Bangkit dalam iman, perbuatan dan kasih

Dalam dua minggu terakhir ini kita telah mendengar Yesus memberi beberapa pernyataan yang bukan hanya sungguh menakjubkan tetapi juga mengejutkan. Yesus berkata, “Akulah air yang hidup…, Akulah cahaya dunia.”

Mar 24, 2023

HARI MINGGU KELIMA
PRA-PASKAH TAHUN A
YEHEZKIEL 37:12-14;
ROMA 8:8-11;
INJIL YOHANES 11:1-45

Dalam dua minggu terakhir ini kita telah mendengar Yesus memberi beberapa pernyataan yang bukan hanya sungguh menakjubkan tetapi juga mengejutkan. Yesus berkata, “Akulah air yang hidup…, Akulah cahaya dunia.”

Pada hari ini pula kita men-dengar Yesus membuat satu lagi pernyataan yang tegas, “Akulah kebangkitan dan kehidupan.”

Kenyataan Yesus yang tegas tersebut sebenarnya sangat relevan dengan kita pada hari ini sama seperti yang dialami oleh Maria dan Martha di dalam Injil tadi, sebab akibat kematian pada zaman Maria dan Martha sama sahaja dengan zaman kita sekarang.

Misalnya kita sendiri menyaksikan saudara kita yang tersayang meninggal dunia kerana menghidap pelbagai jenis penyakit atau kerana kecelakaan jalan raya.

Pada ketika ini pula kita selalu mendengar ramai orang di luar negara meninggal akibat peperangan, keganasan dan bencana alam. Ketika ini pun kita mengalami bentuk kematian yang berlainan apabila kita melihat perkahwinan diakhiri dengan perceraian.

Demikian pun kita merasakan suatu bentuk kematian apabila kita diputuskan hubungan kerja oleh majikan kita atas alasan pengu-rangan pekerja atau mengalami kerugian dalam pelaburan dan perniagaan yang kita ceburi.

Di dalam semua keadaan yang mematikan ini, rupanya kita pun sungguh perlu mendengar dan percaya bahawa Yesus adalah sesungguhnya kebangkitan dan kehidupan.

Oleh kerana kita mengalami pelbagai bentuk kematian, maka tidak hairanlah kita selalu bertanya, apakah hidup ini mempunyai maksudnya, atau hanya suatu keberadaan yang sia-sia?

Apakah kita mempunyai destinasi yang gilang gemilang ataukah hidup ini hanya suatu petualangan yang hampa?

Kesemua persoalan hidup dan kematian kita ini mendapat jawabannya di dalam Injil hari ini.

Yesus memberi jawaban kurang lebih demikian, “Kamu merasa sangsi bahawa walau bagaimanapun juga kehidupan perlu diteruskan dan bahawa kematian bukanlah sesuatu pengakhiran hidup. Aku datang untuk memberitahu bahawa prasangka kamu itu memang betul.”

Seperti Lazarus, kamu pun akan bangkit dari kematian. Gerak hati kamu mengatakan bahawa betapa pun singkatnya kehidupan ini namun ianya tetap bermakna dan bernilai. Maka Aku datang untuk memberitahu bahawa gerak hati kamu itupun memang betul. Jadi jika kamu mempunyai iman seperti Martha dan Maria, kamu akan melihat kemuliaan Tuhan.”

Berbalik kita pada kisah mengenai keakraban Yesus dengan Martha, Maria dan Lazarus dalam Injil tadi.

Apabila Lazarus meninggal dunia, Yesus menangisinya sehingga orang-orang berkata, “Lihatlah betapa kasih-Nya kepadanya.” (ay 36). Tetapi Yesus tidak hanya menangisinya sahaja tetapi Dia me-lakukan sesuatu yang positif, iaitu dengan membangkitkan Lazarus.

Sebagai pengikut Yesus yang baik, apakah kita mempunyai sikap yang sama dengan-Nya? Sikap yang mahu membantu, mahu bertanggung jawab sosial dengan sesama yang sungguh memerlukan. Tauladan yang diperlihatkan oleh Yesus kepada kita hari ini menjelaskan bahawa berdoa sahaja itu belum cukup.

Kita perlu membantu sesama kita agar bangkit dari 'alam kematian' kerana mengalami pelbagai masalah kehidupan. Memang kita tidak dapat menandingi Yesus, namun dalam hal-hal tertentu sesuai dengan bakat kita, pasti kita pun boleh melakukan sesuatu yang dapat menampakkan kasih Yesus yang membahagiakan itu kepada sesama kita.

Misalnya kita memberi pekerjaan, bantuan kewangan kepada murid-murid sekolah yang kurang mampu, memberi tempat tinggal pada orang-orang yang susah terutama warga tua yang dipinggirkan.

Juga bagi mereka yang mengalami krisis rumah tangga atau pelbagai krisis kehidupan yang membuat mereka cemas dan kebingungan.

Kita boleh menjadi pelindung yang baik dan boleh dipercayai oleh mereka tanpa banyak memberi nasihat.
Dengan berbuat demikian, diharapkan agar kita dapat menyalurkan kuasa kebangkitan Yesus itu agar mereka bangkit dan memulakan kembali hidup mereka.

Bagi diri kita masing-masing, hendaknya kita meneguhkan iman kita bahawa walau apa pun yang terjadi, baik atau buruk kehidupan yang kita alami, namun bersama dengan nabi Yehezkiel dalam bacaan pertama tadi, kita tetap percaya bahawa Tuhan pasti memberi harapan baru dan kehidupan baru.

Betapa pun sedihnya kehidupan kita, namun bersama dengan St Paulus, kita tetap percaya bahawa Yesus pasti membangkitkan kita.

Betapa pun hebatnya kemusnahan akibat daripada kematian orang-orang yang tersayang, namun bersama Martha dan Maria, kita melakukan lonjakan iman dan berseru, “Ya Tuhan, aku percaya, bahawa Engkaulah Mesias, Anak Tuhan… Engkaulah kebangkitan dan kehidupan” (ay.27). — santapan rohani

Total Comments:0

Name
Email
Comments