Bangkitlah, kita dipilih untuk membangunkan “Malaysia Prihatin”

“Kepelbagaian atau kemajmukan agama, budaya dan bangsa bukanlah ancaman, sebaliknya berkat,” kata Uskup Cornelius Piong semasa memimpin Misa Kudus Hari Malaysia ke-58 pada 16 Sept 2021 di Katedral St Francis Xavier.

Sep 18, 2021

Uskup Cornelius Piong, para paderi dan umat bergambar sempena Hari Malaysia ke-58 di Katedral St Francis Xavier, Keningau, 16 September 2021.

KENINGAU: “Kepelbagaian atau kemajmukan agama, budaya dan bangsa bukanlah ancaman, sebaliknya berkat,” kata Uskup Cornelius Piong semasa memimpin Misa Kudus Hari Malaysia ke-58 pada 16 Sept 2021 di Katedral St Francis Xavier.

Pandemik Covid-19, meskipun mencetuskan kebimbangan dan kesukaran namun ia menjadi berkat apabila semua Keuskupan di Malaysia, buat pertama kalinya bergabung merayakan Hari Malaysia ke-58 yang dimulakan dengan Novena Sembilan Hari bermula 7-15 Sept lalu.

Novena ini dianjurkan oleh CHARIS Malaysia dan disokong oleh Persidangan para Uskup Katolik Malaysia membawa tema yang dipetik dari 2 Tawarikh 7:14 “Lalu umat-Ku yang memakai nama-Ku itu merendahkan diri, dan berdoa serta datang kepada-Ku dan meninggalkan perbuatan mereka yang jahat, maka dari syurga Aku akan mendengar doa mereka. Aku akan mengampuni dosa-dosa mereka dan menjadikan negeri mereka makmur kembali.”

Lebih tiga ribu umat menonton siaran langsung Misa Kudus dalam talian itu. Turut membantu Uskup Cornelius di altar ialah Fr David Gasikol, Fr Lazarus Uhin, Fr Joseph Gapitang Fr Bonaventure Unting dan Fr David Mamat.

“Lima puluh lapan tahun sejak Borneo menyertai Tanah Melayu dan membentuk Negara Malaysia, banyak perkara yang menyenangkan dan kurang menyenangkan telah berlaku. Walau apa pun, tetaplah menaruh harapan dan keyakinan bahawa perjalanan hidup ini di topang oleh tangan Tuhan. Maka, pilihlah jalan iman yang boleh membawa kesatuan dan keharmonian di Malaysia,” ungkap Uskup Cornelius.

Gembala Keuskupan Keningau itu merujuk kepada tema Hari Malaysia, “Malaysia Prihatin” yang juga adalah misi umat Katolik dalam membangun kerajaan Tuhan di dunia ini.

“Prihatin, atau ambil peduli adalah satu sikap yang penting. Saya percaya kita semua menyedari, sikap tidak peduli akan menyebabkan rasa tidak selesa dan tidak bersemangat untuk hidup dengan masyarakat lain. Sikap tidak prihatin bermakna kita tidak bertanggungjawab dan tidak ada cinta kasih terhadap sesama.”

“Sebagai bangsa Malaysia, lebih-lebih lagi sebagai seorang Katolik, sikap prihatin harus dipupuk dan dikekalkan dalam diri kita kerana kita akan diadili berdasarkan karya-karya belas kasihan dan keprihatinan kita.

“Jika kita berseru ‘alleluia …alleluia” setiap hari tetapi tidak ambil peduli terhadap orangorang yang lemah dan memerlukan, ia adalah doa yang sia-sia,” pesan Bapa Uskup.

“Dari sikap prihatin, ia akan menerbitkan semangat kesatuan dan keharmonian di kalangan penduduk berbilang bangsa di negara kita. Kita semua dilahirkan tidak seragam. Kita dilahirkan berbeza-beza. Oleh itu, hormati perbezaan kerana ini adalah misteri kebesaran Tuhan,” kata Uskup Cornelius.

Beliau juga menegur sikap ibu bapa yang menghalang anak-anak mereka daripada bergaul dengan penganut agama lain kerana ia boleh membawa kemudaratan dan sikap perkauman yang membahayakan.

“Bagaimana merealisasikan tema “Malaysia Prihatin” ini? Adakah slogan ini hanya bertahan pada hari ini dan dilupakan pada keesokkan harinya?”

Cornelius mengatakan, “Caranya, kita harus kembali kepada Tuhan kerana Dialah sumber keprihatinan sejati. Tuhan menjadikan kita manusia menurut rupa-Nya maka benih prihatin itu ada di dasar hati kita. Ibu bapa dapat membantu perkembangan dan memperkasakan semangat prihatin ini dengan memberi teladan melalui tindakan dan kata-kata. Jangan menghasut anak-anak untuk membenci atau menjauhkan diri dari mereka yang berlainan iman atau bangsa.”

Semasa menyampaikan ucapannya pada akhir perayaan Ekaristi, Bapa Uskup mengatakan, “Apa pun perancangan yang direncanakan, sama ada politik, ekonomi dan sebagainya, Tuhan harus dilibatkan agar semua perancangan kita menjadi berkat dan membawa kebaikan serta kesejahteraan untuk negara kita,” kata Uskup Cornelius.

Dan prelatus itu seterusnya memberi pemberkatan akhir dan pengutusan, “marilah kita berjalan dan senantiasa prihatin.”

Total Comments:0

Name
Email
Comments