Belia berlari menuju Harapan
Seramai 88 orang belia dari Gereja di bawah naungan St Martin, telah berhimpun sebelum tahun 2024 berakhir untuk program belia yang menekankan tema "Harapan".
Jan 11, 2025
![](https://www.heraldmalaysia.com/uploads/news/2025/1/17972572321736606152.jpg)
TELUPID: Seramai 88 orang belia dari Gereja di bawah naungan St Martin, telah berhimpun sebelum tahun 2024 berakhir untuk program belia yang menekankan tema "Harapan".
Program dimulakan dengan sesi pendaftaran, diikuti dengan upacara Pentakhtaan Alkitab, doa pembukaan dan menyanyikan lagu-lagu pujian dalam sesi “Time of Life”.
Sesi pertama, “Lari Menuju Harapan” yang disampaikan oleh Sdri Elsa, mendorong belia mengenal pasti cabaran hidup sambil menemui harapan yang berkat iman kepada Tuhan.
Aktiviti ini melibatkan perkongsian iman dalam kumpulan menghasilkan kad visi yang menyatakan harapan mereka.
Seterusnya, dalam sesi “Harapan Seorang Penziarah Kehidupan” yang dikendalikan oleh Sdra Beller mengajak belia untuk memahami bahawa cabaran hidup dapat membawa kepada pertumbuhan rohani dan harapan.
Dalam aktiviti ini, para belia bergerak dalam kumpulan dengan mengangkat beban ke beberapa stesen, berhadapan dengan halangan yang mencerminkan cabaran kehidupan sambil merenung soalan “Di mana saya menemui Tuhan dalam masa-masa sukar?”
Kemudian, aktiviti “RM1.50” memberikan peluang kepada peserta untuk beradaptasi dengan suasana baharu, berkolaborasi, dan berkongsi sukacita.
Dalam sesi ini, setiap peserta mempunyai nilai tertentu (Lelaki RM1, Perempuan RM0.50) dan perlu membentuk kumpulan berdasarkan jumlah nilai yang diperlukan. Aktiviti ini menekankan kepentingan kerjasama dan empati dalam situasi kehidupan.
Sesi terakhir, “Misi Harapan” disampaikan oleh Sdri Vyellynda menegaskan bahawa harapan bukan hanya untuk diri sendiri tetapi perlu dikongsi dengan orang lain. Peserta kemudiannya diminta menulis doa atau harapan kepada rakan kumpulan dan mengambil masa untuk merenungkan doa-doa yang dikongsi oleh orang lain.
Program ini diakhiri dengan sesi bergambar, gotong-royong dan makan malam bersama. --Clly Gulimit
Total Comments:0