Audiensi Umum Mingguan Sri Paus Fransiskus: Ingatlah maksud Injil ialah “berita gembira”

Dalam siri katekesisnya tentang Roh Kudus dalam kehidupan Gereja, Sri Paus Fransiskus memfokuskan refleksi beliau mengenai karunia kegembiraan rohani, salah satu buah Roh Kudus.

Dec 06, 2024


VATIKAN:
Dalam siri katekesisnya tentang Roh Kudus dalam kehidupan Gereja, Sri Paus Fransiskus memfokuskan refleksi beliau mengenai karunia kegembiraan rohani, salah satu buah Roh Kudus.

Semasa audiensi umum mingguannya, Sri Paus menjelaskan ada bezanya antara kegembiraan duniawi dan kegembiraan yang didatangkan oleh Roh Kudus.

Katanya, kegembiraan duniawi hanya sekejap tetapi Roh memberikan kita kegembiraan mendalam dan kekal. Kehadiran Roh Kudus di dalam hati kita pasti memberi inspirasi kepada kita untuk berkongsi kegembiraan ini dengan orang lain.

Sangti Papa menjelaskan bahawa buahbuahan Roh adalah hasil kerjasama kita antara rahmat dan kebebasan, di mana “iman bekerja melalui cinta” dengan cara unik, kreatif dan menggembirakan. Kita masing-masing diberikan karunia istimewa, oleh sebab itu, jadilah “pekerja amal Tuhan yang sabar dan rendah hati untuk keamanan serta kesejahteraan bersama.”

Sukacita merupakan buah Roh Kegembiraan yang memberikan kita perasaan “kenyang” dan terpenuhi serta membuat seseorang berharap ia akan kekal selamalamanya, jelas Sri Paus.

Prelatus itu memetik kata-kata Sto Augustinus kepada Tuhan: “Engkau telah menjadikan kami untuk diri-Mu sendiri, dan hati kami resah sehingga ia tenang di dalam Engkau”.

Kegembiraan berganda
“Sukacita Injil, tidak seperti kegembiraan lain kerana ia dapat diperbaharui setiap hari dan menular,” kata Sri Paus. Katanya, “Berkat pertemuan berterusan dengan kasih Tuhan ini, yang berkembang menjadi persahabatan, memperkaya, membebaskan kita daripada kesempitan dan sikap keterlaluan kita.”

Lanjutnya, “Sukacita adalah sumber dan inspirasi semua usaha kita dalam penginjilan. Oleh sebab itu, sememangnya wajar bahawa kita diilhamkan untuk berkongsi kegembiraan ini dengan orang lain. Kegembiraan yang merupakan buah Roh tidak pudar dan ia “berlipat ganda apabila ia dikongsi dengan orang lain.”

Sukacita Injil Bapa Suci juga mengenang karya Sto Philip Neri yang tinggal di Roma, lima abad lalu dan dikenali sebagai “orang kudus yang sentiasa bersukacita.”

Sri Paus mengatakan Sto Philip Neri pernah berkata kepada anak-anak miskin dan terbiar dalam khutbahnya, “Anak-anakku, bersukacitalah; Jangan ragu atau murung; cukuplah bagiku kamu tidak berbuat dosa”. Kegembiraan Sto Philip Neri adalah buah Roh dan dia menjadi “penginjil sejati melalui kegembiraan.”

Perkataan “Injil” bermaksud berita gembira, kata Sri Paus Fransiskus.

Bapa Suci menggalakkan semua orang untuk mengambil nasihat Sto Paulus kepada jemaat di Filipi, “Bersukacitalah senantiasa dalam Tuhan! Sekali lagi ku katakan: Bersukacitalah! Hendaklah kebaikan hatimu diketahui semua orang. Tuhan sudah dekat!(Flp 4:4-5). --Media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments