Anggota KED diseru promosi firman Tuhan, menjadi garam dan terang dunia
Pelayanan KED (Komuniti Eklesial Dasar) Bahasa Vikariat Melaka telah mengadakan bengkel yang bertema, “Garam dan Terang Dunia: Persekutuan, Penyertaan dan Misi” pada Februari 25, di Gereja Our Lady of Guadalupe Krubong, yang disertai 34 orang pemimpin KED.
Mar 24, 2023

MELAKA: Pelayanan KED (Komuniti Eklesial Dasar) Bahasa Vikariat Melaka telah mengadakan bengkel yang bertema, “Garam dan Terang Dunia: Persekutuan, Penyertaan dan Misi” pada Februari 25, di Gereja Our Lady of Guadalupe Krubong, yang disertai 34 orang pemimpin KED.
Ia dimulakan dengan Misa Kudus yang dipimpin oleh Fr Neville Arul Sinnappah. Sesi-sesi dalam bengkel ini dikendalikan oleh Sr Magdalena Kopong FSIC (Sr Mag).
Sr Mag menyampaikan tiga sesi iaitu “Panggilan Tuhan bagi Gereja-Nya melalui KED”, “Berjalan bersama sebagai garam dan terang dunia” dan untuk sesi ketiga, diadakan perbincangan dalam kumpulan.
Dalam sesi-sesi tersebut, para pemimpin KED dijelaskan sejarah bermulanya KED seperti yang tercatat dalam Kitab Suci dan kepentingannya dalam membantu penghayatan Firman Tuhan serta bagaimana KED dapat membantu keuskupan untuk bertumbuh dalam iman.
Melalui sesi ketiga iaitu perkongsian dalam kumpulan, para peserta menggunakan bahan-bahan renungan, bagi membantu mereka untuk berkongsi pengalaman dan merenung peranan mereka dalam KED sebagai umat yang dibaptis. Aktiviti dalam kumpulan ini juga membantu para peserta bagaimana mengadakan aktiviti dan bagaimana menghidupkan Sabda Tuhan dalam KED.
Selepas bengkel, para peserta mengungkapkan kesyukuran mereka kerana memperoleh pengetahuan mendalam peranan KED sebagai salah satu cara menggereja. — Noni Jemis
Total Comments:0