Bapa Suci pimpin upacara penyerahan Salib WYD
Upacara ini menandakan permulaan rasmi WYD 2027 di Seoul, Korea Selatan. Delegasi Korea seramai 60 orang, menerima Salib WYD dan ikon Bonda Maria, selepas Misa pada Hari Belia Sedunia ke-39, pada November 24.
Dec 06, 2024
TAKTHA SUCI: “Pikullah Salib ke seluruh dunia sebagai simbol kasih Kristus kepada umat manusia, dan wartakan kepada semua orang bahawa hanya dalam kematian dan kebangkitan Kristus, kita dapat memperoleh keselamatan dan penebusan,” kata Sri Paus Fransiskus semasa memimpin Misa khas upacara penyerahan Salib Hari Belia Sedunia (WYD) dan ikon Santa Perawan Maria Santa Pelindung Roma (Mary Salus Populi Romani) kepada perwakilan belia Korea Selatan daripada belia Portugis, di Basilika Sto Petrus di Roma.
Upacara ini menandakan permulaan rasmi WYD 2027 di Seoul, Korea Selatan. Delegasi Korea seramai 60 orang, menerima Salib WYD dan ikon Bonda Maria, selepas Misa pada Hari Belia Sedunia ke-39, pada November 24.
Sri Paus Fransiskus telah mengumumkan ibu kota Korea Selatan, Seoul, sebagai tuan rumah acara belia Katolik global tiga tahun sekali pada penghujung WYD yang diadakan di ibu kota Portugal, Lisbon pada Ogos 1-6 Ogos, 2023.
Delegasi Korea diketuai oleh Uskup Agung Peter Chung Soon-taick dari Seoul dan Uskup Auksilier Seoul, Paul Kyung Sang Lee.
Dalam homilinya, Bapa Suci Fransiskus menekankan bahawa simbol WYD adalah jemputan dan tanda bagi orang Kristian untuk menghidupkan Injil tanpa patah semangat atau kehilangan harapan.
“Orang muda mesti mengambil keberanian daripada kesetiaan Yesus kepada Tuhan, walaupun di tengah-tengah ujian dan penghinaan,” katanya.
“Orang Kristian harus memupuk pengabdian dengan keimanan tebal tentang kerajaan kekal Kristus,” ujar Sri Paus Fransiskus.
Hanya cinta Tuhan membawa sukacita
Bapa Suci juga menegaskan bahawa Yesus tidak pernah berusaha untuk mendapatkan sokongan atau “persetujuan” pihak berkuasa, kerana Dia menolak “mentaliti kuasa.”
“Tuhan mengasihi setiap kita walau apa pun keadaan kita, jadi kita tidak perlu mencari persetujuan duniawi di media sosial atau dengan cara lain. Di hadapan-Nya, kesucian impian anda adalah lebih bernilai daripada kejayaan dan kemasyhuran, dan keikhlasan niat anda lebih bernilai daripada persetujuan duniawi,” katanya.
“Tidak ada kasih sayang duniawi yang dapat menggembirakan kita, kerana hanya pemberian kasih sayang yang percuma dapat membawa kita kebahagiaan,” tegas Bapa Suci.
Nasihat daripada calon santo belia
Bapa Suci kemudiannya menekankan kepentingan kebenaran, yang membebaskan kita daripada rantaian keselesaan diri sendiri, ketidakadilan dan ketidakbahagiaan. “Kristus, yang merupakan Jalan, Kebenaran dan Kehidupan, dengan menanggalkan segala-galanya dan mati di kayu salib untuk keselamatan kita, mengajar kita bahawa hanya dalam kasih kita boleh hidup, bertumbuh dan berkembang dalam maruah penuh kita,” kata Sri Paus.
Bapa Suci mengingatkan para belia kepada Beato Pier Giorgio Frassati, yang akan dikanonisasi semasa Jubli untuk Orang Muda pada awal Ogos 2025. Menurut Sri Paus, calon santo dari Itali itu mengingatkan golongan muda bahawa “hanya bertahan” bukanlah matlamat mereka sebaliknya orang Kristian perlu berusaha untuk “bersaksi tentang kebenaran dalam kasih sayang, mengasihi satu sama lain seperti Yesus mengasihi kita.”
Salib WYD, simbol cinta dan penebusan Tuhan
“Simbol WYD ini telah diamanahkan kepada kita oleh Bapa Suci Yohanes Paulus II untuk dibawa ke seluruh dunia,” kata Fransiskus dan menggesa anak-anak muda Korea untuk “tidak takut dan mempunyai keberanian.
“Kita memerlukan keberanian untuk memberi kesaksian tentang harapan yang diperlukan hari ini lebih daripada sebelumnya dan saya berharap bahawa di mana sahaja simbol ini berada, kasih dan persaudaraan Tuhan akan berkembang,” kata Sri Paus Fransiskus.
Semasa doa Angelus selepas Misa, Sri Paus Fransiskus turut menjemput dua orang pemuda Korea ke pejabatnya dan meminta umat yang berkumpul di Dataran Sto Petrus untuk bertepuk tangan kepada anak muda dari Korea dan Portugal.
“Memikul salib dengan belia dari pelbagai keuskupan membuatkan saya teruja bahawa belia Korea bergabung tenaga untuk memikul Salib WYD dan berjalan dalam iman bersama-sama,” kata Agatha Kim Ha-yan, seorang belia Katolik Korea dari Keuskupan Jeju.
Mantan Uskup Agung Seoul, Kardinal Andrew Yeom Soo-jung berkata, “Saya berharap semangat hari ini akan berterusan sehingga 2027 dan seterusnya serta dapat disampaikan kepada golongan muda di seluruh dunia untuk membuahkan hasil cinta.” --Media Vatikan/RVA
Total Comments:0