibat pencemaran udara.
Suhu di bandar Tuong Duong, Vietnam memuncak pada paras tertinggi 44.2°C pada Mei 14 lalu, menurut Pusat Ramalan Hidro- Meteorologi Kebangsaan Vietnam. Luang Prabang, sebuah bandar di Laos, juga mencatatkan suhu tertinggi iaitu 43.5°C.
Sementara itu, Bangkok, ibu negara Thailand, mencatat rekod 41°C pada hujung minggu lalu. Di Filipina, Dipolog City mencapai 47°C pada petang Ahad, menurut biro cuaca negeri, Pentadbiran Perkhidmatan Atmosfera, Geofizik dan Astronomi Filipina. Singapura mencatatkan suhu tertinggi dalam tempoh 40 tahun pada 37°C pada Mei 13, kata Agensi Sekitaran Kebangsaan negara itu. Empat kawasan di Semenanjung Malaysia pula merekodkan status cuaca panas melebihi 37°C melebihi tiga hari berturut-turut kata laporan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Mei 16 lalu.
Suhu tinggi dikaitkan dengan beberapa faktor termasuk pencemaran udara yang semakin teruk mengakibatkan asap tebal yang menyelimuti rantau ini.
Gabungan kualiti udara yang buruk, dan haba melampau akibat gas rumah hijau yang terperangkap di atmosfera, telah meningkatkan risiko strok haba dan penyakit pernafasan, kardiovaskular, dan buah pinggang.
Dr Pedro Walpole SJ, Pengerusi Sains Alam Sekitar untuk Perubahan Sosial, sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan yang berpangkalan di Filipina, berkata bahawa pada masa ini, “fenomena El Niño sedang berkembang selama tiga tahun selepas La Niña.”
“Walaupun El Nino adalah fenomena semula jadi, di bawah perubahan iklim ia menjadi lebih ekstrem kerana ‘kotak’ tiga dan empat di Pasifik semakin panas dan kawasan-kawasan ini menunjukkan zon panas yang semakin meningkat yang merebak ke seluruh Pasifik,” katanya.
“Pasifik adalah tempat di mana iklim Asia Tenggara berasal, membentuk sebahagian daripada biome kita, dan oleh itu, ada kemungkinan kita akan mengalami kemarau lebih buruk daripada 1997,” tambah Dr Walpole. — media Vatikan
Total Comments:0