Audiensi Umum Mingguan Sri Paus Fransiskus: Percayakan 2025 kepada Bonda Maria

Sri Paus Fransiskus memulakan tahun 2025 dengan seruan keamanan dan perlindungan kehidupan manusia. Pelatus itu menggesa “komitmen teguh untuk menggalakkan penghormatan terhadap martabat manusia, sejak dari kandungan hinggalah kematian semula jadi.”

Jan 11, 2025


VATIKAN:
Sri Paus Fransiskus memulakan tahun 2025 dengan seruan keamanan dan perlindungan kehidupan manusia. Pelatus itu menggesa “komitmen teguh untuk menggalakkan penghormatan terhadap martabat manusia, sejak dari kandungan hinggalah kematian semula jadi.”

Hak ini ditegaskan oleh Sri Paus Fransiskus dalam homili sempena hari pertama Tahun Baharu.

Berbicara di Basilika Sto Petrus sempena Pesta Maria Bonda Tuhan dan Hari Keamanan Sedunia ke-58, Bapa Suci secara khusus menekankan martabat setiap orang dilahirkan daripada wanita.

“Melindungi nyawa, menjaga nyawa yang lemah, memulihkan martabat kehidupan setiap kehidupan yang lahir daripada seorang wanita adalah asas untuk membina tamadun keamanan,” kata Sri Paus Fransiskus dalam homilinya.

Bapa Suci menghubungkan tema keamanan dan martabat manusia dengan perayaan keibuan Ilahi Maria, menekankan bagaimana inkarnasi Kristus yang lahir dari seorang wanita telah memperlihatkan kehadiran Tuhan dalam kelemahan manusia.

“Jika Dia, yang merupakan Anak Tuhan, menjadi sangat kecil, yang dipeluk oleh seorang ibu, dipelihara dan disusui, ini bermakna pada hari ini juga, Dia datang di antara kita yang memerlukan penjagaan yang sama,” kata Sri Paus.

Misa itu juga merayakan Tahun Jubli 2025 yang dilancarkan pada malam menjelang Krismas. Fransiskus memetik kata-kata terkenal Sto Ambrose bahawa “Maria adalah pintu di mana Kristus memasuki dunia ini.”

Antara cabaran zaman moden masa kini ialah idea abstrak yang memisahkan Tuhan daripada realiti manusia.

Bapa Suci menyeru bahawa Tuhan bukan abstrak sebaliknya secara konkrit, hidup dan hadir dalam penderitaan manusia dan mereka yang meratap kepada- Nya.

Pada akhir homilinya, Bapa Suci mempercayakan tahun Jubli kepada Maria, berdoa agar ”harapan dapat dilahirkan kembali dan damai sejahtera akhirnya muncul bagi semua bangsa di bumi”. CNA

Total Comments:0

Name
Email
Comments