Bapa Suci pilih tema untuk Hari Datuk Nenek dan Orang Tua

Untuk menyatakan kedekatan Tuhan dan gereja kepada setiap orang yang lebih tua, Sri Paus Fransiskus telah memilih tema “Aku selalu bersama mu,” dari Injil Matius sebagai tema untuk Hari Datuk Nenek dan Orang Tua Sedunia yang pertama.

Apr 24, 2021

VATIKAN: Untuk menyatakan kedekatan  Tuhan dan gereja kepada setiap orang yang  lebih tua, Sri Paus Fransiskus telah memilih tema “Aku selalu bersama mu,” dari  Injil Matius sebagai tema untuk Hari Datuk  Nenek dan Orang Tua Sedunia yang pertama. 

Tema untuk perayaan 25 Julai sangat  sesuai “pada masa pandemik yang mencabar  ini,” kata pengumuman dari Dikasteri untuk  Kaum Awam, Keluarga dan Kehidupan. 

“Aku selalu bersama mu” juga adalah janji kedekatan dan harapan agar kaum muda  dan tua dapat saling berbahagi. 

“Bukan sahaja cucu dan anak muda dipanggil untuk hadir dalam kehidupan orang  yang lebih tua, tetapi orang tua dan datuk  nenek juga mempunyai misi penginjilan,  pewartaan dan doa serta mendorong orang  muda dalam iman mereka,” kata kenyataan  tersebut.

Sri Paus Fransiskus mengumumkan pada  akhir Januari lalu bahawa beliau telah menubuhkan Hari untuk Datuk Nenek dan Orang  Tua, yang akan dirayakan setiap tahun pada  hari Ahad keempat bulan Julai sempena perayaan Sto Yoakim dan Anna, datuk nenek  kepada Yesus.

Kardinal Kevin J. Farrell, prefektur dikasteri mengatakan bahawa acara tahunan itu  akan menjadi “hadiah untuk seluruh Gereja”  yang menekankan penjagaan pastoral orang  tua sebagai “keutamaan yang tidak lagi dapat ditunda oleh mana-mana komuniti Kristian .”

“Dalam ensiklik, 'Fratelli Tutti,' Bapa  Suci mengingatkan kita bahawa tidak ada  yang diselamatkan sendirian. Dengan ini,  kita mesti menghargai kekayaan rohani dan  manusia yang telah diturunkan dari generasi  ke generasi,” katanya.

Sri Paus Fransiskus dijangka menyambut perayaan tersebut dengan Misa Senja di  Basilika Santo Petrus. ––CNS

Total Comments:0

Name
Email
Comments