Belas kasihan Tuhan memampukan Keuskupan berjalan bersama

Selepas dua tahun dirayakan tanpa kehadiran umat yang ramai, UTK ke-29 yang diraikan di Paroki St Patrick Membakut pada 7 Mei 2022, dihadiri lebih seribu umat.

May 13, 2022


KENINGAU: “Setiap tahun kita merayakan Ulang Tahun Keuskupan (UTK) kerana mahu mengungkapkan semangat kesatuan dan komitmen kita sebagai umat Tuhan,” kata Uskup Cornelius Piong semasa memimpin Perayaan Ekaristi sempena tiga peristiwa penting iaitu Ulang Tahun penubuhan Keuskupan Keningau ke-29, Ulang Tahun Episkopal Uskup Cornelius Piong yang ke-29 dan Pesta Kaamatan peringkat Keuskupan.

Selepas dua tahun dirayakan tanpa kehadiran umat yang ramai, UTK ke-29 yang diraikan di Paroki St Patrick Membakut pada 7 Mei 2022, dihadiri lebih seribu umat. Meskipun SOP telah dilonggarkan namun umat yang datang tetap menjaga penjarakan sosial dan memakai pelitup muka.

Misa Kudus dimulakan dengan muzik dan tarian tradisional diikuti perarakan para paderi dan Uskup. Turut hadir dalam perayaan ini ialah Uskup Agung Kota Kinabalu, John Wong.

Semasa menyampaikan homilinya, Uskup Cornelius mengungkapkan harapannya agar generasi yang lahir selepas 6 Mei 1993, agar terus menghidupkan semangat kekitaan serta mengambil peduli terhadap kebajikan rohani dan fizikal Keuskupan Keningau.

Gembala Keuskupan Keningau itu juga mengatakan dengan merayakan UTK, “kita memperbaharui dan memantapkan perjalanan kita bersama dengan pandangan serta hati kita terarah kepada Yesus kerana hanya Dialah Sumber, Alasan dan Tujuan perjalanan kita bersama.”

Bapa Uskup juga bersyukur kepada Tuhan di atas usaha, komitmen dan pelayanan para paderi, religius, katekis dan umat awam yang telah serta giat membantu menabur benih-benih iman di Keuskupan ini.

Uskup yang berasal dari Kuala Penyu itu mengakui dunia sekarang sedang menghadapi pelabagai cabaran dan sebagai Gereja telah melakukan proses sinode untuk lebih mendengarkan keperluan umat serta berjalan bersama dalam terang Roh Kudus.

Pada akhir Misa, semasa menyampaikan ucapannya, Uskup Cornelius menekankan agar para klerus, religius dan umat benar-benar dapat merenung perjalanan iman selama 29 tahun ini, adakah ia semakin berkualiti dan komited berjalan bersama?

Uskup bumiputera pertama di Malaysia itu juga mengingatkan umat agar berbangga dengan identiti Katolik mereka.

“Jangan hanya menjadi Katolik di tempat sendiri tetapi apabila berada di luar negara atau di tempat lain, kita mahu menjadi ‘umat bebas’ . Yesus memberi kita misi agar menjadi cahaya dan garam dunia di mana sahaja kita berada.”

Bapa Uskup juga memetik pesanan Sri Paus Fransiskus sempena Hari Minggu Doa Panggilan Sedunia 2022 bahawa, “Kita dipanggil membangun keluarga manusia” dan ini memerlukan kita untuk mengenal Yesus, menyambut cinta kasih-Nya dan melayani-Nya.

Uskup Cornelius kemudiannya mengumumkan tuan rumah UTK ke-30 pada tahun 2023 iaitu Paroki Roh Kudus, Sook.

29 tahun yang lalu iaiatu pada 2 Februari 1993, Sri Paus Yohanes Paulus II telah mengumumkan secara rasmi di Roma, pelantikan seorang Uskup bagi Keuskupan Keningau. Penubuhan Keuskupan Keningau dan pentahbisan Uskupnya yang pertama, Monsignor Cornelius Piong, dijalankan serentak oleh wakil Sri Paus, Uskup Agung Alberto Tricarico pada 6 Mei 1993, di Gereja St. Francis Xavier, Keningau.

Total Comments:0

Name
Email
Comments