Bagaimana mengendalikan hosti terjatuh?

Menurut Pedoman Umum Misale Romawi 280 menyatakan, “Hosti atau bahagian hosti yang terjatuh harus dipungut dengan khidmat. Kalau ada Darah Kristus tertumpah, hendaknya tempat itu dibersihkan dengan air. Air itu lalu dituangkan ke dalam sakrarium di sakristi”.

May 11, 2024


Soalan:
Semasa menyambut komuni baru-baru ini, hosti terjatuh betul-betul di hadapan saya. Saya terus membongkokkan badan untuk mengambil hosti dari lantai. Masa saya mengambil hosti, paderi menjerit dan menghalang saya. Namun disebabkan saya sudah membongkok dan mengambil hosti itu, saya terus menyerahkannya kepada paderi.

Selepas doa sesudah komuni, paderi itu memberi teguran bahawa orang awam tidak boleh mengambil hosti yang terjatuh. Persoalan saya, salahkah saya mengambil hosti yang jatuh di hadapan saya? Dan adakah patut saya dimarahi di hadapan orang ramai? — Ray, OLG, Melaka

Jawaban: Kadang-kadang semasa pengagihan Perjamuan Kudus dalam Misa, kejadian hosti (tubuh Yesus) atau wain (darah Yesus) ‘terjatuh’ oleh paderi atau pelayan komuni berlaku secara tidak sengaja.

Setiap kali ini berlaku, paderi, diakon atau pelayan komuni Misa Kudus diarahkan untuk menjaga agar tubuh dan darah Yesus diperlakukan dengan penuh penghormatan.

Menurut Pedoman Umum Misale Romawi 280 menyatakan, “Hosti atau bahagian hosti yang terjatuh harus dipungut dengan khidmat. Kalau ada Darah Kristus tertumpah, hendaknya tempat itu dibersihkan dengan air. Air itu lalu dituangkan ke dalam sakrarium di sakristi”.

Hostia yang jatuh biasanya dimakan oleh paderi, namun ada kalanya, jika hosti itu kotor dan diselaputi habuk, ia disimpan dalam sakristi, dimasukkan ke dalam bejana air dan apabila hosti itu telah larut, air itu dituangkan ke dalam sakrarium.

Jika tidak dapat melakukan semua ini (melarutkan hosti dan menuangnya di sakrium) semasa Misa Kudus, biasanya seorang paderi akan meletakkan kain putih di atas tempat di mana hosti atau darah Yesus tertumpah selepas Misa.

Apabila orang melihat bahawa suatu hosti kudus terjatuh, atau bahkan potongannya yang kecil terjatuh di atas lantai, dia wajib memungutnya serta memberikannya kepada paderi pada saat yang tepat — mungkin di akhir komuni ketika paderi bersiap membersihkan piala

Sebab mengapa Gereja berusaha keras untuk menjaga pengendalian dan kesucian hosti semasa Misa adalah kerana Gereja dengan teguh percaya kepada kata-kata Yesus, “inilah tubuh-Ku, inilah darah-Ku” seperti yang dijelaskan oleh Katekismus Gereja Katolik, 1376: “oleh konsekrasi roti dan anggur terjadilah perubahan seluruh substansi roti ke dalam substansi tubuh Kristus, Tuhan kita, dan seluruh substansi anggur ke dalam substansi darah-Nya. Perubahan ini oleh Gereja Katolik dinamakan secara tepat dan dalam erti yang sesungguhnya perubahan hakiki [transsubstansiasi]” (DS: 1642).

Dengan realiti ini dalam fikiran, roti dan wain yang terjatuh itu adalah sesungguhnya Tubuh dan Darah Sang Penyelamat kita.
Iman ini menyatakan bahawa semua yang Gereja lakukan berkaitan dengan Ekaristi, mengakui bahawa Tuhan sendiri yang hadir dan tindakan kita terhadap ‘hosti yang terjatuh’ harus bersumber pada cinta peribadi kita terhadap kepada Dia yang menciptakan kita.

Insiden yang terjadi berkaitan pembahagian dan penerimaan hosti kudus memang kadang kala terjadi. Kita semua wajib berhati-hati dalam tindakan kita.

Jangan pernah bersikap acuh tak acuh semasa menyambut komuni kudus; melainkan kita wajib senantiasa menyambut komuni kudus dengan hormat dan hati-hati.

Ini adalah kerana kita memperoleh hak yang teramat istimewa menyambut Tubuh, Darah, Jiwa dan Ke-Tuhanan Juruselamat kita yang sungguh hadir dalam Ekaristi Kudus.

Soalan Dua: Adakah umat yang mengutip hosti kudus terjatuh harus dimarahi?

Mengenai perkara ini, pihak Gereja tidak boleh mendengar satu pihak sahaja. Jika benar paderi itu berkata kasar dan menegur keras di hadapan umum, semoga Sdra dapat memaafkannya.

Mungkin dia hanya menegur secara umum dan tidak bermaksud menyakiti hati Sdra. Seorang paderi juga seorang manusia biasa. Mungkin adalah baik Sdra bertemu dengan paderi itu, berdamai dan memohon penjelasan selanjutnya daripada beliau. — Aleteia, indocellnet, GIRM

Total Comments:0

Name
Email
Comments