Biarpun tersembunyi, tindakan peribadi kita membawa kesan baik dan buruk

Tiada siapa yang harus dipulaukan atau diasingkan; sesungguhnya, tiada siapa yang harus dibiarkan keseorangan.

Jan 14, 2022


By Fr Ron Rolheiser

Tiada siapa yang harus dipulaukan atau diasingkan; sesungguhnya, tiada siapa yang harus dibiarkan keseorangan. Jika anda seorang yang beriman atau merupakan seorang yang mempunyai deria intuitif yang peka, anda pasti tahu bahawa tidak ada perkara atau perbuatan sama ada baik atau buruk, dapat disembunyikan.

Semua yang kita lakukan, tidak kira betapa peribadinya, memberi kesan kepada orang lain. Kita bukanlah unit tunggal di mana pemikiran dan tindakan kita tidak memberi kesan kepada orang lain. Kita tahu akan hal ini, bukan berdasarkan dari iman sahaja. Apa yang terjadi dalam kehidupan ini, kita tahu secara alamiah.

Bagaimana kita dapat merasakan perkara yang disembunyikan secara privasi dalam kehidupan orang lain? Sebaliknya, bagaimana perkara yang berlaku dalam privasi kehidupan kita sendiri mempengaruhi orang lain? Kita tidak mempunyai metafizik, fenomenologi atau sains yang melaluinya kita dapat menyelidik perkara ini secara eksplisit.

Kita hanya tahu perasaan kita benar. Apa yang kita lakukan dalam ruang peribadi hati dan minda kita, dapat dirasakan oleh orang lain dalam beberapa cara.

Setiap agama mengajar ini, iaitu bahawa kita semua berada dalam perhubungan yang nyata, mistik, simbiotik antara satu sama lain di mana akhirnya tiada yang benar-benar peribadi atau dapat diselindungi. Kepercayaan ini dikongsi oleh semua agama besar dunia — Kristian, Hindu, Buddha, Islam, Taoisme, dan agama-agama Asli Amerika dan Afrika. Tiada agama membenarkan dosa peribadi kerana meskipun peribadi, ia boleh menjejaskan seluruh masyarakat.

Ini menjelaskan beberapa ajaran Yesus. Yesus mengajar bahawa bukan sahaja tindakan luaran kita yang membantu atau menyakiti orang lain; tetapi pemikiran kita peribadi kita juga.

Bagi-Nya, bukan sahaja kita boleh membahayakan seseorang yang kita benci, dengan memikirkan atau membayangkan sahaja secara diam-diam.

Begitu juga tidak cukup untuk mendisiplinkan tubuh kita supaya tidak melakukan zina, kita juga harus mengikis pemikiran erotik agar tidak memberi pengaruh tidak baik terhadap orang lain.

Mengapa? Apakah kemudaratan yang dibawa sedangkan ia pemikiran peribadi? Ia adalah lebih daripada bahaya bahawa jika kita memikirkan sesuatu yang buruk tentang orang lain, kita akhirnya akan menterjemahkannya dalam tindakan kita (walaupun ini hanya kemungkinan besar). Isu di sini melibatkan sesuatu yang lebih mendalam, sesuatu yang terkandung secara eksplisit dalam tanggapan Kristian tentang Tubuh Kristus.

Sebagai orang Kristian, kita percaya bahawa kita semua adalah anggota pada satu organisma hidup, Tubuh Kristus, dan kesatuan kita antara satu sama lain adalah sangat mendalam daripada metafora. Ia nyata, sama nyata dengan fizikal badan yang bernyawa. Kita bukan sebuah syarikat, tetapi tubuh yang hidup, organisma hidup, di mana semua bahagian mempengaruhi semua bahagian lain.

Oleh itu, sama seperti dalam tubuh yang hidup, enzim yang sihat membantu membawa kesihatan kepada seluruh badan, dan sel yang dijangkiti dan kanser mengancam kesihatan seluruh badan, begitu juga di dalam Tubuh Kristus. Apa yang kita lakukan secara tertutup atau tersembunyi, masih di dalam badan. Akibatnya, apabila kita melakukan perkara yang mulia, walaupun secara tertutup, seperti enzim yang sihat, ia membantu menguatkan sistem imun dalam seluruh badan.

Sebaliknya, apabila kita tidak setia, apabila kita mementingkan diri sendiri, apabila kita berbuat dosa, tidak kira ini dilakukan secara tertutup atau tersembunyi, seperti sel yang dijangkiti atau kanser, ia membantu melemahkan sistem imun dalam badan. Kedua-dua enzim yang sihat dan sel kanser berbahaya berfungsi secara rahsia, dan ini tidak kelihatan pada luaran kita.

Ini mempunyai implikasi penting untuk kehidupan peribadi kita. Ringkasnya, tiada apa yang kita fikirkan atau lakukan secara tertutup, tidak memberi kesan kepada orang lain.

Fikiran dan tindakan peribadi kita, seperti enzim yang sihat atau sel yang dijangkiti, menjejaskan kesihatan badan, sama ada menguatkan atau melemahkan sistem imunnya. Apabila kita setia, ia membantu membawa kesihatan kepada badan kita ; apabila kita tidak setia atau curang, ia menjadi sel yang menjangkiti, yang mencabar sistem imun dalam badan.

Sama ada kita setia atau tidak setia secara peribadi, ia mempengaruhi orang lain, dan ini bukanlah sesuatu yang abstrak atau mistik. Sebagai contoh, pasangan tahu apabila pasangannya tidak setia, tidak kira sama ada perselingkuhan itu terdedah atau tidak. Lebih-lebih lagi, pasangan mengetahui perkara ini bukan daripada tindakan-tindakan pasangannya yang berbau pengkhianatan, bahasa badan atau tingkah laku yang mencurigakan.

Tidak, seorang pasangan tahu isteri atau suaminya curang pada tahap dalaman, melalui perasaannya sendiri, dengan kata-kata, secara mistik, ini tidak dapat dijelaskan bagaimana dia dapat mengetahui perselingkuhan itu yang menjadi tekanan pada kesihatan dan integriti perkahwinan mereka. Ini mungkin kedengaran lebih kepada metafora, tetapi saya menjemput anda untuk meneliti perkara ini dalam kehidupan kita. Kita mengetahui beberapa perkara secara sedar dan tidak sedar. Kita mengetahui perkara tertentu melalui pemerhatian dan lain-lain secara intuitif.

Kita tahu melalui kepala kita, hati kita, dan keberanian kita, dan melalui ketiga-tiga fakulti ini, kadang-kadang (kerana di dalam badan semua bahagian mempengaruhi satu sama lain) kita tahu sesuatu walaupun seseorang itu menyembunyikannya, kerana kita merasakan ada satu ketegangan atau keselesaan dari dalam diri kita. Perbuatan peribadi kita sebenarnya adalah seperti tindakan awam kita, ia boleh membawa sama ada kesihatan atau penyakit kepada masyarakat.

Saya meninggalkan kata-kata terakhir kepada penyair: Jika anda berada di sini dengan setia, anda membawa berkat yang besar. (Parker Palmer) Jika anda berada di sini dengan tidak setia, anda membawa bahaya yang besar. (Rumi).. — Hakcipta Terpelihara 1999-2022 @ Fr Ron Rolheiser

Total Comments:0

Name
Email
Comments