Bila dikelilingi kesenangan, jangan lupa mereka yang sengsara

Paroki St Paul Dontozidon telah merayakan Misa Kudus perayaan Kaamatan peringkat paroki pada 14 Mei lalu jam 10.00 pagi di Gereja St Paul Dontozidon.

Jun 05, 2021

DONTOZIDON, Penampang: Paroki St  Paul Dontozidon telah merayakan Misa  Kudus perayaan Kaamatan peringkat paroki pada 14 Mei lalu jam 10.00 pagi di Gereja St Paul Dontozidon.

Kehadiran umat daripada KUK dan Sub  Paroki Our Lady Queen Of Peace, Kobusak dan St John The Baptist, Kopungit seawal jam 9.30 pagi telah memenuhi ruangan  tempat duduk di dalam gereja. 

Perwakilan dari Gereja Mary Immaculate telah diketuai oleh Pengerusi Majlis  Pastoral Paroki bersama lima orang ahli  yang turut serta dalam perayaan Misa Kudus.

Perayaan Misa Kaamatan Paroki ini diceriakan lagi dengan umat yang hampir semuanya mengenakan pakaian tradisi kaum  Kadazan-Dusun.

Di samping itu, perhiasan juga disediakan di hadapan altar iaitu alat-alat tradisional dan padi yang masih segar di dalam  ‘wakid’.

Dengan adanya semangat kekitaan di  kalangan umat, perpaduan yang sedia  ada akan lebih terpelihara dan membantu  mewujudkan keharmonian antara sesama. Kehadiran umat adalah memuaskan  meskipun hanya satu per tiga sahaja yang  dibenarkan mengikut SOP yang ditetapkan  oleh pihak MKN.

Misa kudus tersebut dirayakan oleh Fr  Sunny Chung dan dibantu oleh Fr Paul Lo  selaku Rektor Paroki, dan paderi pembantu  Fr Rusell Lawrine, Fr Saimon William dan  Fr Joshua Liew, serta Fr Isidore Gilbert,  Rektor Rumah Pembentukan Seminari.

Di dalam homilinya, Fr Sunny berkata,  “Kita harus bersyukur kerana Tuhan Yesus  Kristus telah memberi anak-Nya dan seluruh hidup-Nya supaya melalui kematianNya, kita mendapat kehidupan yang kekal  di syurga.

“Kita juga harus bersyukur kepada Tuhan atas segala hasil tuaian dan hasil ternakan yang telah diberikan kepada kita sebagai sumber makanan fizikal atau sumber  kehidupan kita.”

Sambungnya, “Kita bersyukur kepada  Tuhan dengan pekerjaan yang kita terima  walaupun kerja tersebut tidaklah memberi  kehidupan yang mewah atau kerja yang  biasa, tetapi kita bersyukur kerana dengan  hasil kerja, kita dapat meneruskan hidup  sambil melayani satu sama yang lain dan  saling memberi dan menerima.

“Meskipun kita mempunyai banyak  harta, kelebihan dan kemewahan, janganlah kita leka atau dikaburi mahupun lupa  untuk mahu melihat orang-orang yang memerlukan kerana Tuhanlah yang memberi  segala sesuatu dari hasil tanaman dan ternakan.”

Tambahnya lagi, “Tuhan juga yang  memberi panggilan pekerjaan kepada kita, dia mengingatkan kita untuk bersyukur  dengan apa yang telah Dia berikan dan  jangan menjadi sombong atau tinggi diri.

“Tuhan memanggil kita untuk saling  membantu dan memberi kepada mereka  yang memerlukan dan yang dalam kesusahan. Selain itu, Tuhan memberi kita kelebihan atau anugerah kemurahan hati untuk  membantu yang lain kerana kita dipanggil  untuk bermurah hati, dapat bersyukur dan  inilah caranya kita memuliakan Tuhan,”  akhir kata Fr Sunny.

Sebelum Misa Kudus berakhir, Fr Paul  Lo memberi ucapan ringkas tentang hidup  dalam kekitaan yang sangat sesuai dalam  ajaran Gereja katolik, “Yang mana pentingnya bagi kita umat Kristian Katolik  hidup dalam komiti berpusatkan kepada  Yesus Kristus, “Maka sebab itulah kita merayakan Misa  Kaamatan pada hari ini yang sangat sesuai  dengan budaya ajaran Gereja kita,” kata Fr Paul.

Dia mengajak para umat untuk terus  berdoa agar kita boleh terus hidup normal  seperti sediakala sebelum adanya pandemik Covid-19. Fr Paul berharap agar umat  terus bergiat aktif melayani di Gereja.

Makanan tengahari disediakan untuk  umat di Dewan Paroki yang telah tersedia dalam bekas makanan. — Nelson  Fernandez, CS

Total Comments:0

Name
Email
Comments