Belia Tambunan hadiri program penyegaran iman, bangunkan iman yang ‘tertidur’

Pada 28 Mac 2021 yang lalu, bersamaan dengan Hari Minggu Palma, Kerasulan Belia Katolik (KBK) Paroki St. Theresa, Tambunan telah menganjurkan pro

Apr 30, 2021

TAMBUNAN: Pada 28 Mac 2021  yang lalu, bersamaan dengan Hari  Minggu Palma, Kerasulan Belia  Katolik (KBK) Paroki St. Theresa,  Tambunan telah menganjurkan  program “Penyegaran Iman dan  Peranan Belia dalam masa Paskah  dan Pandemik Covid-19”. 

Program ini diadakan di Gereja St. Theresa Tambunan dengan  mematuhi peraturan SOP. Acara  ini bertujuan untuk membangun  kembali iman belia yang hampir tertidur akibat kesan daripada  pandemik Covid-19 yang melanda  seluruh dunia dan tidak terkecuali  para belia di paroki Tambunan. 

Ia juga adalah bertujuan untuk  menaikkan semangat para belia  untuk lebih berani bersaksi dan  melayani di gereja dalam norma  baharu. 

Aktiviti yang dihadiri oleh lebih  kurang 50 orang belia ini dimulakan dengan Doa Pembukaan dan  lagu penyembahan.  Seterusnya, Father Harry Dorisoh memberikan perkongsian dan  katekesis tentang “Peranan Belia  di Gereja, Komuniti serta Dalam  Keluarga pada masa pandemik.” 

Setelah itu, para belia dibawa  untuk memahami erti “Tanda Salib  yang sebenar” yang dikendalikan  oleh Sr. Bridgette dari Pertapaan  Karmel, Kaingaran Tambunan.

Tepat pada jam 3.00 petang,  para belia mendoakan Doa Kerahiman Ilahi.

Selepas berdoa Kerahiman Ilahi,  para peserta menghayati dan merenung kesengsaraan dan pengorbanan sejati Yesus dalam filem  “Passion of the Christ”. 

Para belia bukan sahaja tersentuh hati apabila menyaksikan filem  tersebut malah menyedarkan mereka bagaimana sikap mereka ketika  menghadapi percubaan - adakah  mereka menjadi seperti pengikut  Yesus yang meninggalkan Yesus  sendirian semasa ditangkap? Atau  menjadi Maria yang tabah mengikuti Yesus hingga ke kayu Salib.

Selepas filem itu, para peserta  bersyukur kerana Yesus sanggup  melalui penderitaan dahsyat, disalibkan, wafat dan bangkit pada hari  ketiga demi menebus dosa manusia.

Setelah merenung akan kisah  sengsara Tuhan Yesus, para belia diajak untuk memasuki sesi  “Penghormatan Salib” untuk merenung dosa-dosa yang telah dilakukan dan menyesalinya lalu  memohon pertobatan dari Tuhan. 

Dalam sesi ini, para belia diberikan sebatang paku lalu menukulnya di atas kayu salib yang  telah disediakan dan di paku ini  diselitkan doa permohonan yang  ditulis sendiri lalu dibakar. 

Setelah upacara ini selesai, diadakan sesi perdamaian antara satu  sama lain dan para peserta bersurai  pada jam 6.00 petang.

Para belia yang menyertai program ini merasa sangat tersentuh  dan mereka juga telah memberikan perkongsian bahawa program  ini amat baik serta memberi kesan  yang mendalam di dalam hati serta  menguatkan semangat sekaligus  memperbaharui iman untuk tetap  setia dalam melayani Tuhan. —  Julia Linda Michael

Total Comments:0

Name
Email
Comments