Berjalan bersama para migran
Pesan Sri Paus Fransiskus sempena Hari Migran dan Pelarian ke-110
Sep 28, 2024
KOTA VATIKAN: “Pertemuan dengan para migran dan saudara saudari kita yang memerlukan, merupakan perjumpaan dengan Kristus,” demikian petikan Sri Paus Fransiskus sempena Hari Migran dan Pelarian Sedunia ke- 110.
Hari Migran dan Pelarian Sedunia ditetapkan para tahun 1914 oleh Sri Paus Pius X dan dirayakan setiap tahun pada Hari Minggu terakhir September. Pada tahun ini, Hari Migran dan Pelarian disambut pada September 29, dengan tema “Tuhan berjalan bersama umat-Nya”
Merangkul Sinodal
Selepas Fasa pertama Sinode Para Uskup Sedunia ke-16 Oktober tahun lalu, Sri Paus Fransiskus menyatakan bahawa Gereja menemui semula sifat “mengembara” nya iaitu Umat Tuhan yang mengembara melalui sejarah dalam ziarah ke arah Kerajaan Syurga (Lumen Gentium, 49).
Kitab Keluaran menceritakan orang Israel dalam perjalanan mereka ke tanah yang dijanjikan yang menggambarkan perjalanan panjang dari perhambaan kepada kebebasan dan perjalanan Gereja menuju pertemuan terakhirnya dengan Tuhan.
Begitu juga pada masa sekarang, kita diajak untuk melihat perjalanan para migran dan pelarian sebagai gambaran sebenar perjalanan umat Tuhan ke tanah air kita yang kekal, yang mengingatkan kita bahawa “kewarganegaraan kita adalah di syurga, dan dari situlah kita mengharapkan Juruselamat, Tuhan Yesus Kristus” (Flp 3:20).
Dengan semangat sinodaliti, kita dipanggil untuk berjalan bersama saudara dan saudari pendatang kita dengan mengalu-alukan, melindungi, mempromosi dan mengintegrasikan mereka ke dalam komuniti kita.
Pertemuan dengan orang asing adalah pertemuan dengan Tuhan
Melalui Kitab Keluaran (Exodus), ia menyatakan realiti yang sangat jelas iaitu dalam setiap pengembaraan, perjalanan, migrasi, exodus ... Tuhan mendahului, menyertai umat-Nya dan semua anak-anak-Nya pada setiap masa dan tempat.
Ramai migran yang semasa dalam pengembaraan mereka ke tanah asing, mengalami Tuhan, membawa Alkitab, buku doa dan rosari sebagai penenam mereka ketika melintasi gurun, sungai, lautan, dan sempadan setiap benua!
Oleh sebab itu, pertemuan migran juga adalah pertemuan dengan Kristus seperti yang ditegaskan-Nya dalam Mat 25:35, “Ketika Aku orang asing, kamu menyambut Aku.”
Melihat Yesus pada orang asing
Tuhan bukan sahaja berjalan dengan umat- Nya, tetapi juga dalam diri mereka, dalam erti kata bahawa Dia mengidentifikasikan diri-Nya dengan lelaki dan wanita dalam perjalanan mereka melalui sejarah, khususnya dengan yang paling kecil, yang miskin dan yang terpinggir. Dalam hal ini kita melihat lanjutan Misteri Inkarnasi.
Melalui diri migran, Yesuslah yang mengetuk pintu kita, lapar, dahaga, orang asing, telanjang, sakit dan terpenjara, meminta untuk ditemui dan ditolong (Homili, Sacrofano, Feb 15,2019).
Setiap pertemuan dengan migran, kaum miskin dan terabai ... mewakili peluang untuk bertemu Tuhan; ia adalah satu peluang keselamatan kerana Yesus hadir dalam diri saudari perempuan atau saudara lelaki yang memerlukan bantuan kita.
Dalam pengertian ini, orang miskin dapat menyelamatkan kita, kerana melalui mereka, kita dapat menghadapi wajah Tuhan.
Pada penghujung pesannya, Sri Paus menulis, “Pada hari yang didedikasikan untuk migran dan pelarian ini, marilah kita bersatu dalam doa untuk semua orang yang terpaksa meninggalkan tanah air mereka untuk mencari keadaan hidup yang bermaruah.”
“Semoga kita mengembara bersama mereka, menjadi sinodal bersama, dan mempercayakan mereka kepada Perawan Maria yang Terberkati.” --Media Vatikan
Doa untuk Migran
Bapa yang maha kuasa
Kami tiba sebagai
orang asing
ke tanah yang kami panggil
rumah kami.
Namun kewarganegaraan kami
yang sebenar adalah di syurga
Sebagai sesama manusia dalam
perjalanan, janganlah kami
terikat dengan rumah
sementara ini tetapi bantu kami
untuk terus berjalan
bersama-sama dengan saudara
saudari kami yang berhijrah
menuju ke kediaman kekal
yang telah Engkau sediakan
bagi kami.
Terangi hati dan fikiran kami
agar setiap pertemuan
dengan saudara saudari kami
yang bermigrasi menjadi
pertemuan dengan
putera-Mu Yesus.
Amin.
Total Comments:0