Berita ringkas Gereja sejagat: Perang itu jahat!
Semasa Audiensi Umum pertamanya untuk musim Adven 2024, Bapa Suci Fransiskus sekali lagi menekankan keperluan untuk berdoa bagi keamanan.
Dec 14, 2024

VATIKAN: Semasa Audiensi Umum pertamanya untuk musim Adven 2024, Bapa Suci Fransiskus sekali lagi menekankan keperluan untuk berdoa bagi keamanan.
“Perang adalah kekalahan manusia. Perang tidak menyelesaikan masalah,” tegas Bapa Suci.
Di tengah-tengah konflik yang berterusan di seluruh dunia, Sri Paus Fransiskus secara khusus berdoa untuk “Ukraine yang martir, Palestine, Israel, dan Myanmar.”
“Perang itu jahat; perang memusnahkan,” ujar Sri Paus Fransiskus yang kesal kerana setiap peperangan, ribuan nyawa orang tidak bersalah, telah terbunuh. --Media Vatikan
Serangan di Aleppo, biara Fransiskan hampir hancur
ALEPPO, Syria: Kota Aleppo telah diserang dahsyat pada Disember 1 lalu. Turut terkena tembakan ialah biara Tanah Suci Latin di kawasan kejiranan Al-Furqan.
Walaupun tiada kemalangan jiwa, serangan itu menyebabkan kerosakan besar pada bangunan.
Kongregasi Fransiskus mengatakan bahawa serangan peluru berpandu dari pesawat pejuang mengenai biara itu, memusnahkan salah satu sayapnya dan membakar bilik penyimpanannya.
Bahagian lain, seperti pusat sukan dan Gereja kecil, juga mengalami kerosakan yang ketara.
Para klerus Fransiskan menegaskan mereka menolak sebarang bentuk keganasan, menekankan misi mereka untuk memperjuangkan keamanan di mana sahaja mereka dihantar oleh Tuhan. --Media Vatikan
Pameran relik Sto Fransiskus Xavier kali ke-18 di Goa
GOA, India: Pameran Ke-18, Relik Sto Fransiskus Xavier (1506-1552) telah diadakan di sebuah basilika di Goa sejak November 21 sehingga Januari 5, 2025.
Ribuan penziarah dari India dan luar negara datang untuk menghormati relik santo yang dipamerkan sekali setiap sepuluh tahun.
Relik itu ditempatkan di Basilika Bom Jesus, telah dipindahkan ke Katedral Goa untuk pameran umum sehingga Januari 2025.
Pada Disember 3 lalu, ratusan ribu membanjiri Goa sempena Misa Kudus memperingati pemergian ke-450 Sto Fransiskus Xavier, salah seorang pendiri kongregasi Yesuit. --LiCASnews
Pemimpin Katolik, Buddha berhimpun mendoakan jiwa Kardinal Ayuso
BANGKOK: Kardinal Miguel Ángel Ayuso Guixot, Ketua Dikasteri untuk Dialog Antara Agama, telah diberi penghormatan pada Disember 1, di Wat Phra Chetuphon Wimonmangklararm Ratchaworamahawihan, salah sebuah kuil Buddha yang paling terkenal di Bangkok (juga dikenali di seluruh dunia sebagai Kuil Buddha Berbaring).
Kardinal Ayuso yang meninggal dunia pada November 25 lalu, diperingati dalam upacara yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Upacara itu memperlihatkan ikatan yang mendalam antara komuniti Katolik dan Buddha di Thailand, hubungan yang diperkukuh oleh dedikasi tanpa henti Kardinal Ayuso demi memupuk persefahaman antara agama.
Ketua Sami Buddha, Wat Phra Chetuphon, mengetuai upacara itu dengan sepuluh sami Buddha melantunkan doa jiwa Kardinal Ayuso.
Selepas itu, Uskup Joseph Chusak Sirisut, Presiden Konferensi para Uskup Katolik Thailand, mengetuai liturgi Katolik untuk mendoakan roh Kardinal Ayuso. --LiCASNews
Total Comments:0