Buah iman ialah KASIH

Hidup kita masing-masing membuktikan, bahawa pengetahuan, ilmu dan keyakinan yang kita miliki, biar pun dalam dan banyak, tetapi tidak selalu sama dengan apa yang kita buat atau laksanakan sendiri.

Nov 02, 2024

HARI MINGGU
BIASA KE-31
TAHUN B
ULANGAN 6:2-6;
IBRANI 7:23-28;
INJIL MARKUS 12:28-34

Hidup kita masing-masing membuktikan, bahawa pengetahuan, ilmu dan keyakinan yang kita miliki, biar pun dalam dan banyak, tetapi tidak selalu sama dengan apa yang kita buat atau laksanakan sendiri.

Hari ini dalam Injil Markus memperkenalkan seorang ahli Taurat. Ahli-ahli Taurat mengenal Kitab Suci Perjanjian Lama (PL) dengan baik, ibaratnya sudah hafal. Dan mereka mengajar Taurat dan memutlakkan pelaksanaan perintah-perintah PL.

Menurut kaum Farisi di dalam Taurat terdapat 613 perintah yang terdapat dalam lima buku pertama PL, yang harus ditaati. Terdapat 248 perintah positif (“Kamu harus...”), manakala 365 pula merupakan perintah negatif (“Kamu jangan...”).

Inilah dasar pertanyaan yang diajukan oleh si ahli Taurat dalam Injil Markus kepada Yesus, “Perintah manakah yang paling utama?”

Ternyata perintah mengasihi Tuhan bukanlah baru diberikan oleh Yesus. Dalam Perjanjian Lama sudah ada!

Tetapi ada perbezaan besar dan mendasar yang menyempurnakannya. Ada dua perintah kasih: kasih kepada Tuhan dan kasih kepada sesama.

Tambahan khusus yang diberikan Yesus ialah: kasih kepada Tuhan dan kepada sesama adalah sama nilainya, dan tidak terpisahkan satu sama lain.

Kita tidak dapat hanya mengasihi yang satu tanpa sekaligus mengasihi yang lain. Mengasihi Tuhan harus sekaligus mengasihi sesama.

Landasan atau motivasi kita mengasihi sesama harus timbul dari kasih kita kepada Tuhan. Oleh sebab itu, kasih kita kepada Tuhan harus dapat dibuktikan dan diteguhkan melalui kasih kita terhadap sesama!

Kasih kita kepada sesama merupakan suatu syarat bagi hati kita untuk dapat mengasihi Tuhan secara sungguh-sungguh!

Jadi kasih kita kepada Tuhan menjadi nyata apabila kita sungguh mengasihi sesama kita. Dan kasih kita kepada sesama adalah bukti bahawa kita sungguh mengasihi Tuhan!

Dalam Konsili Vatikan II, sebuah dokumen penting memberi penjelasan rasmi tentang Gereja iaitu “Lumen Gentium” (Terang Bangsa-Bangsa).

Dalam dokumen itu tertulis: “Tuhan itu kasih, dan sesiapa tetap berada dalam kasih, dia tinggal dalam Tuhan dan Tuhan dalam dia” (1 Yoh 4:16).

Adapun Tuhan mencurahkan cinta kasih-Nya ke dalam hati kita melalui Roh Kudus yang dikurniakan kepada kita (lih. Rom 5:5). Maka dari itu kurnia yang pertama dan paling perlu iaitu cinta kasih, yang membuat kita mencintai Tuhan melampaui segalanya dan mengasihi sesama demi Dia (LG 42).

Demikianlah cinta kasih akan Tuhan sekaligus akan sesama merupakan ciri atau identiti murid Kristus dan warga Gereja yang sejati.

Semasa masih menjabat jabatan sebagai Sri Paus, Bapa Suci Emeritus Benediktus XVI, menulis sebuah ensiklik yang berjudul “Deus caritas est” (Tuhan adalah kasih) pada tahun 2005.

Prelatus itu menegaskan bahawa kita menjadi umat Kristian bukan kerana kita sekadar mahu memiliki suatu sikap hidup yang memang tinggi dan luhur mutu etikanya, melainkan melangkaui dorongan motivasi, bahawa kita telah mengenal dan menjumpai seorang Peribadi, yang begitu mengasihi kita, iaitu Yesus Kristus, sehingga Dia rela mengorbankan diri serta menyerahkan diri-Nya kepada kita!

Sebab, seperti dikatakan oleh Yohanes penulis Injil, kerana Tuhan mengasihi kita, maka kasih bukanlah hanya suatu perintah, tetapi jawapan atau tindakan kasih Tuhan, yang telah rela mengorbankan dan menyatukan diri-Nya dengan kita.

Sebagai rakyat di negara ini, kita hidup bersama dalam masyarakat dan harus memiliki Kad Pengenalan.

Santa Teresa dari Kalkuta juga harus memiliki kad pengenalan sebagai penduduk di India. Namun beliau juga memiliki tanda pengenalan lain.

Bukan dalam bentuk kad pengenalan atau kad perniagaan melainkan terungkap dalam sikap, kata-kata dan perbuatan kasihnya. Dia pernah menulis dalam kad yang dibuatnya sendiri, “Buah keheningan adalah doa. Buah iman adalah kasih. Buah pelayanan adalah damai.”

Kasih kita kepada Tuhan adalah palsu jika kita tidak mengasihi sesama. Dan tidak mengasihi sesama bererti tidak mengasihi Tuhan. Padahal Tuhan adalah kasih! Msgr F.X. Hadisumarta O.Carm

Total Comments:0

Name
Email
Comments