Bersandar pada semangat dan kekuasaan Tritunggal Mahakudus

Menurut kamus dewan, ‘misteri’ adalah suatu peristiwa atau fenomena yang tidak dapat diterangkan, menimbulkan rasa ingin tahu, suspens oleh sebab fakta-fakta-nya tersembunyi.

Jun 02, 2023

HARI RAYA TRITUNGGAL
MAHAKUDUS (A)
KELUARAN 34:4-6, 8-9;
2 KORINTUS 13:11-13;
INJIL YOHANES 3:16-18

Menurut kamus dewan, ‘misteri’ adalah suatu peristiwa atau fenomena yang tidak dapat diterangkan, menimbulkan rasa ingin tahu, suspens oleh sebab fakta-fakta-nya tersembunyi.

Iman kita pada hari ini menghadapi satu lagi misteri tentang kewujudan Tuhan sebagai Tritunggal Maha Kudus.
Ajaran Gereja kita mengajarkan bahawa terdapat tiga peribadi Maha Kudus: Tuhan Bapa, Putera dan Roh Kudus. Kalau demikian, apakah agama kita menyembah tiga Tuhan?

St Atanasius, seorang ahli teologi yang bijaksana sekitar abad keempat pernah berkata, “Keperibadian Tuhan Bapa itu berbeza dengan Putera dan Roh Kudus, namun Bapa, Putera dan Roh Kudus tetap satu, bukan tiga.” Dengan demikian 1+1+1=3 dalam ilmu matematik tidak sama dengan Tritunggal Maha Kudus yang adalah 1+1+1=1.

Mengapa kita harus percaya Tuhan sebagai Tritunggal Maha Kudus itu? Sebabnya, Yesus sendiri telah mengatakannya kepada manusia.

Dalam Injil Yohanes, Tuhan Yesus berkata, “Aku akan me-minta kepada Bapa, dan Dia akan memberikan kepada mu seorang penolong yang lain iaitu Roh kebenaran…” (Yoh 14:16, 17).

Kemudian dalam memberikan mandat yang terakhir kepada para Rasul, Yesus berkata, “…pergilah, jadikanlah semua bangsa murid- Ku dan baptislah mereka dalam nama Bapa dan Anak dan Roh Kudus” (Mat 28:19). Melalui kata-kata Yesus ini menjadi jelas kepada kita bahawa Tritunggal Maha Kudus itu seakan-akan berada di dalam sebiji kapsul.

Lalu kalau begitu, bagai-manakah kiranya Tritunggal ini boleh disemaikan atau diamalkan dalam kehidupan kita sehari-hari sebagai pengikut Kristus yang setia?

Ramai ahli falsafah Kristian memberi nasihat bahawa kita tidak perlu menjalani kehidupan ini dengan berusaha membongkar rahsia Tritunggal tersebut sebab kita tidak akan pernah menemukannya.

Apa yang penting kita lakukan adalah menghidupi semangat Tritunggal Maha Kudus tersebut. Dengan kata lain menjadikan-Nya sebagai gaya hidup baik sebagai seorang peribadi, keluarga atau komuniti di mana kita berada.

Apa yang menarik dalam misteri Tritunggal ini adalah terdapat keintiman yang sangat erat di antara Bapa, Putera dan Roh Kudus sehingga tidak diperlukan alat-alat canggih seperti telefon bimbit guna membantu mereka supaya dapat berkomunikasi. Dengan kata lain mereka begitu rapat dan tidak pernah berpisah, seperti kata pepatah bagaikan belangkas.

Kita semua telah dicipta menurut gambaran Tuhan. Oleh yang demikian maka patutlah kita mencerminkan pelbagai komuniti kita dalam imej dan kesamaan sifat Tritunggal tersebut.

Tidak kiralah sama ada komuniti kita itu dalam bentuk keluarga, komuniti Kristian dasar setempat, di pejabat-pejabat dan tempat kerja, kita perlu bersandar pada semangat Tritunggal Maha Kudus.

Namun apakah selama ini kita sudah menampakkan semangat Tritunggal ini dalam setiap komuniti?

Misalnya apabila kita menyedari bahawa keluarga kita adalah gambaran keluarga Tuhan, maka ianya dapat membantu para pasangan untuk mengatasi pelbagai masalah yang mengurangi keintiman mereka.

Pasangan suami isteri memang banyak masalah. Masalah anak, orang ketiga, ibu mertua, kewangan dan 1001 macam masalah. Namun ini semua boleh diatasi jika ada komunikasi yang intim, ada keterbukaan dan yang penting ada cinta kasih sebagai pengikat dan penawar segala masalah.

Sebagai suami isteri, kita walaupun dua peribadi tetapi tetap satu. Sebab “… apa yang disatukan oleh Tuhan, tidak boleh diceraikan manusia” (Mat 19:6). Malah yang menjadi misteri bagi orang lain, bagi kita, perkahwinan Kristiani itu melibatkan peribadi ketiga — Tritunggal Maha Kudus, sebagai tempat menimba kekuatan, rujukan dan penghiburan di kala susah mahupun senang.

Sesungguhnya kita tidak boleh lari daripada pelbagai kesulitan hidup. Tetapi jika kita tetap mengamalkan semangat Tritunggal Maha Kudus, maka lambat laun kita akan mengalami dan melihat adanya semangat kasih, kepedulian, sokongan, pengampunan dan keadilan sosial terjadi di sekitar kita.

Sememangnya kita tidak akan pernah membina keluarga atau komuniti yang serba sempurna. Apa lagi menandingi keintiman peribadi Tritunggal itu, jauh sekali. Tapi melalui bantuan dan dorongan Roh Kudus, kita akan tetap berusaha.

Kita perlu sentiasa ingat ke-rana Tuhan tidak mengharapkan kita untuk menjadi sesempurna- sempurnanya.

Apa yang Dia inginkan adalah agar kita tetap bertumbuh dan setia terhadapnya secara berterusan. — santapan rohani

Total Comments:0

Name
Email
Comments