Bagaimana jika kehabisan “anggur”?

Kehidupan suami isteri memang ada-ada saja. Kahwin memang mudah. Tetapi cabaran sesudah kahwin itulah yang sukar. Maka apa yang terjadi di Kana, boleh juga terjadi pada setiap pasangan suami isteri.

Jan 14, 2022

HARI MINGGU BIASA II (C)
YESAYA 62:1-5;
1 KORINTUS 12:4-11; INJIL YOHANES 2:1-11

Kehidupan suami isteri memang ada-ada saja. Kahwin memang mudah. Tetapi cabaran sesudah kahwin itulah yang sukar. Maka apa yang terjadi di Kana, boleh juga terjadi pada setiap pasangan suami isteri. Lambat laun, mereka pun akan mengalami, “Kehabisan anggur,” walaupun Yesus selalu berada di tengah-tengah mereka.

Pada permulaan perkahwinan, semuanya kelihatan baik-baik belaka – ceria, gembira, aman damai, hidup bagaikan di syurga. Tetapi apabila masa berlalu, mereka mulai merasa keadaan hidup yang sebenar, nyata dan bukan igauan, barulah mereka sedar bahawa impian yang indah-indah itu rupa-rupanya tidak selalu betul.

Sebab, nyatanya apabila dua orang individu terlalu dekat di antara satu dengan yang lain, masalah pasti terjadi.

Perselisihan pasti terjadi hanya kerana perkara-perkara yang remeh yang akhirnya mengarah kepada perkara-perkara yang serius pula. Ketegangan terjadi dari semasa ke semasa, lalu mereka mulai sedar rupanya perkahwinan itu bukan perkara yang boleh dianggap sambil lewa dengan sikap endah tak endah.

Masing-masing mulai merasa cemas dan menyesali diri mengapa dahulu dengan mudah melafazkan kata-kata, “I love you.” Lalu dengan diam-diam berkata dalam hati kecil, “Kalau ku tahu dahulu, saya tidak akan pernah mahu kahwin dengan dia.”

Dalam kata lain, mereka sudah mulai “Kehabisan Anggur,” sebab merasakan hidup berpasangan ini hanya membosankan, membantutkan potensi untuk hidup lebih maju, rutin belaka dan dipenuhi dengan rasa dendam kesumat terhadap kerenah pasangan yang “bikin panas”.

Kisah perkahwinan di Kana membawa pesan hendaklah para pasangan jangan berputus asa. Marilah kita tumpukan perhatian kita terhadap contoh perkahwinan di Kana tersebut.

Mereka kehabisan anggur, lalu apa yang mereka lakukan? Bagaimana air yang masih ada itu boleh diubah menjadi anggur, malah anggur yang terbaik? Jangan cemas! Akuilah dengan jujur bahawa “Anggur” perkahwinan itu sudah habis. Bersyukurlah dengan “Air” yang masih ada. Seperkara lagi yang cukup menarik perhatian kita bahawa “Anggur Lama” perlu dihabiskan agar “Anggur Baharu” dibawa masuk.

Jadi, tidak perlu takut dan cemas. Kita perlu berpegang teguh pada satu dengan yang lain.

“Buang yang keruh ambil yang jernih” — Walaupun kita ada krisis rumah tangga, tetapi Tuhan sentiasa memberi kita kesempatan yang berlimpah untuk menjadikan perkahwinan kita sama atau lebih hebat daripada yang dahulu.

Di sinilah khabar gembira Yesus itu berperanan bagi pasangan yang mahu Kristus campur tangan di dalam perkahwinan mereka. Hadir bukan hanya pada masa-masa yang serba OK, tetapi hadir pada setiap masa baik dalam suka mahupun duka.

Cinta kasih yang dahulu (anggur lama), memang sangat menyeronokkan.

Tetapi biasanya hanya bersifat fizikal, perasaan dan sementara belaka. Cinta seperti ini perlu disingkirkan perlahan-lahan untuk memasuki ke tahap kasih yang membuat kita mengutamakan pasangan kita lebih dahulu. Kita mahu mengasihi bukan hanya mahu dikasihi dan difahami oleh pasangan kita.

Kasih adalah menyeronokkan tetapi memerlukan pengorbanan. Kita perlu berusaha untuk berubah sikap daripada suka difahami, diberi perhatian kepada sikap memahami dan memberi dengan sukacita demi kebahagiaan pasangan.

Perkara dan idea ‘gila’ ini memang sukar tanpa bantuan dan bimbingan pihak ketiga. Maka di sinilah kita perlukan Kristus. Yesus pernah berkata, “…anggur yang baru tidak diisikan ke dalam kantong kulit yang tua” (Luk 5:37).

Ini bererti bahawa jika anggur baru itu mengalir, kita sendiri pun perlu menjadi manusia baru. Manusia yang mampu mengasihi sesamanya dengan lebih sungguh.

Apabila lelaki dan wanita berkahwin, mereka bukan lagi dua tetapi satu (Lih Ef 5:31). Tetapi masalah mulai muncul apabila mereka mahu menentukan yang mana satu.

Ada kisah suami isteri ini yang menarik: Seorang tetangga gembira melihat pasangan suami isteri yang kembali berdamai selepas bertelingkah.

“Saya gembira melihat engkau dan isterimu sudah berdamai semula,” katanya kepada si suami.

"Apa, berdamai? Kami tidak akan pernah berdamai," kata si suami.

“Tetapi kenapa kelmarin saya melihat kamu berdua sedang menggergaji kayu berdua-duaan?” tanya si tetangga.

“Oh itu kami sedang membahagi-bahagi harta, termasuk kayu balak yang kami kumpul dahulu," jawab si suami selamba.

Kisah suami isteri memang lucu dan adakalanya kelihatan bodoh. Tetapi percayalah, Yesus akan mengubah ‘air’ kebodohan itu menjadi ‘anggur’ cinta kasih bagi mereka berdua.

Hanya Yesus yang boleh melakukan itu semua, sebab tanpa cinta kasih, tidak ada ‘anggur’ apa pun yang boleh membahagiakan pasangan suami isteri.

Maka bagi pasangan suami isteri, tujuan cinta kasih hanya satu, iaitu demi kebaikan dan kebahagiaan orang yang sangat dekat dan sangat kita kasihi. — santapan rohani

Total Comments:0

Name
Email
Comments