Atasi prejudis dengan Sabda Tuhan dan dialog
Beberapa hari sebelum Rwanda memulakan perkabungan rasmi sebagai memperingati ulang tahun ke-20 tragedi ngeri pembunuhan etnik beramai-ramai, Paus Fransiskus menyeru para Uskup di negara tersebut untuk tekun dan bersungguh- sungguh dalam pelayanan penyembuhan serta perdamaian.
Apr 11, 2014
VATIKAN: Beberapa hari sebelum Rwanda memulakan perkabungan rasmi sebagai memperingati ulang tahun ke-20 tragedi ngeri pembunuhan etnik beramai-ramai, Paus Fransiskus menyeru para Uskup di negara tersebut untuk tekun dan bersungguh- sungguh dalam pelayanan penyembuhan serta perdamaian.
“Dua puluh tahun selepas peristiwa berdarah, ketika lebih sejuta nyawa dibunuh kerana perbuatan menghapuskan etnik, maka Gereja di Rwanda harus mengutamakan perdamaian dan penyembuhan batin bagi mereka yang masih hidup,” kata Sangti Papa ketika bertemu dengan para Uskup Rwanda pada April 3 lalu. Para Uskup tersebut dalam rangka 'ad limina' ke Vatikan.
Bapa Suci turut berdoa khusus bagi rakyat Rwanda yang terluka akibat tragedi itu, beliau berdoa tidak mengira agama, etnik atau politik bagi setiap penduduk Rwanda.
“Pengampunan dan melupakan sesuatu yang amat buruk mungkin kelihatan mustahil dari pandangan manusia biasa tetapi inilah anugerah Kristus kepada umat-Nya melalui iman serta doa,” jelas Sangti Papa.
“Bagi mencapai pengampunan dan penyembuhan sepenuhnya, ia memerlukan masa dan kesabaran, dialog dan saling menghormati,” kata Paus lagi.
Rakyat Rwanda akan memulakan tempoh berkabung secara rasmi bermula pada April 7 lalu. Mereka berkabung selama seminggu bagi mengingati kaum Tutsis dan Hutus yang terbunuh akibat penghapusan etnik. Beberapa pembunuhan tersebut berlaku di Gereja-gereja malah ada juga seluruh umat beriman yang sedang beribadat bersama, turut dibunuh. Pemimpin dari pelbagai Gereja Kristian termasuk Gereja Katolik turut dikasari kerana umat yang datang, mempunyai kaitan dengan kumpulan etnik tertentu.
Menurut Bapa Suci Fransiskus, sekolahsekolah dan hospital Katolik di Rwanda mempunyai peranan penting bagi memastikan keamanan kekal di negara itu. Namun, terlebih dahulu, mereka harus bersatu dan bekerjasama di dalam cinta kasih serta membenarkan Injil menyentuh hati dan mengubah hati mereka.
“Adalah penting bagi umat untuk mengatasi prejudis dan pemisahan etnik. Gereja bercakap dalam satu suara, menunjukkan kesatuannya.” Sangti Papa juga menggalakkan para Uskup untuk melakukan sedaya upaya mereka untuk mengukuhkan perhubungan dan kepercayaan di antara Gereja dan negara.
“Dialog yang membina dengan pihak berkuasa dapat membantu usaha damai dan membangun semula masyarakat berasaskan nilai-nilai memartabatkan maruah manusia, keadilan serta keamanan.” --CNS
Total Comments:0