Bertindak dan berharap bersama ciptaan
“Bertindak dan Berharap dengan Penciptaan” adalah tema Hari Doa Sedunia untuk Musim Penciptaan 2024.
Aug 31, 2024
TAKHTA SUCI: “Bertindak dan Berharap dengan Penciptaan” adalah tema Hari Doa Sedunia untuk Musim Penciptaan 2024. Sri Paus Fransiskus memetik tema itu dari Surat Santo Paulus kepada Jemaat di Roma (8:19-25), di mana Rasul Besar itu menjelaskan apa ertinya hidup menurut Roh dan berfokus pada pengharapan pasti akan keselamatan yang lahir dari iman, iaitu kebaharuan hidup di dalam Kristus”
Musim Ciptaan yang ditetapkan oleh Sri Paus pada tahun 2015, dirayakan pada September 1, setiap tahun dan tarikh itu juga dipilih sebagai tanda persatuan dengan Gereja Ortodoks, yang menetapkan tarikh September 1, sebagai hari untuk merayakan penciptaan pada tahun 1989.
Sri Paus mengatakan bahawa Musim Penciptaan mempersembahkan umat “sebuah kesempatan yang tepat untuk menegaskan kembali panggilan peribadi mereka untuk menjadi pengelola ciptaan, untuk berterima kasih kepada Tuhan atas karya luarbiasa yang telah Dia percayakan kepada kita dan untuk memohon bantuan-Nya bagi melindungi ciptaan serta pengampunan atas dosa-dosa yang dilakukan terhadap alam dunia tempat kita tinggal.”
Dalam pesan pada tahun ini, ia dibahagikan kepada sembilan bahagian, yang semuanya menekankan tanggungjawab kita untuk menjaga Rumah Bersama kita.
Pesan itu menekankan bahawa ketika umat Kristiani dipanggil untuk hidup dalam iman dan amal kasih, kepedulian terhadap alam ciptaan adalah “sebuah tugas yang harus dilakukan dengan bebas, dengan mentaati perintah kasih Yesus”.
Bapa Suci juga menyeru umat manusia untuk mengubah cara hidup mereka dengan segera menyedari kesan buruk perang dan menetapkan batasan moral terhadap kemajuan kecerdasan buatan (AI).
Apa ertinya berharap dan bertindak bersama Ciptaan? Sri Paus mendorong kita untuk melakukannya dengan menjalani “iman inkarnasi”, iman yang dapat masuk ke dalam “daging” orang lain, dengan berbahagi pengharapan akan kebangkitan tubuh yang telah ditentukan bagi orang-orang percaya di dalam Kristus Tuhan. Dengan demikian, hidup kita dapat menjadi sebuah nyanyian kasih bagi Tuhan, bagi umat manusia dan untuk ciptaan serta menemukan kepenuhannya dalam kekudusan.
Paus mengecam betapa banyak kejahatan yang ada di dunia. “Mengapa begitu banyak ketidakadilan, begitu banyak peperangan persaudaraan yang membunuh kanak-kanak, memusnahkan bandar, mencemarkan alam sekitar dan menyebabkan bumi musnah?”
Melindungi ciptaan, “bukan setakat isu etika, tetapi isu teologi yang ketara, kerana ia adalah titik di mana misteri manusia dan misteri Tuhan bersilang.”
Kita bebas, tepatnya kerana kita diciptakan menurut gambar Tuhan iaitu Yesus Kristus, dan, sebagai hasilnya, adalah “wakil” ciptaan dalam Kristus Sendiri.
Sri Paus menggalakkan umat beriman untuk mengingati identiti mereka sebagai “anak-anak Bapa,” menunjukkan bahawa kita diberi kuasa untuk melaksanakan perubahan konkrit dalam kita menjalani kehidupan di dunia ini.
“Hidup kita boleh menjadi nyanyian cinta kepada Tuhan, untuk manusia, dengan dan untuk penciptaan, dan menemui kepenuhannya dalam kekudusan.” — media Vatikan
Total Comments:0